Kata orang, anak-anak ibarat kain putih, terpulang kepada ibu bapa untuk mencorakkan mereka. Itu jelas menunjukkan betapa pentingnya ibu bapa mengambil berat soal didikan kepada anak-anak walau sesibuk mana pun mereka. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia, juga penulis tetap ruangan Permata Hati di dalam majalah Mingguan Wanita.
Istimewa
Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini amat istimewa. Tidak seperti makhluk Allah yang lain, Allah ciptakan kita memiliki dua unsur iaitu unsur jasad dan unsur roh yang memerlukan satu dengan lain. Kedua-dua unsur inilah yang membentuk diri manusia. Oleh kerana itu jugalah martabat manusia dinaikkan ke darjat seorang khalifah yang diberikan tugas secara kontrak untuk memakmurkan alam jagat ini.
Namun, ramai yang terlupa akan kontrak yang pernah dimeterai di hadapan Allah SWT ini, lalu menyebabkan tujuan hidupnya menjadi kabur. Rakan penjaga yang dihormati, kita semua pernah berjanji di hadapan Allah SWT dengan penyaksian yang sama ketika Allah SWT bertanyakan kepada sekalian zuriat Bani Adam: Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka secara serentak dan berjemaah kita menjawab: Ya, kami menyaksikannya! (Surah Al-A’raf:172).
Khalifah Allah
Penyaksian ini hakikatnya membawa dua maksud iaitu penyaksian bahawa kita adalah hamba Allah SWT dan yang keduanya, penyaksian bahawa adanya ikatan tali persaudaraan yang akrab sesama manusia yang secara langsungnya menunjukkan kita adalah khalifah Allah di muka bumi-Nya. Setiap daripada kita menduduki barisan hadapan mewakili makhluk Allah yang lain.
Manifestasi daripada hakikat ini ditunjukkan dalam ibadah solat yang diamalkan sehari-harian, di mana setiap pergerakan solat yang dilaksanakan oleh kita hakikatnya menghimpunkan setiap pergerakan ibadah makhluk Allah yang lain.
Sebagai contoh, pergerakan sujud kita mewakili kedudukan haiwan yang merayap/merangkak seperti ular, buaya, ikan dan sebagainya. Manakala pergerakan rukuk kita mewakili kedudukan haiwan ternakan seperti kambing, lembu dan seumpamanya. Kemudian pergerakan berdiri tegak pula mewakili kedudukan pokok-pokok dan tumbuhan.
Dihitung
Jika dihayati dan direnungkan banyak lagi pergerakan yang boleh kita lihat biiznillah. Bukti ini dan banyak lagi menunjukkan bahawa penciptaan kita bukanlah perkara yang bersifat saja-saja tanpa tujuan khusus kerana setiap perbuatan dan percakapan kita pasti akan dihitung dan ditanya di akhirat kelak (Surah Al-Mukminun: 115).
Oleh yang demikian, jiwa khalifah ini harus digemburkan malah dihidup suburkan dalam diri anak-anak kita. Mereka harus tahu bahawa kehadiran mereka di dunia ini ada fungsinya dan kita semua telah pun seolah-olah menandatangani sebuah kontrak dengan Allah SWT. Justeru, kehidupan kita ini misinya adalah untuk menjalankan kontrak tersebut. Jiwa kita sedar akan hal itu, maka jiwa yang sedar ini harus sentiasa diberikan peringatan agar dia mampu memimpin jiwa jasadnya untuk sentiasa mematuhi kontrak perjanjian tersebut.
Jika tidak, jiwa roh kitalah yang akan menanggung akibat buruknya dan menanggung kesengsaraan kerana dia sedar bahawa dia telah melakukan perkara yang menyalahi kontrak tersebut. Hasilnya, konflik diri akan sentiasa berlaku, jiwa terasa kosong dan tidak tenteram dan banyak masa dibazirkan dengan hal-hal yang sepatutnya tidak diutamakan.
Perkenalkan
Bagi menyuburkan jiwa khalifah ini, anak-anak kita perlu diberikan kelaziman yang meletakkan diri mereka dalam keadaan mematuhi kontrak tersebut iaitu dekat dengan fitrahnya yang baik. Sejak kecil lagi mereka harus diperkenalkan dengan Allah SWT, Rasul s.a.w dan persaudaraan dalam Islam.
Hal ini kerana ketiga-tiga perkara asas inilah yang diikrarkan di hadapan Allah SWT. Kita bersaksi bahawa Allah adalah Tuhan kita dan penyaksian yang dilakukan secara berjemaah menunjukkan kita perlu hidup secara berjemaah dan berukhuwah dan cara yang paling baik yang harus diikuti untuk menjalankan kedua-dua kontrak ini adalah dengan mengikuti sunah dan akhlak Baginda Rasulullah s.a.w.
Hayati Dan Syukuri Perbezaan
Anak harus dibiasakan dengan Al-Quran dan perlu kenal rapat dengan Baginda Nabi s.a.w. Selain itu, anak-anak juga harus dilazimkan dengan kehidupan bermasyarakat. Mereka harus faham bahawa kita semua adalah sama dan perbezaan zahir yang dilihat hanyalah sekadar warna-warni ciptaan Allah yang harus dihayati dan disyukuri bukan untuk dibesar-besarkan.
Daripada penghayatan inilah, jiwa khalifahnya akan subur insya-Allah. Malah kontrak perjanjiannya dapat dijalankan dengan mudah tanpa banyak gangguan. Percayalah, anak-anak yang memahami akan perkara asas ini dapat memimpin dirinya malah persekitarannya dengan baik dalam kerangka tauhid, insya-Allah. Wallahualam.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI