Bila dah ada anak, apa saja mak ayah sanggup lakukan demi kegembiraan mereka. Namun, tak mustahil, ada juga yang berkira dengan anak bila nak belikan sesuatu pada mereka.
Fikir mak ayah, kalau beli untuk anak-anak, risau duit akan habis atau tak cukup untuk beli barangan lain. Sedih sungguh.
Sedangkan kita semua tahu, anak itu adalah rezeki, tak perlu nak berkira dengan anak. Waima, anak nak beli coklat atau aiskrim, layankan saja. Dengan cara ini, kita tak tahu rezeki mak ayah akan bertambah-tambah.
Tak salah layankan apa yang nak anak dan tak perlu berkira dengan anak, asalkan mak ayah mampu beli mengikut kemampuan. Ada rezeki lebih, kongsi bersama anak. Inilah kebahagiaan dan kepuasan buat mak ayah bila tidak berkira dengan anak.
Dalam perkongsian oleh Mohd Fhais Salim, ada 7 perkara yang mak ayah jangan berkira dengan anak.
“Pernah tak dengar orang tua-tua kata, rezeki anak ni tak akan pernah putus. Sentiasa ada je.
Ads
Kadang tak di sangka-sangka rezeki tu datang tanpa di cari dan tanpa di pinta pun.
Asalkan kita jangan berkira dengan anak pada 7 perkara ni :
1. Makanan
Anak nak makan apa layankan, nak minum apa berikan. Selagi ia tak berbahaya dan memudaratkan beri je. Jangan cerewet dan berkira sangat bab makanan. Makanan pun rezeki juga.
2. Alat mainan
Semua anak gembira dapat mainan. Tapi tak ada la hari-hari nak kena hadiahkan mainan, kopak macam tu. Boleh jadikan reward untuk kelakuan baik atau pencapaian anak-anak kita.
3. Pelajaran
Jangan hanya pilih sekolah yang murah, yang dekat, yang senang masuk sahaja tapi cuba usaha yang Terbaik ikut pada kemampuan anak kita. Usaha untuk anak tak boleh berkira-kira, baru anak usaha beri yang terbaik pada kita.
4. Perlindungan
Anak nak membesar sihat dan bijak dia kena rasa selamat dan terjamin. Dia kena tahu bahawa kita boleh jadi “support system” yang dia bergantung harap. Contoh macam medical card, itu pun perlindungan. Kalau jadi apa-apa senang, rawatan anak terjamin.
Ads
5. Ilmu Keibubapaan
Tak ada satu pun amal jariah kita yang boleh berkekalan sampai bila-bila, walau setelah kita mati melainkan ilmu yang bermanfaat. Tak pernah rugi tambah ilmu keibubapaan ni.
Ilmu tanpa amal tu gila, amal tanpa ilmu tu sia-sia. ( Imam Al-Ghazali )
6. Keperluan Harian
Macam baju dan seluar. Ada anak suka pakai baju gambar dinasour, kalau yang gegirl suka gambar pony. Layankan sahaja, asalkan dia gembira. Alah, baju budak murah-murah, berlambak dekat shopee tu hah. Nak dengan tak nak je.
7. Jalan-jalan
Selain bermain dan alat mainan, jalan-jalan adalah benda yang paling anak suka. Tak yah jauh-jauh pun, jalan-jalan depan rumah bawa ke taman permainan pun diorang dah cukup gembira sakan punya.
Jalan-jalan tu asbab je, sebenarnya anak ni mahu ada Kualiti Time dengan kita je. Layankan selagi boleh layan.
Alhamdulillah, ini yang saya amalkan. Rezeki tak pernah putus.
Dari satu job masuk satu job. Dari pakai kereta kecil sekarang dah pakai kereta besar. Dari duduk rumah biasa-biasa sekarang hah, Allah bagi duduk rumah 2 tingkat. Syukur sangat-sangat.
Ads
Rahsianya, jangan pernah berkira-kira dengan anak. Tu je!
Wallahu A’lam.
Mingguan Wanita : Betul sangat. Tak perlu berkira sebab mak ayah pun tumpang rezeki mereka juga. Layankan saja, mengikut kemampuan kita.
Memang ada benarnya tak mudah menjadi seorang wanita, lebih-lebih lagi apabila diuji menghadapi pelbagai dilema dan stigma daripada masyarakat.Sungguh, ramai wanita sebenarnya yang menangis dalam diam, namun terpaksa terus kuat walaupun dibebankan dengan pelbagai tugasan serta diduga emosinya.
“Tangan yang menggoncang buaian, adalah tangan yang bisa menggegar dunia”.
Lama saya tak menulis panjang, sesekali kena upkan juga terutama bila ada butir bicara yang perlu disuarakan. Saya perhatikan masih ramai yang menghadapi dilema dan stigma wanita.
Baru ni terbaca pasal kes Sugu Parvithra dan kisah prank nak uji kesetiaan teman wanita yang kononnya nak dijadikan jodoh. Hal orang, saya tak mahu mengulas dalam konteks peribadi. Cuma bila membabitkan wanita dan ‘eksploitasi’ yang berat sebelah, terpanggil juga nak berkata sepatah dua secara am.
Kes ini buat saya ralat dengan pandangan terhadap wanita. Tak kisahlah yang bekerjaya mahupun surirumah sepenuh masa. Baik yang single, berkahwin mahupun janda.
Tak Perlu Uji Kesetiaan & Sikap Wanita
Wanita itu normanya setia. Kalau rasa tak ada sifat kelelakian setinggi langit, lelaki tak perlulah menguji kesetiaan ataupun sikap wanita. Kalau lelaki sendiri tak ada usaha dan cita-cita, tak perlulah cemburui kejayaan pasangan (isteri) sehingga isteri terpaksa mengalah dan melepaskan cita-cita sendiri kerana utamakan suami. Dalam kes curang, curang wanita itu bila tertekan ataupun tiada perasaan akibat sikap lelaki. Bukan mempertahankan kaum sejenis, tapi kebiasaannya begitulah. Bila berkisar soal hati, beralahnya wanita kerana kasihan, demi ego seorang lelaki.
Wanita zaman sekarang kalau perlu atau inginkan apa-apa, ramainya berusaha keras untuk dapatkan sendiri. Tak perlu label perempuan ‘gold digger’ atau mata duitan. Mungkin ada, tapi bukan semua. Berdasarkan pengalaman sendiri, kalau ibu tunggal balik lewat malam kerana soal kerja, dikata berfoya-foya. Tak peka tinggal anak dibiar berdikari kata
mereka. Kalau mampu hidup selesa, tinggal tempat mewah, silap haribulan, dikata ada yang membela.
Tapi itulah stigma terhadap wanita. Kalau dimanjakan dengan hadiah dan barang-barang oleh suami, dilabel menghabiskan duit suami. Hakikatnya itu sememangnya tugas suami yang berkemampuan. Kalau beli barang kemas, hadphone atau apa saja guna duit sendiri pun, suami juga yang dikata menaja. Belum bab beli rumah, kereta sendiri. Silap haribulan, itupun dikata harta pemberian atau pembelian suami. Walhal, itulah hasil titik peluh sendiri. Lembu punya susu, sapi dapat nama.
Harga ‘Mahal’ Seorang Wanita
Dan paling ‘mahal’ harga menjadi seorang wanita, walau bekerjaya dan bekerja setara lelaki, anak-anak dan rumahtangga tetap perlu terbela dan harus jadi keutamaan. Dari hal kebajikan dan persekolahan anak, bab mengaji dan sembahyang, pakaian, keperluan. Belum masuk soal pengurusan keluarga dan kekemasan rumahtangga segenap ruang. Dari sekecil kecil hingga ke besar besar keperluan. Semua perlu diperhatikan dan diambil kisah. Sudah-sudahlah bias terhadap wanita bilamana pengorbanan seorang wanita itu terlalu besar hingga mengabaikan diri sendiri.
Haish! Kesian betul jadi wanita kan. Berapa ramai yang celik mata dan ‘salute’ keupayaan wanita. Ya..mungkin ada, tapi selalunya wanita dipandang enteng (taken for granted) dan tiada yang betul betul dihargai sepenuhnya. Ramai wanita yang menangis dalam diam tapi terpaksa terus kuat walau dibeban tugasan dan diduga emosi. Wanita sejati tak perlu ditatang dengan wang ringgit melimpah ruah. Setia dan kasih sayang akan datang sendiri bila wanita itu difahami dan dihormati dengan cara yang sepatutnya.
Sedarlah! Wanita yang sering menangis itulah wanita yang paling kuat dan wanita yang sering diuji, itulah wanita yang paling kental dan keras memperjuangkan nasibnya.
Walau perit, berbanggalah menjadi wanita yang setia dalam perjuangan yang tiada noktah.
Ila Fadzilah – feminist yang mencari redha Allah.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, mengubah stigma dan persepsi kitapada wanita.
Tarik anak dan asingkan kejap bagi dua-dua tahu dia dah buat benda yang salah! Haa… inilah teknik time out, salah satu cara untuk disiplin anak yang suka buat perangai.
Biasalah bila dah ramai-ramai ada lah yang salah seorang yang akan buat hal. Mak ayah nak marah pun tak guna, jadi cuba guna cara yang didedahkan Puan Norasikin Hussein ini. In shaa Allah, perlahan-lahan anak akan sedar tentang kesalahannya.
Sebagai ibu bapa tak semestinya saya benar selalu. Namun saya cuba yang terbaik. Saya juga mengalu-alu pandangan orang lain. Tiada kaedah yang sempurna.
Apa tu ‘Time Out’
Diperkenalkan oleh ahli psikologi dan doktor-doktor pakar.
Time out adalah kita sisih anak di sudut diam. Kata lain ialah kita asingkan anak, biarkan mereka menyendiri di satu ruang yang kita dah tetapkan beberapa minit. Teknik ni salah satu cara untuk mendisiplinkan anak selepas mereka melakukan perkara yang tak sepatutnya di buat. Perkara yang tak diingini oleh kita.
Memang dah ada kajian berkaitan ni. Teknik sisih anak beberapa minit sebegini lebih berkesan berbanding kita pukul, ugut, label dan lain-lain. Saya pernah juga baca dikatakan teknik ni dapat mengurangkan masalah tingkah laku kanak-kanak.
Time out dengan cara kita pindahkan. Kita asingkan anak dari persekitaran atau dari tempat dia telah lakukan kelakuan kurang baik tadi ke tempat lain dengan tujuan untuk mengurangkan perangai kurang baik tersebut.
Kita asingkan anak ni ke tempat lain dari aktiviti sosial yang dia sedang nikmat buat sebelum tu. Contohnya dia sedang main masak-masak. Ni aktiviti aisyah bersama orang lain iaitu kakak 4 tahun dia sebelum adegan tarik rambut tadi.
Peringkat awal buat agak payah untuk dapat kerjasama anak2. Dilema. Dah diberi peringatan. Dah marah. Dah nasihat. Dah diberitahu supaya jangan diulang lagi salah yang sama. Kecewa. Sudahnya saya juga yang gagal tahan emosi. Akhirnya jalan akhir naik tangan.
Teknik ni hanya sesuai untuk anak 2 tahun ke atas. 2 tahun kebawah anak masih belum faham lagi.
Teknik time out ni ramai ingat ni adalah hukuman bagi anak-anak. Sebenarnya time out bukan hukuman.
Time out adalah strategi untuk kita bimbing anak untuk didik anak kendalikan diri dan untuk belajar tenangkan diri mereka sendiri. Time out dapat latih anak belajar bersabar, kenal erti tanggungjawab atas perlakuan tak wajar dan negatif mereka.
Nampak tak..
Time out bukan hukuman.
Macam mana nak buat?
1. Beri peringatan terlebih dahulu pada anak. Jangan terus buat. Anak belum faham jika kita terus buat time out.
Jelaskan pada anak terlebih dahulu;
Bawa anak ke sudut yang kita dah pilih.
Letak anak di atas kerusi time out.
Maklum pada anak bila dan sebab-sebab dia akan diatas kerusi tu nanti.
Beri peringatan pada anak jika dia berkelakuan sekian sekian dia akan ditempatkan disitu. (Cara ni nak boleh buat anak berfikir dan memahami kesalahan yang telah dilakukan itu adalah kelakuan yang melanggar peraturan dan tidak dibenarkan.)
2. Kiraan masa 1 tahun 1 minit. 6 tahun 6 minit. Tak perlu lama-lama.
3. Pastikan anak dengar kata kita. Cakap dengan tegas. Pandang mata. Jangan cakap sambil lewa.
4. Letak anak disudut yang senang di lihat. Bukan kunci anak dalam bilik gelap atau dalam tandas. Ni salah.. Cara begini buat anak takut dan rasa tak selamat. Buatlah di sudut yang lapang dan kosong. Jadi kita boleh lihat dengan jelas dan selamat. Paling penting jika ada kerusi pastilah anak tak turun kerusi. Biarkan anak duduk dalam keadaan selesa. Terpulang pada anda nak letak kerusi atau tak. Saya tak. Sebab agak susah untuk saya kawal emosi mereka yang tak stabil tu ketika diatas kerusi waktu tu. Namun saya percaya anak-anak boleh dilatih untuk ni. Cuma saya agak malas untuk bab kerusi ni.
5. Boleh pasang alarm atau jam loceng dekat dengan anak. Dicadangkan beli jam besar supaya anak boleh lihat detik jam. Haha. Saya tak buat bab ni. Saya lebih senang berpandukan jam dinding sedia ada dan alarm telefon bimbit sendiri.
6. Ulangi jika anak meninggalkan tempat. Jika anda pasang alarm atau jam loceng. Mohon ulangi lagi.
Ambil maklum:
Ikut pengalaman saya.. awalnya gagal lakukan untuk anak pertama dahulu. Salah satu faktor kegagalan saya sebagai ibu sebab saya masih ada tawar menawar dan beri perhatian ketika anak tinggalkan tempat time out.
Contohlah…
Sepatutnya anak time out 4 minit tapi sampai masa 2 min anak sengaja turun dari kerusi atau dah keluar dari tempat time out tu. Saya lembut hati dan biarkan.
Anak akan ambil peluang ni. Mereka buat lagi kemudian hari. Mereka bijak.
Saya ingatkan diri sendiri jangan ada tawar menawar, rundingan atau lembut hati ketika sedang lakukan time out ni. Demi kebaikan mereka untuk semua ni dan kita juga dalam mendisiplin anak.
Harus tegas dan jelaskan pada anak belum masanya. Jam loceng atau alarm belum berbunyi(jika ada). Jangan benarkan anak tinggalkan kerusi atau tempat time out tersebut. Jika mereka langgar sila buat lagi sekali. Repeat sampai cukup masa. Dengan cara ni anak semakin lama akan faham. Inilah peraturan. Bukan suka-suka.
7. Jangan bercakap masa tengah buat time out.
Saya juga pernah buat. Cara ni tak betul. Jangan marah-marah, berleter, merungut, nasihat panjang sebab anak dah tahu waktu tu dia dah buat salah dan kita melarangnya. *kembali pada point no. 1 iaitu perlu ada sesi penerangan dan amaran sebelum time out.
Elak bercakap dengan anak jika anak ajak bercakap sekalipun. Ingat kembali tujuan asal kita time out mereka. Tujuan asal kita adalah untuk tarik masa seronok anak dari aktiviti dia sebelum tu. Anak jangan diajak bercakap dengan sesiapa pun. Jangan peduli. Jangan layan sebarang permintaan mereka ketika time out.
8. Time out juga bermaksud kita beri ruang pada anak dan diri kita untuk bertenang. Time out cegah marah melampau pada kenakalan anak. Cegah diri kita dari memekik, melaung!
9. Jika anak sengaja kotorkan tempat time out. Arahkan mereka bersihkan tempat berkenaan sebelum tinggalkan tempat atau ruang tersebut.
10. Bincang dengan anak selepas time out. Duduk dan bercakap. Jelaskan pada anak kenapa dia telah di time out supaya anak-anak faham tujuan dan dapat pengajaran dari teknik ni. Jelaskan juga jika mereka berkelakuan baik kita takkan buat begitu. Selesai peluklah anak. Biar diaorg tahu kita ibu bapa yang sentiasa sayang dan kasihkan mereka.
11. Hampir terlupa. Sepatutnnya point ni diatas. Segerakan time out setelah nampak perlakuan tak enak anak. Jangan lengahkan. Nanti anak tak faham. Dah kenapa mak aku letak kat situ.
12. Time out tak boleh dibuat selalu. Nanti kurang berkesan. Macam saya, saya buat bila benar-benar perlu sahaja. Contoh jika mereka buat sesuatu yang membahayakan diri dan orang lain, bergaduh sampai naik tangan dengan adik beradik berebutkan barang saya segerakan time out.
Yang lain-lain seperti…
Anak pukul-pukul meja sebab nak gula-gula walaupun sebelum tu dah diberi berulang kali.
Mengamuk sebab tak dapat mainan walhal dah siap janji sebelum tu no toys sebab dah ada mainan yang sama kat rumah.
Hanya contohlah.. Saya lebih suka ambil pendekatan ignore. Teknik pengabaian. Usah dilayan perlakuan sedemikian. Nanti kita akan bazirkan tenaga dengan memarahi anak. Ko cool je mak. Tak percaya buat. Nanti datanglah mereka pada kita.
Ok.
Sekian.
Terima kasih pada yang membaca.
Nota:
Time out adalah teknik yang mengambil masa. Bukan hari ni buat terus anak faham. Perlukan kesabaran.
Terfikir. Kalau kita as parents buat salah perlu tak di time out diri sendiri.. Kan? Hahaha
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kenapa ada sesetengah suami lokek beri ‘me time’ isteri yang penat. Sedangkan suami lepas bebas lakukan ‘me time’ mereka tanpa hiraukan hati isteri. Alasannya isteri di bawah tanggungan suami, nak buat apa-apa perlukan keizinan suami.
Contoh isteri nak belajar menjahit, memasak, keluar dengan kawan boleh jadi gagal jika suami tak izinkan. Tapi suami boleh bebas memancing, melepak dengan kawan, bermain bola walaupun isteri merungut masam tak merelakan. Adilkah di situ? Bro Ohsem, Akhtar Syamir mengulas panjang lebar isu ini dalam status facebooknya.
Bagaimana dia sebagai suami, Nora Azni dan bapa kepada dua orang anak menghargai ‘me time’ seorang isteri. Membenarkan dengan kerelaan isteri merasai momen keluar tanpa ditemaninya agar isterinya dapat menghilangkan rasa penat selepas menghabiskan seluruh kehidupannya dengan rumah tangga.
Bila Suami Terlalu Mengongkong, Ini Yang Jadi
Dari jauh saya tengok dia. Comel je dia tengah posing sana-sini bergambar dengan kawan-kawan baru. Nampak jelas keseronokan dia mengikuti kelas make up tu. Turn saya jaga anak-anak pula.
Tapi malangnya ada yang saya dengar sendiri dari orang di sekeliling. Ada yang memperlekehkan bila si Isteri nak pergi belajar make up. Membazir katanya.
Ada juga yang mempertikaikan bila Isteri nak berzumba, “tak payah buang masa, u gemuk pun I sayang“.
Tak kurang juga ada yang tak ambil kisah bila isteri nak mengikuti kursus perniagaan, “tak cukup ke I bagi u makan sampai nak berbisnes bagai?”
Kelas memasak pun tak boleh pergi, “u masak nasi putih dengan telur mata pun dah sedap dah“.
Begitu juga, kelas bakeri takut nak benarkan, “nanti hari-hari dok makan roti, gemuk pulak u, I tak setuju“.
Bagaimana pula dengan Kelas menjahit? “Sepanjang hidup dengan I nie pernah ke takde baju nak pakai sampai sibuk nak menjahit?”
Yang paling mengecewakan, kelas online pun tak boleh masuk. Sampai macam tu sekali.
Tu belum kelas agama, mengaji / fardhu ain dan lain – lain. “Nanti – nanti je lah” katanya.
Akuinya, “Sedih bukan bila pasangan sendiri terlalu negatif apabila si isteri nak tambah ilmu dan buat apa yang dia minat. Impiannya itu terhalang. Walhal hasil daripada usaha isteri itu akan dikongsikan bersama. Kebenaran suami sebenarnya boleh membuatkan isteri jadi lebih gembira malah menambah keyakinan diri mereka.”
Sebab itu, suami perlu UBAH MINDSET.
“Kita kena ingat yang isteri juga ada keinginan dan cita – cita. Isteri bukannya hamba yang kerjanya nak jaga suami dan anak – anak je.”
Saya namakan situasi ini sebagai “kebebasan yang terkawal”. Beri peluang isteri untuk buat apa yang dia minat asalkan ianya dalam kawalan. Mudah je sebenarnya. Isteri yang happy akan melahirkan keluarga yang happy.
Wahai suami! Benarkan isteri ada me time sendiri.
6 Sebab ‘Me Time’ Untuk Isteri Yang Penat Itu Penting
“Sayang, boleh tak hari ini sayang nak keluar dengan Kak Risz dan Ana? Anak-anak sayang bawa sekali, Ana pun bawa Aiman.”
Belum sempat dia sambung, saya dah cakap “Boleh sayangku, jaga diri baik – baik, jaga anak-anak.” Kenapa saya terus benarkan tanpa banyak soal? Pergi mana pun tak tau, balik pukul berapa pun tak tau. Tapi main bagi je.
Dan kerana kebenaran yang diberikan itulah akhirnya menjawab beberapa persoalan kenapa seorang isteri yang penat itu memerlukan ‘Me Time’ masa bebas untuk diri mereka sendiri. Para suami, silalah hadam.
1. Kerana Saya Nampak Sebagai Peluang
Peluang untuk beri isteri saya dapat sedikit sebanyak “ME TIME” yang boleh. Saya sedang bekerja, jika tidak saya sendiri akan jagakan anak – anak untuk dia. Lagipun saya kenal dengan ipar – ipar Isteri saya tu.
2. Beri Ruang Untuk Isteri Menentukan Sesuatu Yang Istimewa Dalam Hidupnya
Apa sebenarnya “ME TIME” ni ya? “ME TIME” ialah situasi di mana pasangan kita mendapat masa terluangnya SENDIRI dan dia bebas melakukan apa yang dia mahukan. Terpulang jika dia nak bawa anak ke tak nak. Pilihan terletak di tangan isteri tetapi mengikut kesesuaian keadaan juga. Kalau suami tengah bekerja macam mana nak tolong jagakan anak ye tak?
Sehebat mana pun kita biasa dengar pasal QUEEN CONTROL, sebenarnya kes di mana Isteri tidak mempunyai kuasa untuk bersuara atau menentukan apa – apa dalam hidup adalah amat banyak. Cuma kita je yang tak tau sebab Isteri yang diperlakukan sebegini jarang berkongsi kerana tidak mahu mengaibkan suami dan dirinya sendiri.
3. Jangan Biar Isteri Ternanti-nanti Di Rumah, Suami Pula Bebas Lakukan Me Timenya Sendiri
Senario seperti, suri rumah atau Isteri yang bekerja tidak boleh melakukan aktiviti lain selain mengemas rumah, memasak serta menguruskan suami dan anak sahaja. Sebaliknya suami bebas mempunyai masanya sendiri seperti berjumpa kawan, memancing, berkonvoi kenderaan, bersukan sendiri di gym dan hobi – hobi yang lain sambil meninggalkan Isteri di rumah setia menanti cinta hatinya pulang dari “ME TIME” mereka.
Soalan seperti “Abang boleh, kenapa sayang tak boleh? Sayang pun nak keluar dengan kawan / ipar / adik beradik jugak” bakal disangkal dengan perkataan “awak tu isteri orang, anak pun dah berderet, duduk rumah jaga anak je, itu tanggungjawab awak, nak keluar buat apa”?
Amatlah kasihan apabila terjadi perkara sebegini di mana pasangan menutup rapat mata dan telinga tentang betapa pentingnya “ME TIME” buat Isteri.
4. Cuba Letakkan Diri Suami Dalam Diri Isteri, Mampukah Anda Gantikan Tugasnya?
Kenapa ianya penting? Kerana kita sebagai suami belum tentu mampu buat apa yang Isteri kita buat SETIAP HARI.
Jangan bohong jika ada suami berbangga berkata mereka boleh menggantikan SEMUA tugas Isteri. Sehari mungkin, dua hari dah mengeluh, seminggu dah tension, sebulan dah naik gila. Memang tersangat penat. Kita kadang-kadang nampak senang kerana mereka hebat dan cekap dalam membuat kerja – kerja tu. Ambil contoh basuh berak anak je. Bukan semua lelaki mampu. Itu tak masuk bab bagi makan anak. Kalau anak tak nak makan, terus kita biarkan je. Sedangkan kalau Isteri yang bagi, mesti dipaksanya habis sepinggan.
5. ‘Me Time’ Sebenarnya Beri Ruang Isteri Berehat Dan Curhat Dengan BFFnya
Salah satu komponen dalam “ME TIME” ialah rehat. Isteri kita perlukan rehat. Penat weh jadi suri rumah sepenuh masa. Penat juga menjadi suri rumah dan bekerja. Bagilah mereka rehat juga. Mungkin ada yang kata “saya tak perlukan ME TIME, saya nak spend masa dengan anak dan suami je”. Bagus juga begini, tapi itu pilihan anda. Keluarga kita, kita corakkan BERSAMA. Bukan dari suami sahaja.
Komponen lain dalam “ME TIME” ialah bersosial. Bila dengar perkataan nie saya jamin ramai suami yang dah mula marah. Bersosial tidak salah. Jika perkara buruk terjadi dari bersosial, orang tu sendiri yang perlu dipersalahkan. Bukan konsep bersosial tu. Bersosial dalam kawalan adalah amat baik di mana Isteri meluangkan masa bersama adik beradik, kawan dan ipar yang kita kenal. Mereka tersangat perlukan benda nie. Bayangkan hari-hari mengadap muka kita dan anak-anak je. Sedangkan kita pergi kerja dapat juga jumpa kawan-kawan. Janganlah pandang negatif perkara ni kerana Me Time amat memberi manfaat kepada Isteri kita.
6. Isteri Pun Ada Minat Dan Hobi Yang Akan Membahagiakannya
Akhir sekali ialah minat dan hobi. Kita sebagai suami ada minat dan hobi kita. Ada yang minat bermotor, kereta, memancing, gym, tengok bola, futsal, bowling dan lain – lain. Kalau kita boleh, kenapa kita anggap isteri kita tak perlu semua tu? Isteri pun manusia juga kan?
Ini Alasan Padu Bro Ohsem
Saya bukan nak ajar macam mana nak uruskan rumah tangga. Cuma saya nak bukakan mata yang selama ni tertutup. Harap jangan salah faham dan buang ego tu jauh-jauh. Kita bukan sentiasanya betul. Termasuklah saya sendiri.
Berilah “ME TIME” atau masa bebas kepada Isteri anda. Isteri yang penat layak dan perlukannya. Mesti mereka seronok dapat keluar bersama rakan perempuan dan buat aktiviti perempuan yang kita sendiri sebagai lelaki mungkin tidak faham. Tahan ke nak menunggu berjam-jam mereka window shopping? Belum tentu kan?
Hasilnya, anda akan hidup dalam keluarga yang harmoni, toleransi dan Isteri yang happy. Saya selalu tekankan ini : Isteri yang Happy = Keluarga yang happy.
Dan konsep “Kebebasan yang Terkawal” perlu diterapkan. Ianya umpama bermain layang-layang, bebas tetapi masih setia dengan pemegang benang.
Saya doakan semoga keluarga kita semua sentiasa bahagia sampai bila – bila.
Dan jika apa yang saya sampaikan ini bermanfaat, silakan SHARE supaya dapat juga memberi manfaat kepada orang lain. Jangan copy paste tanpa kredit tau. kasihan saya taip panjang-panjang.
Sumber/Foto : Facebook Akhtar Syamir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...