Mak Ayah Mohon Take Note, Mulai Tahun 2020 Kerusi Keselamatan Bayi DIWAJIBKAN!

Share

Memang satu saranan dan cadangan yang baik daripada Kementerian Pengangkutan apabila bakal mewajibkan pemasangan (baby car seat) atau kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta. Ini kerana bab keselamatan bayi dan anak-anak seharusnya dititik beratkan dan tidak ambil sambil lewa.

Banyak kes yang berlaku, anak-anak mahupun bayi tercampak dari kereta, terhentak serta mengalami kecederaan yang teruk akibat tidak menggunakan kerusi keselamatan yang seharusnya dipakai ketika dalam perjalanan.

Diwajibkan Tahun 2020

Terbaru, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menerusi laporan Bernama berkata kerajaan akan mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian pada tahun 2020.

Beliau berkata sebelum ia dilaksanakan secara mandatori, pihaknya akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019.

“Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia (dari segi ) tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ke-59, di sini, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook

Cadang Tidak Kenakan SST

Katanya pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

“Diharapkan MOF menerima cadangan kami dan sekiranya terdapat sebarang pengumuman positif, kami berharap ia akan diumumkan Jumaat ini,” kata Loke.

Sementara itu, MAT MKJR ke-59 merupakan platform bagi anggota jawatankuasa untuk mengetahui dan menilai pengurusan keselamatan jalan raya pada setiap tahun serta membentangkan cadangan meningkatkan keselamatan jalan raya melalui forum dan sidang pleno.

Antara anggota MKJR yang terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Mingguan Wanita bersetuju sangat dengan cadangan yang diwajibkan ini. Bukan apa banyak kes kematian bayi dan kanak-kanak berlaku akibat kemalangan sebab sikap sambil lewa mak ayah yang tidak mementingkan penggunaan kerusi keselamatan ini. Sedangkan risiko kecederaan parah dan kematian ini boleh dielakkan mahupun dikurangkan.Jadi buat mak ayah dah bolehlah siap sedia beli, pasang dan gunakan kerusi keselamatan bayi untuk anak-anak ini dari sekarang.

Sumber: Bernama

Published by
Suhaidah Abd Wahab