apps trending

Mak ayah kena faham, sifat remaja itu suka mencuba sesuatu yang baru. Makin dilarang, makin mahu dibuat. Kita yang mak ayah akan rasa tercabar dan marah. Tak tahu bagaimana lagi mahu menasihati, lagipun mereka bukan anak-anak kecil yang kita boleh tegur macam dulu-dulu. Saiz badan pun dah sama dengan kita.

Melayan anak-anak tengah nak ‘besar’ ini perlu kena caranya. Sentuhan emosi, psikologi dan kebijaksanaan mak ayah amat memainkan peranan. Tapi sejauh mana benteng emosi mak ayah boleh bertabah. Sebabnya, dia luar sana macam-macam cara ada yang boleh menyuntik elemen negatif dalam diri anak remaja kita.

Gajet di tangan, smartphone satu cara yang paling mudah, cepat dan bahaya sekali terutama buat anak-anak kita yang meniti usia remaja. Mudah saja nak download aplikasi ‘chat’ dalam telefon bimbit. Waima anak kecil kita pun dah pandai download app game bagai, inikan pula remaja.

Sebagai mak ayah yang prihatin, silalah pantau gajet anak anda. Perkongsian daripada Guru Kaunseling SMK Sungai Besar Selangor, Tuan Abdul Mohammad Muiez Ruslee ini memang boleh buat mak ayah seram sejuk. Sebabnya app itu bukan sekadar mengundang ‘predator dalam rumah’, tapi buatkan predator masuk sampai ke kamar tidur anak remaja kita.

Mak Ayah Sila Pantau Gajet Anak Perempuan Anda, Sebab Apps Trending Ini Akan Bawa ‘Predator’ Ke Kamar Mereka

Mahukah kalian jika saya kongsikan sebuah aplikasi yang kini trending di kalangan pelajar sekolah?

Ads

Aplikasi ini fungsinya sama seperti live video di Instagram. Tetapi, aplikasi ini menjadikan video sebagai medium utama, tidak seperti Instagram yang meletakkan gambar sebagai subjek teras.

Tapi sayang, aplikasi yang dibangunkan oleh Bigo Singapura ini telah disalah guna. Aplikasi yang sepatutnya menjadi medan sosial yang baik kini bertukar ngeri apabila menjadi medan untuk melepaskan ‘sangap’ di kalangan remaja.

Dalam aplikasi ini, remaja, terutamanya wanita berlumba-lumba untuk menjadi bintang dan mengejar ‘top rank’. Bagi mereka, inilah kepuasan yang dicari. Popular.

Lebih menakutkan, pengguna bukan sahaja boleh berinteraksi secara teks tetapi juga boleh berbual terus melalui sidang video. Aplikasi ini tidak terhad kepada pengguna di sekitar Malaysia sahaja, malah pengguna boleh memilih untuk berinteraksi dengan pengguna lain dari mana-mana negara di dunia. Antara negara yang kerap menjadi pilihan pengguna di Malaysia ialah Indonesia, Arab Saudi, Vietnam, India, Iraq dan Thailand.

Ads

Aplikasi ini turut dilengkapi dengan fungsi nearby. Pengguna boleh berhubung dengan orang yang berada di sekeliling sehampir 500 meter.

Aplikasi tersebut ialah, BIGO LIVE.

Dalam post sebelum ini, saya ada menulis tentang menjemput predator hadir ke rumah. Ada ibu bapa yang melarang keras anak-anak perempuan untuk keluar bersama teman-teman terutamanya lelaki pada waktu malam, tetapi kini, dengan Bigo Live, mereka bukan sahaja boleh berbual tetapi juga boleh menjemput orang yang tak dikenali untuk masuk ke kamar mereka secara maya. Ini lebih berbahaya, kerana segenap inci tubuh mereka mampu dijarah oleh ribuan mata yang menyertai sidang video tersebut.

Kerisauan saya agak kurang terhadap mereka yang menjadi penonton berbanding anak-anak muda yang berlumba-lumba untuk menjadi Bigo Star. Bukan sukar untuk menjadi bintang di dalam aplikasi ini. Dedahkan sahaja bahagian tubuh, pasti ribuan orang akan datang menyinggah. Lama kelamaan, pasti anak muda ini akan mendapat apa yang diimpikan.

Ads

Bagi saya, inilah aplikasi yang telah membunuh rasa malu di dalam diri anak remaja. Bukan itu sahaja, mereka juga akan menjadi ketagih untuk beraksi di hadapan kamera dan kurang bergaul dengan orang sekeliling. Justeru, saya tetap mengatakan bahawa Bigo Live sangat bahaya kepada anak-anak malah mudaratnya lebih berbanding WeChat.

Kepada ibu bapa, kita tidak boleh menyalahkan teknologi sepenuhnya malah tidak boleh juga menghalang terus mereka daripada mendekati teknologi. Ini dunia mereka. Ini zaman mereka. Jika tidak hari ini, esok lusa mereka tetap akan menjadi pengguna kepada teknologi.

Apa yang penting ialah untuk menerapkan ilmu pendinding yang kukuh agar anak-anak dapat menilai baik dan buruk sesebuah teknologi. Anak-anak tidak boleh dilepas bebas untuk menggunakan teknologi tetapi perlu berada di bawah pengawasan ibu bapa.

Adakah kita sanggup melihat anak-anak kita menjadi mangsa kemajuan teknologi? Jadi, periksalah gajet anak kita. Apa yang di install (pasang) apa juga yang disimpan di dalam galeri mereka. Biar mereka menangis sekarang, jangan kita yang menangis nanti.

Sumber/Foto: Abdul Muiez Ruslee via Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI