Demi memastikan anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan peroleh keputusan yang baik, ada ibu bapa sanggup menabur janji dengan anak-anak. Misalnya menghadiahkan barangan yang disukai oleh anak-anak.
Janji itu dianggap reward kerana kesungguhan anak-anak untuk terus belajar. Jika dibiasakan, ia boleh memberi kesan baik pada ibu bapa dan anak itu sendiri.
Sebagai ibu bapa yang penyayang lagi prihatin, menjadi satu amalan mulia untuk memberi perhatian dan merealisasi apa sahaja keperluan yang diperlukan oleh anak.
Misalnya keperluan makanan, pakaian, buku bacaan, telefon bimbit, komputer riba, alatan permainan sukan dan seumpamanya.
Ia adalah fitrah melihat sikap ibu bapa yang sentiasa mendaya usahakan dirinya demi keselesaan dan kebahagiaan anak-anaknya.
Begitulah juga fitrah bahawa ibu bapa ingin menjadi cemerlang dalam aspek mendorong dan mengasuh anak menjadi anak soleh dan bagus dalam bidang akademiknya.
Cabarannya, sejauh mana anak itu dapat meneruskan kesinambungan kecemerlangan akademiknya di peringkat menara gading dan kerjaya.
Bagi memotivasikan anak untuk berjaya dalam pelajaran, banyak kalangan ibu bapa cuba sedaya upaya melengkapkan keperluan anak mereka.
Kesan negatifnya, ada ibu bapa mengalami tekanan kerana tidak mampu menunaikan janji kepada anak setelah bersetuju untuk merealisasikannya.
Kita sedia maklum bahawa sikap yang tidak tepati janji, maka hukumnya boleh menjadi berdosa. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah Taala maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji.”
(Surah Al-Maidah :1)
Mengambil hikmah di sebalik ayat Al Quran di atas, maka adalah wajar ibu bapa melunaskan janji. Janji mestilah ditepati. Justeru, hendaklah ibu bapa berhati-hati apabila berjanji dengan anak-anak.
Hakikatnya, banyak benda dan perkara ada kesan baik dan buruk. Ia memerlukan kajian dan pemikiran yang jelas sebelum merancang dan berjanji. Apa yang penting kita mesti yakin pada diri sendiri dan anak kita.
Manusia boleh jadi hebat dan selamat berasaskan ilmu, pengamalan ilmu dan keimanan yang padu di dalam dirinya. Selain itu, ilmu tanpa amal adalah sia-sia.
Banyak kalangan ahli masyarakat kita mempunyai sijil akademik berjela, pangkat dan darjat, namun sikap dan sahsiah amat buruk hingga kita hanya mampu menggelengkan kepala. Janji mesti ditepati. Jika tak yakin mampu menepati janji, maka jangan menjanjikan kepada anak sendiri.
Jika ibu bapa tidak menepati janji, kesannya ialah:
√ Anak akan tercedera emosi
√ Rasa rendah diri
√ Kecewa
√ Tidak mempercayai janji ibu bapanya pada masa depan.
Ambillah ingatan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda maksudnya:
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga keadaan. Jika ia berkata ia berdusta, jika ia berjanji ia mengingkari, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia mengkhianatinya.” (HR. Bukhari-Muslim)
Anak secara personal telah berhempas pulas belajar dan mencapai impiannya untuk meraih keputusan peperiksaan (akademik) yang cemerlang, hasil faktor motivasi yang pihak ibu bapa telah berikan, misalnya berjanji membelikan sebuah motosikal atau komputer riba atau jam tangan berjenama.
Adapun menurut jumhur ulama Islam, bahawa hukum menunaikan janji itu ada tiga cabang iaitu;
Iaitu jika perkara yang di janji tidak diperintahkan oleh agama dan juga tidak mengandungi perkara mudarat tertentu jika ditinggalkan, baik untuk diri sendiri atau orang lain. Misalnya, seorang anak berjanji kepada ibunya untuk tidak lagi bermain Facebook atau WhatApps di dalam rumah.
Jika janji yang dia buat sudah tidak relevan dengan keadaan dan jika meninggalkan janji tersebut lebih besar manfaatnya. Misalnya ketika seseorang berjanji untuk tidak melanjutkan pelajaran kerana ingin berniaga sahaja,
Namun ibu bapanya lebih meredhai dia untuk teruskan pelajaran. Jika demikian, dia harus membayar kafarat atas janji atau sumpah yang dia buat dengan berpuasa kafarat 3 hari berturut-turut.
Iaitu ketika janji yang dia buat bertentangan dengan ajaran agama. Misalnya seorang ibu berjanji kepada anaknya jika anaknya berjaya dapat semua “A” di dalam SPM 2018, dia akan berbogel di tengah padang bola sepak.
Ibu bapa boleh atasi masalah timbulnya anak rasa kecewa, terkilan dan tidak mempercayai ibu bapa sendiri natijah tidak merealisasi janji ialah dengan sikap asertif dalam komunikasi.
Sikap asertif atau berterus terang tetapi sangat lunak, mesra, logik dan tidak menyakitkan hati anak. Misalnya ibu bapa boleh bercakap kepada anak seperti berikut;
Ibu dan ayah nak minta maaf kepada Fauzi (contoh nama anak) sebab tak dapat belikan jam tangan G Shock Casio tu. Sebab…..ibu dan ayah tak mampu. Duit keluarga kita sekarang ni sangat kritikal.
Duit ibu dan ayah dalam bank sekarang ni pun sekadar cukup-cukup untuk baiki kereta kita yang sedang rosak enjinnya tu…….Ibu dan ayah harap Fauzi memahami dan memaafkan ibu dan ayah……….
√ Gunakan nada suara yang lembut.
√ Pastikan sebelum bercakap dengan anak itu, buat solat hajat dahulu agar hati anak terbuka dan lembut hatinya untuk menerima ketidakmampuan ibu bapa dalam merealisasi janji terhadapnya.
√ Bertawakal kepada Allah.
√ Mesti bersikap sabar untuk hadapi apa sahaja respons daripada anak sama ada dari segi ekspresi riak wajahnya, refleksi perasaan, persepsi dan barangkali kritikannya kepada ibu bapa.
Institusi keluarga yang cemerlang dihasilkan oleh persekitaran komunikasi dalam keluarga yang benar, jujur dan tulus ikhlas. Dengan adanya rasa sayang, hormat dan bertolak ansur, akan lahirlah sebuah keluarga yang berdaya maju, aman bahagia dan diberkati.
Mengenai isu ibrah (pengajaran) di sebalik janji ibu bapa terhadap anaknya, ia mesti diambil pengajaran besar kerana sikap tidak menepati janji dalam kalangan ibu bapa terhadap anak adalah dilarang oleh tuhan.
Malah Allah menyatakan bahawa sikap memungkiri janji dalam kalangan manusia itu merupakan ciri karakter syaitan yang pendosa. Jelasnya, Allah telah berfirman maksudnya
“Mengingkari janji adalah sifat syaitan. Padahal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka selain dari tipuan belaka.” (QS. An-Nisâ: 120).
Penulis : Dr. Ahmad Kamal Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga