Mak Ayah Sanggup Keluar Duit Simpanan Bila Tahu Anak Nak Balik

Share

Mak ayah sanggup dahulukan anak dalam segala hal pun, tetapi anak-anak pula belum tentu faham hati orang tua.

Nak-nak pula bila masing-masing sudah berumahtangga dan ada keluarga sendiri, agak banyak halangan yang muncul. Dan seperti yang Puan Farizal Radzali kongsikan, sebaiknya cubalah renungkan seketika.

Mak Ayah Tiada Ganti

Mak ayah tiada ganti, walau duitmu berpuluhan juta, walau kau mampu mengubah dunia, walau kau duduk di singgahsana paling tinggi, kau tak akan ganti mak ayah kamu.

Masa kita kecik, kita sibuk bermain.
Masa kita besar sikit, kita sibuk belajar.
Masa kita remaja, kita sibuk dengan kawan-kawan.
Masa kita jadi org muda, kita sibuk bercinta.
Masa kita dah kahwin, kita sibuk dengan pasangan.
Masa kita dah ada anak, kita sibuk dengan anak.

Bila kita sibuk dengan mak ayah? Jawapannya TIADA.

Kita mungkin selalu jenguk mereka, kita mungkin bagi duit kat mereka, kita mungkin bawa mereka pergi jalan-jalan, kita mungkin bawa mereka makan kat tempat mewah, kita mungkin belikan barangan berharga buat mereka.

Tapi cukup masa, kita akan balik rumah kita. Kita akan tinggalkan mereka di rumah mereka dan kita balik ke rumah kita. Dan mereka akan tinggal di rumah mereka sendiri. Tiap kali nak minta sesuatu, mereka akan fikir tak nak susahkan anak-anak. Bila anak-anak susah hati, mereka lebih lagi. Bila anak-anak sakit, mereka lagi sakit. Dari anak-anak tu kecil hinggalah anak-anak tu dah beranak pinak, perasaan tu sama je pada mak ayah.

Mak ayah ni, mereka bersusah payah membesarkan anak-anak, seramai mana pun, akan diusahakan utk dijaga baik dengan penuh kasih sayang. Walau ada masa mereka sendiri tak makan. Apa yang mereka mahu, anak-anak dapat kehidupan dan pendidikan yang baik. Ada anak-anak yang mampu menjawat jawatan tinggi dan bergaji besar. Bila dah hidup mewah, biasanya anak akan berkongsi dengan pasangannya, bukan mak ayah yang menanggungnya. Namun jarang mak ayah nak berkira dengan hal itu. Pada mereka, asalkan hidup anaknya sempurna, cukuplah. Mereka tak dapat apa-apa pun tak apa lah.

Masa nak meninggalkan rumah mak ayah tu, cuba tengok wajah dan mata mereka. Mereka tersenyum dimulut tapi tak tahu dihatinya bagaimana. Mengharap anak tu sentiasa ada di depan mata, tak meninggalkannya, kerana mereka tak tahu berapa lama masa yang mereka ada untuk bersama kita. Mereka nak tengok kita puas-puas. Inilah anak yang aku kandungkan, yang aku lahirkan, yang aku pelihara, yang aku besarkan, moga kamu selamat dunia akhirat nak. Doa yang tak pernah lekang dari bibir nereka.

Mak ayah ni, susah mereka, sakit mereka, sedih mereka, takkan bgtau kat anak-anak. Sebab tak nak anak susah hati. Semua simpan sendiri. Bersembanglah mereka sesama sendiri, mak sembang dgn ayah, ayah sembang dengan mak. Kalau ada yang tinggal sendirian, lagi lah kesian. Bukan anak-anak tak ajak duduk sekali tapi hati tu tak nak susahkan anak. Bagilah alasan nak jaga rumah sendiri, tak selesa kat rumah orang lain. Sedangkan tak nak nanti berkecil hati dengan anak-anak bila anak-anak sibuk dan tak bagi perhatian kat mak ayah. Bukan salahkan anak-anak, mereka faham anak-anak ada urusan lain yang dah menjadi tanggungjawab dan amanah. Walaupun ada kalanya terhiris juga hati mereka tanpa kita dan mereka sendiri sedar.

Bila tahu anak-anak nak datang, contohnya hari raya, macam mana tak sihat pun, automatik mereka jadi sihat. Cari itu ini untuk anak cucu. Ayah yang sakit lutut tu boleh tiba-tiba panjat pokok kelapa, kejar ayam, mak yang pening kepala tu boleh tiba-tiba nak masak kuih itu ini. Seronok melihat anak-anak makan hasil tangan mereka walau sesekali. Sedangkan dari kecik, hasil tenaga ayahlah, air tangan mak lah yang membesarkan anak-anak hingga jadi orang berjaya.

Mak ayah sanggup keluarkan duit simpanan kalau tahu anak-anak nak balik. Sebenarnya mak ayah ni simpan duit, bukan untuk diri sendiri tapi dalam hati tu dah memang kata nanti nak bagi anak kalau anak dalam kesusahan. Segalanya anak. Sedangkan hari biasa makan nasi dengan ikan kering pun cukuplah, duit simpan untuk anak.

Sebelum Mak Ayah Pergi

Bukan anak-anak tak tahu semua ni, tapi sebab mak ayah masih ada, masih dengar suara mereka, masih nampak kelibat mereka, jadi perasaan tu macam tak ada apa. Tapi, bila mereka dah tak ada, dah pulang ke pangkuan Penciptanya, masa tu anak-anak baru terasa  semua ni. Sebab nak lihat mak ayah dah tak nampak, nak dengar suara mak ayah dah tak boleh dengar.

Ada insan yang terpilih untuk punyai masa sepenuhnya dengan mak ayah. Iaitu pada masa mak ayah dah tak mampu uruskan diri sendiri. Sebab tu, kepada sesiapa yang terasa lelah menjaga mak ayah yang sakit, nyanyuk, lumpuh dan sebagainya, anda sebenarnya adalah antara yang terpilih. Hargailah ia.

Published by
Nadia