Mak Ayah Jangan Mengata Anak Orang Meragam, Walaupun Cuma Terdetik Dalam Hati

Share

Persoalan terdetik dalam hati ini kadangkala tanpa sengaja mak ayah akan terbuat juga. Tengok anak orang tantrum depan mata, kita pun berkata-kata sendiri dalam hati ‘kenapalah mak ayah dia tak pujuk’, ‘ini mesti salah asuhan mak ayah’ dan macam-macamlah.

Bak pesan Bonda Nor, Allah itu Maha Mendengar mak ayah. Biar pun kata-kata itu cuma dituturkan dalam hati, namun bila Allah nak uji, kita akan alami apa yang mak ayah anak tantrum itu alami.

Macam mana nak perbaiki kembali diri? Inilah cara yang Bonda Nor ajar.

Pernah Tak Rasa Terdetik Hati Rasa Tak Puas Hati..

Saya mengendalikan satu seminar parenting.

Pasangan muda itu mengadukan kisah si manja mereka yang tantrum. Asyik menangis, menangis, menjerit, mengamuk. Dah buat macam-macam cara. Tak menjadi, katanya.

Pernah tak dulu rasa rimas tengok anak orang menangis? Pernah tak terdetik kat hati tentang rasa tak puas hati pada mak ayah budak tu?”

Mereka terkejut mendengar soalan saya. Akhirnya, pelan-pelan si suami mengangguk. Pernah. Lalu segera saya menitipkan pesan.

Banyakkan istighfar. Kalau boleh solat sunat taubat. Kadang ketika hati kita terlanjur menghakimi apa yang jadi pada orang lain, Allah akan bagi kita rasa apa yang dia rasa

.”

Saya tak bercakap kosong. Saya berbekalkan pengalaman sendiri.

Pesan Saya Ini Atas Dasar Pengalaman Sendiri

Saya seorang ibu yang tegas. Anak pertama, kedua dan ketiga saya walaupun meragam, saya masih mampu kawal mereka dengan baik. Mereka tahu limit masing-masing. Tahu bila mama dah tarik muka masam, maknanya mereka perlu berhenti meragam.

Satu ketika, seorang anak kecil menangis tak henti-henti. Waktu tu saya letih dan nak tidur. Tangisannya benar-benar mengganggu saya.

Mula-mula saya sabar. Budak menangis? Biasalah. Tapi anak kecil itu terus menangis. Meraung. 15 minit. Setengah jam. Satu jam. Ya Allah. Saya dah mula mengeluh. Rimas!

Manalah mak budak ni? Takkan tak boleh nak kawal anak sendiri? Budak je kot!’

Kata-kata yang tak terluah. Cuma keluhan dalam hati.

 

Nah! Allah Beri Saya Rasa Apa Yang Mak Budak Tu Rasa

Selepas itu saya mengandungkan anak keempat. Nah, Allah beri saya rasa apa yang mak budak tu rasa! Kali ini saya dapat anak jenis tantrum. Kalau mengamuk, habis-habisan. Kalau menangis, satu jam pun dia boleh meraung dan mengongoi secara berterusan.

Ketika itulah baru saya tahu bahawa memang ada kes anak menangis yang sukar dikendalikan. Memang ada! Dan segarang-garang saya, sepandai-pandai saya cuba menggunakan segala mak nenek psikologi yang ada, tetap gagal. Tetap tak mampu nak kawal! Astaghfirullah.

Jangan main-main dengan persoalan lintasan hati. Mulut tak ucap pun. Tak ada hati sesiapa yang kita sakitkan pun. Tapi Allah Maha Mendengar. Dan Allah bersedia untuk ‘mengajar’ agar kita cepat tersedar. Pengajarannya besar. Jangan nak rasa diri lebih baik daripada orang! Jangan jadi macam syaitan yang rasa dirinya lebih baik daripada Adam!

Allah.. Allah..

Bila Rasa Terdetik Dalam Hati, Cepat-cepat Istighfar

Sungguh sejak peristiwa tu, bila sesekali terdetik rasa tak puas hati dengan orang itu ini, saya cepat-cepat bilas dengan istighfar. Takut nak kutuk orang. Takut Allah balikkan pada diri sendiri. Lintasan hati je pun! Tapi saya dah rasa kesannya. Ya Allah, takutnya! Seksa!

Baru-baru ni saya berbual dengan seorang ‘kakak’ yang saya hormati. Tersentak saya bila beliau menceritakan tentang anaknya yang ditangkap polis kerana kes dadah. Sungguh, saya sangat mengagumi kebaikan dan ketenangannya. Tampak keibuan. Tampak wibawa. Suaminya juga orang hebat. Orang yang dihormati dalam masyarakat.

Tapi anaknya terlibat dengan dadah. Dah beberapa kali ditangkap polis. Ya Allah. Macam mana boleh jadi macam tu?

Dulu, ada anak kawan akak terlibat dengan dadah. Mak ustazah. Ayah ada PHD. Terdetik kat hati akak, agaknya mak budak ni sibuk sangat sambung belajar ambil master sampai anak-anak terbiar macam tu.

Masa tu, akak sendiri pun sedang teringin nak ambil master. Nak sangat. Tapi akak batalkan. Sebab akak takut anak akak jadi terbiar macam anak dia. Akak ingat bila akak tak ambil master, anak akak baik-baik je. Tapi tak!

Allah tunjukkan pada akak satu pengajaran. Takdir Allah ni jangan kita nak pandai-pandai nak buat kesimpulan sendiri. Jangan kita pandai-pandai nak judge orang itu orang ini. Akak tak ambil master sebab takut anak terlibat dengan dadah macam anak dia. Tapi anak akak sama juga, Menagih juga! Allah…”

Allah Ajar.. ‘Jangan Pandai Pandai Nak Judge Orang Itu Ini’

Berderau darah saya mendengar ceritanya. Menggeletar jiwa memikirkan betapa Allah Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di fikiran kita.

Kalau hal yang terlintas di fikiran pun kita Allah balas, apatah lagi jika yang kita cakap dengan lepas. Kita tengok orang itu perangai begini dan begini, kita kutuk, kita caci. Hati-hati, terlalu besar potensi untuk keburukan itu berbalik pada diri sendiri!

Cuba kita tengok pasangan kita, anak-anak kita. Apa yang kita tak puas hati dengan dia? Apa masalah dia? Kita duduk diam-diam, kita muhasabah balik diri kita. Kita cuba cari punca. Adakah semua masalah yang berlaku itu ujian atau hukuman?

Takut-takut kesilapan yang dilakukan oleh mereka itu sebenarnya berpunca daripada kejahatan mulut kita sendiri atau pun mungkin pada sekecil-kecil perkara yang terlintas di dalam hati.

Insya-Allah, sama-sama kita cuci balik semua kesilapan kita dengan banyakkan beristighfar dan solat sunat taubat. Mudah-mudahan Allah terima dan perbetulkan kembali hidup kita.

Kami memohon keampunan-Mu, Ya Allah.

Sumber/Foto : Bonda Nor

Published by
Netty Ah Hiyer