Mak ayah memang main peranan besar dalam mencorakkan anak-anak. Beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini memberikan kita petanda bahawa ada sesuatu yang perlu diperbaiki dalam persekitaran pendidikan anak-anak kita di rumah.

Gejala dadah, buli, maksiat dan zina semakin berleluasa dan yang paling menyedihkan apabila gejala ini turut melibatkan kanak-kanak di bawah umur. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah, USIM, juga kolumnis majalah MINGGUAN WANITA. https://www.facebook.com/naznur.muhamad

Ambil Langkah Untuk Bendung

Mak ayah, tidak dapat tidak, kita harus mengambil langkah untuk kembali memerhati dan menyelidiki persekitaran pendidikan yang telah kita bentuk di rumah agar gejala seumpama ini dapat dibendung daripada terus menular. Perubahan ini bersifat urgent dan harus dilakukan segera memandangkan generasi kita semakin tenat.

Pendidikan Bermula Di Rumah

Kita tidak dapat menolak kenyataan bahawa, pendidikan teras anak-anak bermula di rumah. Kitalah guru pertama anak-anak. Secara langsung atau pun tidak segala tindakan dan persepsi yang diperhatikan anak akan diserap ke dalam minda bawah sedarnya dan kemudiannya dijadikan panduan untuk menjalani kehidupannya.

Mak Ayah Kalau Nak Anak Jadi ‘Orang’,  Jangan Putus Asa Bimbing Mereka!Foto 123royaltyfree

Persekitaran Positif 

Perkara ini berlaku sedari kanak-kanak berusia kecil. Oleh yang demikian, bagi memastikan persepsi yang terbentuk dalam mindanya adalah sebuah persepsi yang positif maka persekitaran yang kita sediakan untuk dirinya juga harus positif.

Ads

Tambahan pula, dalam keadaan generasi dan zaman yang semakin maju. Persekitaran yang ada di luar persekitaran rumah anak-anak sangat mengancam diri mereka. Jika tidak dipasakkan terlebih awal dengan sebuah persepsi yang positif dalam persekitaran keluarga maka dia akan cenderung tenggelam di dalam arus yang sedia terbentang di luar rumahnya.

Hasilnya, anak-anak mudah terpengaruh dan kehilangan identiti dirinya sebagai seorang muslim yang seharusnya berperwatakkan hamba dan khalifah Allah SWT.

Bantu Anak Tapis Maklumat

Anak-anak kita berada di tengah-tengah arus kemodenan yang amat mencabar. Dunia yang materialistik dan kurang perikemanusiaan. Dunia tanpa sempadan yang mereka sedang hadapi kini membuka minda mereka seluasnya terhadap pelbagai jenis informasi yang tidak dapat ditentukan baik dan buruknya. Perkara inilah yang amat membimbangkan.

Ads

Jika kita masih menggunakan cara yang lama dalam mendidik generasi yang sebegini maka kita hakikatnya telah membuka seluasnya peluang untuk perkara yang buruk terjadi kepada anak-anak dari segi pemikiran, perwatakan, jati diri, akhlak dan adab. Oleh yang demikian, kita perlu ambil peduli bukan sahaja tentang makan dan pakainya malah yang lebih penting adalah pertumbuhan emosi dan spiritualnya.

Pasakkan Ilmu Agama

Anak-anak kita harus dipasakkan dengan ilmu agama yang boleh membantunya menguruskan dirinya dan persekitarannya mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah.
Perkara ini harus diberikan seawal mungkin kerana waktu kecil inilah minda dan kefahaman mereka masih boleh dibentuk dengan baik.Gunakan cara yang baik seperti saranan daripada imam Ali r.a iaitu berdasarkan kepada umur mereka.

Disiplin Dan Kasih Sayang

Dalam pada ingin mendidik mereka dengan disiplin, mereka seharusnya dapat merasakan kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada kita, kedua ibu bapa mereka. Kasih sayang ini menyuburkan hati, membentuk emosi yang positif dan memberikan rasa empati. Oleh yang demikian, anak-anak ini sukar untuk menurut hawa nafsu dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Ads

Selain itu, perkukuhkan institusi kekeluargaan dengan amalan-amalan sunah yang telah disarankan dalam Islam. Sebagai contoh, solat di awal waktu, membaca al-Quran, bertadabbur al-Quran berserta maksudnya dan sebainya. Amalan-amalan ini membantu mengukuhkan institusi kekeluargaan dan hubungan hati sesama ahli keluarga.
Apabila hati telah bertaut segala masalah akan dikongsi bersama. Dari sinilah kelak kita dapat memberikan tunjuk ajar dan panduan kepada anak-anak kita dalam menghadapi kehidupannya.

Mak Ayah Kena Tunjuk Akhlak Baik

Kemudian, tunjukkan akhlak yang baik dan boleh dicontohi oleh anak-anak. Segala tingkah laku kita diperhatikan mereka. Oleh yang demikian tidak dapat tidak kita harus mengubah perangai yang tidak baik kepada yang lebih baik kerana generasi yang kita ingin lahirkan adalah generasi yang soleh.

Selain itu, luangkanlah masa bersama dengan mereka. Hanya dengan meluangkan masa kita dapat tahu perkembangan diri anak-anak dan memantau kegiatan mereka serta memberikan panduan dan nasihat. Kurangkan hiburan di rumah kerana hiburan melalaikan hati.

Jadi, berpada-padalah dalam berhibur. Anak-anak perlu didedahkan dengan batasan-batasan yang perlu dijaga dalam kehidupan. Semua perkara harus diseimbangkan. Insya-Allah didoakan usaha yang kita jalankan ini ada impak yang positif dalam diri dan kehidupan anak-anak kita kelak. Wallahuallam.

https://www.mingguanwanita.my/jangan-biarkan-anak-menjadi-tuan-mendidik-anak-perlu-kena-gaya/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI