Mak Ayah Kena Kenal Pasti Apa Keutamaan Dalam Didik Anak

Anak-anak adalah permata keluarga. Bagi memastikan dirinya terus bersinar, pendidikan yang baik harus diberikan. Ini kerana pendidikan atau ilmu adalah hak bagi seorang anak demi mengisi akalnya dengan baik.

Hanya dengan ilmu akal dan hatinya dapat menemukan makna yang terbaik buat diri dan lanjutan daripada itu akan lahirlah sebuah peribadi yang baik dan sejajar dengan nilai-nilai yang ditetapkan dalam Islam. Ia bermula dengan ilmu. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia. 

Penyerapan Maklumat

Apabila bercakap soal ilmu, ia amat berkait dengan platform pendidikan bagi anak-anak. Tidak kira dalam konteks sekolah mahupun di rumah seharusnya dikotomi pendidikan tidak berlaku. Pembelajaran bukan hanya bertempat di sekolah. Ia harus bermula sejak anak mula mengenal alam kehidupan sehinggalah dia kembali ke liang lahad. Inilah hakikat pendidikan.

Bagi menentukan ilmu yang baik dapat disematkan, kita harus faham dan bijak meletakan keutamaan dalam pendidikan mereka. Sebagaimana yang kita ketahui, anak-anak ini pada awal usianya mudah menyerap apa sahaja maklumat yang terdapat dalam persekitarannya. Malangnya, dia belum mampu menyaring maklumat tersebut. Semua maklumat tersebut akan diserap secara “lump sum”.

Mak Ayah Kena Kenal Pasti Apa Keutamaan Dalam Didik Anak

Ads

Didik Anak tentang Sang Pencipta

Oleh sebab kehebatan mindanya ketika ini mampu menyerap segala jenis maklumat maka maklumat yang diberikan haruslah yang berbentuk asas dan penting dalam kehidupan sebagai seorang manusia iaitu yang memiliki tugas sebagai hamba dan khalifah Allah.

Pendidikan ini adalah pendidikan tentang tauhid dan iman yang memberikan anak pengetahuan dan makna bahawa dirinya adalah hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab yang harus ditunaikan demi untuk mendapat reda dan cinta Allah seperti bersyukur, mengenali Allah sebagai pencipta dan Tuhan Yang Esa.

Di samping itu, tetap berperanan sebagai khalifatullah yang bertanggungjawab mengelola urusan keduniaan sebaik mungkin kerana Allah. Di sini, anak-anak harus dididik tanggungjawab ibadah seperti tatacara bersolat, membaca Al-Quran dan pendedahan terhadap amalan-amalan beragama yang lain.

Ads

Saring Maklumat

Dalam pada itu, kekurangan mindanya yang masih belum mampu menyaring maklumat pula harus di pandu dengan menyaring terlebih dahulu maklumat yang ada dalam persekitarannya dan memberikan panduan berkala tentang apa sahaja maklumat yang sampai ke dalam persekitarannya. Di sini, ibu bapa harus berperanan sebagai contoh teladan yang terbaik untuk anak-anak. Kita harus berkorban dan berusaha sedaya mungkin untuk melakukan hijrah kepada yang lebih baik.

Prestasi dan akhlak diri harus dipertingkatkan, sunah-sunah Rasulullah s.a.w harus dijadikan panduan hidup bagi mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Perubahan ini akan membentuk persekitaran keluarga yang lebih positif dan membantu persekitaran tumbesaran anak-anak yang jauh lebih baik.

Ads

Pendidikan Tauhid

Oleh yang demikian, pendidikan yang harus menjadi keutamaan dalam mendidik anak-anak adalah pendidikan tauhid agar kehidupan anak dipasak kuat dengan pengenalan dan penggantungan yang tinggi kepada al-Khaliq yang Maha Besar. Pendidikan tauhid ini adalah hak anak-anak untuk kita penuhi.

Jika kita rasa tidak mampu menyediakan perkara tersebut dengan baik maka kita harus berusaha menambahkan ilmu berkaitan dengannya, melakukan perubahan diri dan persekitaran dalaman keluarga dan melakukan peneguhan dengan menghantarkan anak ke persekitaran sekolah yang memiliki hal tersebut agar anak-anak tidak terlepas daripada memilikinya.

Tetap Penting

Apabila menceritakan soal prioriti atau keutamaan, ia bukanlah menolak terus-menerus pendidikan berbentuk akademik seperti Matematik, Sains dan sebagainya. Malah kesemua ini amat penting untuk diketahui bagi melengkapkan dirinya selaku manusia yang memegang jawatan sebagai khalifatullah dan bertanggungjawab untuk mengelolakan alam.

Oleh yang demikian, pendidikan harus diberikan dengan baik kepada diri anak, dengan mengutamakan pendidikan tauhid, ibadah dan akhlak kemudian ilmu pengurusan diri dan persekitaran menerusi subjek-subjek akademik yang lainnya. Wallahualam.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI