Anak sulung ini tanggungjawabnya berat. Dari kecil lagi mak ayah dah tekankan tanggungjawab untuk anak sulung pikul. Jaga adik-adik, bantu mak ayah urus rumah pun jadi tugasan anak sulung.
Sampai satu tahap, anak tak boleh nak hadap. Dia mula memberontak. Jadi, sebelum hal sebegini melarat sebaiknya mak ayah tangani dari awal. Kerana, bak kata Guru Bimbingan dan Kaunseling, Kementerian Pelajaran Malaysia, Abdul Muiez Ruslee ini,
Anak cuma menjadi milik kita sehingga usia 12 tahun saja. Masa itulah kita boleh marah dan jentik. Selepas usia itu mereka sudah ada egonya sendiri. Salah asuhan boleh buat memberontak.
Hadamkan perkongsian tentang anak sulung ini. Bagus jika mak ayah boleh praktik dari awal.
Balik dari sekolah jam 11 malam tadi, anak-anak semua dah terbungkang dalam bilik saya. Tak ada tempat dah untuk saya baring. Jadi saya fikir, biar saya saja tidur di bilik anak-anak.
Tiba-tiba anak sulung saya terjaga. Katanya, biarlah dia yang tidur di bilik sendiri. Dikejut adik-adiknya yang lain sebagai peneman, tapi tak ada pula yang jaga.
Kesudahannya sayalah yang tidur dengan anak sulung di biliknya. Lebih-lebih lagi, jarang sekali peluang sebegini tiba. Inilah masanya.
Jujur, saya dengan anak sulung kerap tidak sefahaman. Banyak yang dia tidak setuju dengan tindakan saya.
Saya tidak benarkan dia menggunakan telefon semasa hari sekolah. Malah, saya paksa dia belajar walaupun selepas habis kelas tambahan. Saya minta dia bantu kemas rumah. Semua itu membuatkan dia rasa terbeban dan marah.
Akhirnya, malam ini, saya rungkai semuanya. Saya usap pipi dia. Saya peluk dia. Kemudian saya luahkan segalanya. Ya, segalanya. Sampai bab seksual pun saya sentuh.
Fuhhh. Terasa lega betul.
Seronok bila dapat menukar sistem kepercayaan dia, daripada apa yang dia rasa dia nak buat kepada apa yang sepatutnya dia perlu buat.
Kemudian, dapat menanam kefahaman, the big why, kenapa dia perlu lalui semua ini, sedangkan rakan-rakannya yang lain lepas bebas kerana memiliki ibu bapa yang sporting.
Saya fikir, setiap bapa perlu masa begini dengan anak-anak. Duduk berbual. Tanyakan apa cita-cita mereka. Perancangan masa depan. Ke mana mahu pergi selepas UPSR. Bicara tentang ilmu seksual seperti baligh, air mani, mandi wajib dan sebagainya.
Tak perlu masa spesifik dan tak perlu juga dalam bentuk formal. Masa hantar anak ke sekolah juga boleh digunakan.
Tapi, berdasarkan apa yang saya rasa, waktu terbaik ialah sebelum mereka tidur.
Kita boleh peluk dia, usap pipi dia, gosok kepala dia. Kemudian tutup dengan baca doa tidur sama-sama dan dua ciuman di pipi kiri dan kanan. Bahagianya.
Kawan-kawan sekalian.
Anak-anak ni menjadi milik kita sehingga usia 12 tahun saja. Nak pukul, nak jentik, nak marah sampai umur itu saja.
Lepas 12 tahun mereka sudah melangkah ke alam remaja. Ada ego dan kehendak mereka sendiri. Salah cara, mereka akan memberontak, melawan silap-silap lari dari rumah. Nauzubillah.
Kalau anak duduk asrama, lagilah. Boleh dikatakan, masa bersama keluarga sudah makin kurang. Balik hujung minggu pun banyak dihabiskan dengan tidur. Bila bangun, keluar jumpa kawan. Bila masa bersama dengan kita? Sudah makin kurang.
Kalau anak perempuan, lagi terhad. Macam mana bebas pun anak lelaki, sampai satu masa, dia akan pulang mencari ibu bapanya.
Tapi, bagi anak perempuan, berbeza. Saat ijab dan kabul dilafazkan, ranking ketaatan kepada ibu bapa sudah jatuh ke tempat kedua. Nak balik kepada ibu bapa sendiri pun perlu izin suami.
Jadi, kesempatan yang ada rebutlah peluang dengan anak-anak kita. Bina kenangan manis sebanyak mungkin. Agar, kita tidak terlepas momen indah bersama mereka akibat kelalaian kita.
Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.