Mak ayah adalah orang terpenting dalam membentuk dan mendorong kejayaan anak-anak dalam hidup mereka. Titipkan tujuh pesanan ini untuk mereka pegang dalam mengejar kejayaan. Bukan saja untuk duniawi semata-mata.
PESAN 1: Ikat Hati Pada Allah SWT
Jagalah Allah SWT nescaya Allah SWT sentiasa menjagamu. Anak-anakku, fahamilah oleh mu bahawa Allah SWT itu Tuhanmu. Justeru, yang kamu jaga itu adalah hubunganmu dengan Allah SWT.
Ingatlah sedalam-dalamnya, peganglah sekuat-kuatnya bahawa Allah SWT tidak pernah meninggalkan kita walau sedetik pun. Maka usahlah kita mengambil pilihan untuk tidak bersama-Nya di mana sahaja wajah kita berpaling, di mana sahaja kaki kita melangkah dan di mana sahaja nafas kita sedut.
Anak-anakku, janganlah kamu mengatakan yang kamu mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT sedangkan kamu tidak mahu terikat dengan-Nya. Keterikatannya itu adalah satu matlamat para kekasih-Nya.
Justeru, ikatlah perasaanmu hanya dengan Allah SWT. Janganlah kamu suka bercerita kedekatanmu dengan-Nya tetapi hatimu sentiasa dekat dengan material duniamu. Usahlah kamu berangan-angan tentang-Nya sedangkan kamu cukup takut meninggalkan darjat, pangkat, harta duniamu.
PESAN 2 : Jangan Sekadar Berpelajaran Tapi Tak Berilmu
Wahai anak-anakku, utamakanlah pelajaran dan ilmu. Ketahuilah oleh mu, ramai yang berpelajaran tetapi tidak berilmu maka jiwanya kosong. Mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mengisi jiwanya.
Begitu juga ada orang berilmu tetapi tidak berpelajaran maka hidup bermakna biar tidak ke mana. Anak-anakku, alangkah indahnya kamu memiliki keduanya kerana itu menjadikan kamu sebaik-baik hamba. Pelajaran akan menjadi tongkat dunia mu manakala ilmu menjadi penjaga akhirat mu agar kamu tidak tersasar di sebalik keindahan dunia yang penuh tipu daya.
Ads
PESAN 3: Bersandar Pada Kebolehan Diri Bukan orang Lain
Anak-anakku, berusahalah untuk diri mu. Usah kamu bersandar pada orang lain kerana ayahanda tidak senang mendengar ungkitan. Setiap sandaran kita perlukan pulangan. Setiap pertolongan orang itu perlukan pembalasan walaupun tidak diminta. Ada yang mahukan balasan yang material. Ada juga yang hanya mahukan doa. Tak kurang juga yang mahukan balasan sikap dan sifat. Semuanya itu bentuk pembalasan.
Namun, kita mungkin tidak dapat memberinya sepanjang hidup kita. Justeru, anak-anakku, berusahalah sedaya upaya dengan akal dan kudrat kurniaan Allah SWT agar kamu mengurangkan sandaran kamu terhadap orang lain.
Ia menjauhkan kamu dari rasa sakit hati apabila setiap yang disandarkan menjadi ungkitan biarpun sandaran yang diberi sudah terbalas sekian lama. Ingatlah anak-anakku, jangan sesekali kamu mengungkit kerana ungkitan itu memadamkan rasa. Orang yang mengungkit tidak pernah terguris rasa tetapi orang yang diungkit akan selalu ngilu perasaan.
PESAN 4: Taat Pada Pasangan
Apabila kamu berpasangan kelak, taati pasanganmu daripada dua sudut nescaya hidup kamu bahagia hingga akhir hayat. Taatlah dengan zahir, tunaikan tanggungjawab mu sebagai orang yang diamanahkan.
Berikanlah khidmat kepada pasanganmu dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Setiap pasangan itu perlu saling berkhidmat antara satu sama lain. Taatilah pasanganmu dengan perasaan.
Ads
Usahlah biarkan perasaan mu diisi dengan ketaatan kepada yang bukan haknya. Ingatlah anak-anakku, sentiasalah dahulukan yang berhak. Jangan biarkan dia melihat apa yg tidak disukainya. Jauhkan pendengarannya dari apa yg dibencinya. Jaga hidungnya agar tidak mencium apa yg tidak digemarinya.
Wahai anak-anakku, berhentilah mengkritik orang lain sebelum kamu mengkritik dirimu sendiri. Nasihatilah dirimu sebelum menasihati orang lain. Jagalah kata-katamu kerana sepotong ayat yang tidak dijaga akan melukakan hati sepanjang hayat.
Kelak nanti kamu tercari-cari mengapa orang berjauh hati dengan mu. Kasihanilah dirimu sebelum kamu mengasihani orang lain agar rasa kasihan yang kamu berikan kepada orang lain datangnya dari lubuk hati dan perasaanmu dan bukan produk keluaran bibirmu.
Berbicaralah dengan lisan lembut dan suara yang rendah. Kata-kata yang kamu lontarkan adalah personaliti kamu. Sentiasa rendahkan suaramu agar nanti kamu tidak tersasar tinggi suara pada Tuhanmu. Jadilah kamu orang yg bermanfaat untuk orang lain.
Jadilah kamu orang yang bisu dalam memperkatakan kelemahan orang lain. Jadilah kamu orang yang buta melihat kekurangan orang lain. Jika tidak, kesemuanya akan menjadi sikap dan sifatmu kelak.
PESAN 6: Belajar Memberi Dan Menerima
Anak-anakku, ayahanda wariskan kepadamu apa yang hak untuk kamu. Usahlah kamu tamak. Usahlah kamu berkira. Belajarlah untuk memberi dan menerima. Jangan kamu pertikai apa yang bukan hak kamu kerana itu semua membuka pintu kenistaan.
Jangan kamu ambil apa yang bukan hak kamu dan jangan kamu berikan kepada orang yang tiada haknya. Ia menjadikan kamu jatuh ke lembah ketidakadilan. Ia pasti merosakkan silaturahim antara kamu dan orang lain.
PESAN 7: Jangan Takut Buat Silap
Anak-anakku, jangan pernah kamu takut untuk melakukan sesuatu yang baru kerana setiap orang yang berjaya pasti pernah melalui kesilapan. Jika kamu takut silap maka kamu akan sentiasa silap. Wahai anak-anakku, inilah yang ayahanda suratkan. Semoga ia menjadi pedoman hidup mu agar kekal ber’Tuhan’.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila anak-anak sedang demam mahupun ketika baru baik demam,mak ayah perlulah bersikap lebih prihatin dan ambil berat pada kesihatan anak.Ini kerana macam-macam jenis penyakit dan virus boleh datang menyerang dikala antibodi badan dalam keadaan masih lemah, lebih-lebih lagi pada anak-anak kecil.Umur kanak-kanak ini baru memasuki 2 tahun 6 bulan tetapi diuji dengan penyakit ‘Bell Palsy’. Sungguh tak sangka hanya dengan korek telinga selepas baru pulih daripada demam boleh jadi punca muka senget sebelah.
Berikut merupakan perkongsian oleh Puan Maizatul Amira yang merupakan ibu saudara kepada Khayla Nur Khadeeja, sebagai panduan dan pengajaran buat mak ayah yang lain;
Assalamualaikum . Ramai yang pm Mai pasal anak saudara Mai yang sakit #bellpalsy haritu. So Mai dah minta permission mama dia untuk share tentang penyakit Lala untuk share dengan semua.
Seminggu sebelum Lala sakit dia demam dalam dua hari. Then kita bagi ubat demam je sebab memang selalu spare dekat umah lagipun klinik jauh. Jarang bawa pergi gov klinik sebab malas nak tunggu. So kita bagi je ubat beli kat klinik swasta tanpa cek demam dia tu sebab apa. (Sepatutnya kena cek ).Lepas die makan ubat tu sihat. Main macam biasa dengan Annur.
30 Jan 2018
Malam tu dia selalu gosok-gosok mata dia. Mata dia berair macam gatal. Saya yang jaga dia masa tu. Saya basuh muka dia dengan air bersih takut kena habuk or apa-apa. Tapi still gosok mata. Tak lama lepastu dia main dengan Annur die gelak-gelak kitorang tengok mulut die senget. Dan dia selalu pegang bibir dia. Kitorang ingat dia saje buat mulut senget. Siap buat lawak lagi ikut die buat mulut senget. (Tak lawak ok) dia memang sakit. Sorry Lala.
31 Jan 2018
Pagi die bangun tidur nangis-nangis macam tak selesa. Selalunya dia bangun tidur diam je.. baring kadang-kadang nyanyi lagu.. mak saya dukung Lala tanya dia nak apa..semua dia tak nak. Dia nangis-nangis makin kuat. Masa tu nampk mulut dia bertambah senget dari malam tadi.Bila nangis mata dia tak tertutup dua-dua belah mata.Abah dah bising suruh siap-siap pergi klinik sekarang. Masa diorang pergi klinik saya takde. Diorang pergi klinik dekat segamat (klinik utama) doc tu terkejut dia cakap tak pernah handle kes macam ni. So dia buat surat refer kecemasan Hospital Segamat. Then m.a cek dia cakap gusi bengkak. Dia bagi ubat antibiotic. Kena makan sampai habis.
1 Feb 2018
Kitorang macam tak puas hati m.a tu cakap gusi bengkak. Then mama Lala search klinik swasta yang ada pakar kanak-kanak. Diorang pergi klinik mesra dekat Jalan Genuang. Doc Cina check. Doc cek suhu badan, telinga dan tekak. Dia cakap memang sakit bell palsy dalam bahasa melayu sakit saraf ke 7. Doc cakap punca sakit Lala ni sebab korek telinga mungkin terkena urat telinga.Apa yang doc cakap tu macam betul sebab sebelum sakit tu memang ada korek telinga dia. So maybe telinga dia bernanah dan kuman datang dan makan saraf muka sebab tu saraf muka mati dan muka jadi senget sebelah. Doc bagi 3 jenis ubat. Steroid dan lagi dua tak ingat. Doc cina tu bagi masa 4 hari untuk follow up semula.
5 Feb 2018
4 hari lepas tu cek balik kat doc klinik mesra cek semula dia kata takde perubahan. Masa tu rasa sedih sangat. Doc suruh stop ubat dan refer Hospital Kuala Lumpur (HKL). Tapi kitorang tengok macam dah kurang sikit mulut Lala senget lepas makan ubat tu. Untuk keselamatan ikut cakap doc pergi HKL malam tu jugak.
6 Feb 2018
Pagi-pagi lagi pergi HKL. Bahagian kecemasan dan m.a tu cakap sakit gusi. Dia bagi antibiotik dan surat refer bahagian paed. Tapi tak sempat masuk paed sebab dah tutup awal. So continue esok.
7 Feb 2018
Pergi hkl bahagian paed. Datang awal kalau nak balik awal. So diorang datang pukul 7 pagi tu pun dapat no 4. Ada yang lagi awal dari diorg haha.. so cek dengan pakar kanak-kanak. doc tu cakap memang sakit bell palsy. Dan dia tanya kenapa stop ubat yang klinik swasta bagi tu.Kitorang cakap doc swasta takut sakit lain kalau continue ubat tu. Doc HKL cakap bell palsy mamang selalu jadi lepas budak-budak demam. Masa tu virus senang merebak. Lala jenis antibodi lemah dan cepat sangat demam.. so doc bagi antibiotic & steroid jenis tablet. (Fikir macam mana nak bagi pil kat lala) kena makan dalam masa dua minggu. 13 Mac 2018 follow up untuk tengak perubahan.
Malam tu start makan ubat pil. Sebiji pil kecik macam taik hidung tapi pahit sangat-sangat. Campur dalam air gula , sup tetap terasa pahit dia.. yang tua pun tak boleh telan inikan pula budak kecik.. malam tu memang tak dapat makan ubat pil tu.. lala makan antibiotik je. Huhu
8 Feb 2018
Mama cari ubat yang sama mcm klinik mesra bagi kat klinik kawan dia. Alhamdulillah ada yang sama mcm tu. Lala boleh makan dengan baik.. dia nangis tak nak sebab pahit tapi tak sepahit pil tu..haha sian lala. Dengar dia nangis merayu-rayu tak nak makan ubat kesian sangat. Hakak memang lari jauh dah nanti hakak hujan huhu.
22 Feb 2018
Ubat dah habis. Kitorang nampak banyak perubahan kat mulut lala. Mata pun dah berkelip sekata. Cakap pun tak senget-senget mulut. Alhamdulillah.
13 Mac 2018
Check up doc. Alhamdulillah Lala dah sihat sepenuhnya tak perlu datang hospital dah. Masa tu rasa bersyukur sangat.. dan semoga tak kan datang hospital dah sampai bila-bila.
Moral : Jangan terlalu obses nak korek telinga anak.Nanti tahi tu keluar sendiri. bersihkan yang terkeluar tu je..bahaya untuk kanak-kanak..diorang tak tau nak explain sakit macam mana. So beware. Ok!
Moral : Kalau demam terus pegi check jangan tangguh. Jangan suap ubat sesuka hati. Kita tak tau sakit dalam badan dia.
Tq kawan-kawan yang doakan lala. Allah makbulkan doa kita. Kawan-kawan Mai dari bff, yang kerja nurse, pharmacist, tqsm sebab beri tunjuk ajar macam mana nak bagi ubat dekat lala.. tq tau..
Sape nak share boleh share..ingatan untuk kita semua.
#bellpalsy
#bellpalsyfighter
#KhaylaNurKhadeeja
Alhamdulilah kini Khayla Nur Khadeeja, kian kembali pulih dan boleh tersenyum seperti sedia kala.Semoga kisah ini bermanfaat dan boleh dijadikan pengajaran buat mak ayah yang lain.Pantau keadaan anak ketika demam dan segeralah bawa berjumpa doktor jika berlaku sebarang perubahan keadaan fizikal pada anak.Jangan sebarangan korek telinga anak-anak iya, lebih-lebih lagi ketika anak demam.
Kasih seorang mak, di hari perkahwinan pun sempat ingatkan anak, “rumah mesti bersih”. Biarpun anaknya sudah meningkat dewasa dan sudah berkahwin, kasih sayang seorang tidak akan pernah kurang.
Malahan setiap kata-kata atau nasihat daripada seorang ibu penuh bermakna. Apatah lagi tatkala melepaskan anak perempuan melangkah ke alam perkahwinan.
Kasih Seorang Mak
Walaupun ramai yang mengatakan seorang ibu ‘kuat membebel’ tetapi sebenarnya ia adalah kata-kata nasihat kerana mereka sayangkan anak. Kadang-kadang anak tersalah tafsir dengan tindakan ibu.
Baru-baru ini, aksi seorang ibu yang sempat memberikan nasihat kepada anaknya pada majlis perkahwinan menjadi tular menerusi video yang dimuatnaik di TikTok.
Di Hari Perkahwinan Pun Sempat Ingatkan Anak
Ternyata rata-rata warganet terhibur dengan aksi ibu kepada pengguna TikTok Emilia atau Nur Aisya Humaira yang tidak henti memberikan nasihat buat permata hatinya itu.
Dalam paparan video tersebut kelihatan si ibu seolah memberikan nasihat dengan nada yang kuat berkaitan dengan pengurusan rumah tangga.
“Rumah mahu bersih ya,” kata si ibu yang anggun memakai cheong sam merah.
Hal itu menyebabkan Emilia berpakaian songket kelihatan serba salah dan tidak henti ketawa.
Bahkan wanita itu turut berseloroh menyuruh ibunya segera pulang. Bagaimanapun Emilia segera memeluk ibunya meminta maaf.
Ragam dua beranak berbangsa Cina itu menarik perhatian tetamu yang turut ketawa.
Wargamaya Terhibur
Beralih ke ruangan komen, kebanyakan wargamaya turut terhibur gelagat Emilia dan ibunya. Kata mereka memang begitulah kebiasaan seorang ibu tidak mengira bangsa apa pun.
Dalam kegembiraan meraikan perkahwinan, hati ibu pasti sayu melepaskan.
Mingguan Wanita : Biarpun seorang anak telah mendirikan rumah tangga, ia tidak bermakna kasih sayang ibu dengan anaknya akan terputus.
Chocodap’s, Faith Fleur, Anggun Cotton Collection, Teh Ais Pyorr, Masak-masak Cekyana (Oden viral) dan bayak lagi jenama lain mempunya ratusan ribu pelanggan masing-masing.
Tak ramai anak Melayu kita mampu bina empayar perniagaan dari bawah dari tiada apa-apa. Ia bukan dicipta sehari dua. Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sepanjang pendakian.
• Apa rahsia mereka?
• Apa yang mereka lakukan?
• Apa ilmu-ilmu yang diamalkan?
• Siapa yang susah senang bersama mereka?
• Apa dugaan dan keperitan yang dilalui?
Teringin ikut jejak mereka?
Semua ini akan terjawab di program Webinar Eksklusif CEO BIsnes Viral anjuran Mingguan Wanita pada 25 September 2021 secara virtual. Dangarkan sendiri perkongsian jujur mereka. Eksklusif!
Menangi hadiah-hadiah cabutan bertuah serta wang tunai bernila RM100.
Mak-mak yang ada anak lelaki akan ada kemungkinan ini ketika membesarkan mereka. Iaitu menjerit bagai nak rak sebab nak bagi anak lelaki dengar cakap.
Baiklah, menjerit itu tak salah. Cara jeritan itu yang kena diperbetulkan. Pastikan bukan kata-kata hinaan, cercaan atau makian yang keluar dari mulut mak-mak. Bimbang emosi baran yang terbit dalam jiwa anak lelaki mak-mak.
Apa yang mak sebut itu satu doa. Jadi, doakanlah anak lelaki dengan kata-kata yang HEBAT.
Tapi buat mak-mak yang ‘Kaki Menjerit’ dekat anak lelaki, kena terima dengan lapang hati kemungkinan ini. Pertama, anak lelaki akan jadi sedikit terjal dan keras jiwanya. Baran pun iya.
Mereka juga dalam diam akan jadi seorang yang pendendam. Makin banyak jeritan mak laungkan, bimbang makin memendam rasa anak lelaki kita itu.
Lalu apakah cara terbaik nak pujuk anak-anak lelaki yang dah mulai keras jiwa dan raganya itu.
Yang ini memang perlukan KERJA KERAS dan kesungguhan 200 peratus daripada mak-mak.
3 Cara Untuk Buang Baran Anak Lelaki
Pertama : Ajak Anak Berdoa Sama-sama Mak Sebelum Tidur
Sebelum masuk tidur, ajarkan anak doa tidur. Bacakan surah Al Fatihah dan tiga Qul bersama anak-anak. Minta anak doa sama-sama agar lembut hati dan jiwa raga.
Memang bukan mudah ya mak-mak. Anak mungkin akan lari, buat-buat tak nak beri kerjasama. Tapi kitakan mak diaorang, tentu ada cara yang lebih baik yang mak-mak boleh memujuknya.
Kedua : Minta Bantuan Suami Sekurang-kurangnya Solat Jemaah Ketika Maghrib.
Nak berkumpul satu keluarga bersolat jemaah untuk lima waktu, pasti agak sukarkan. Jadinya pilihlah waktu terbaik untuk himpunkan keluarga kita.
Biasanya waktu maghriblah paling bagusnya untuk berkumpul. Solatlah berjemaah. Sebab dengan cara ini, hati akan menjadi satu.
Ketiga : Usahakan Usap Kepala Anak Lelaki Dan Peluk Mereka
Anak lelaki ini tinggi egonya. Melangit betul. Lagi-lagi kalau dah biasa kita jerit-jerit dekat mereka. Cubalah sambil lalu-lalang depan mak-mak tu, usap-usaplah kepala anak lelaki.
Sambil usap itu, doakanlah sekali. Peluk anak kita itu. Tak kisahlah, kalau dia tengah merajuk ke, waktu dia tak nak pun tarik dan peluk.
Kadang dia cuma kekok. Sebab tak biasa bila mak peluk-peluk ni. Tapi percayalah itulah yang mereka dambakan belaian kasih dari seorang mak.
Tiga cara di atas paling ringkas nak buat tapi memerlukan usaha yang begitu kental. Dan tiga cara itulah jika mak-ayah boleh praktikkan akan melembutkan hati anak lelaki. Akan mengurangkan baran emosi mereka.
Kenapa Anak Lelaki Kena Diajar Lembut Jiwa
Anak lelaki ini pewaris pemimpin keluarga. Sebab itulah mereka perlu dilentur emosinya sejak kecil lagi. Susah hatikan bila baca akhir-akhir zaman ini ramai sekali ayah yang gagal menjalankan amanahnya.
Lagi susah hati bila kita tengok anak-anak lelaki kecil-kecil lagi sudah nak jadi HERO.
Jadi mak-mak biarlah kita penat besarkan mereka, biarlah kita letih layan karenah mereka.
Tapi bila besar nanti anak lelaki kita jadi seorang suami yang melindungi anak dan isterinya.
Menjadi anak lelaki yang kasih mak ayahnya
Suami yang sangat menghargai penat lelah isteri.
Ayah yang penuh cinta dengan seikhlasnya anak-anak yang diamanahkan untuknya. Bukan untuk didera, bukan untuk dijadikan tempat melepas baran.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...