Mak Ayah Gaduh Depan Anak, Mungkin Dia Tak Faham Tapi Jiwanya Memberontak

Share

Kadang-kadang, mak ayah sudah terbiasa bergaduh mahu pun bertekak depan anak-anak. Tanpa kita sedar, anak ini mungkin akan pendam perasaan atau lebih teruk mula memberontak tanpa kita sedar.

Mungkin mak ayah anggap itu hanyalah perkara biasa dan anak tidak faham apa yang ditekakkan oleh mereka berdua. Tapi dari gerak badan dan muka sudah tentu ia boleh menggambarkan keadaan ini. Lebih teruk bila anak-anak perasan mak ayah tak bercakap. Macam mana tu?

Mengulas lanjut tentang suami isteri bergaduh, Mohd Shariman bin Che Deris.

Haru biru jadinya, suami tinggi suara isteri pula nyaring mempertahankan diri, masing-masing tidak mahu mengalah, ego meninggi mempertahankan soal hak dan membela diri, tanpa mereka sedar anak sedang memerhati, anak sedang menilai dan anak sedang meletakkan hukuman tanpa disedari oleh si suami dan isteri yang masih leka menghamburkan kata-kata tajam dan sinis.

Iye lah, angin dah penuh satu badan mana boleh nak ditahan-tahan lagi rasa marah tu, mana nak tahu anak ada berdekatan.  Allahu, cukup mudah memberi alasan tanpa ada nilai keinsafan apakah yang mungkin berlaku terhadap anak yang sering melihat pergaduhan ibu dan ayahnya, yang mendengar ucap nista, serangan kata-kata pedas di antara ibu dan ayahnya, apakah yang dirasai oleh si anak ketika itu?  Tidak bimbangkah  anak ini akan trauma kemudiannya dan terganggu perkembangan mentalnya hanya kerana mahu dilepaskan kemarahan terhadap pasangan?

Ramai yang mengambil mudah soal ini, mereka anggap anak ini tidak faham dan  tidak perlu masuk campur urusan orang tua.  Benar, mereka tidak perlu masuk campur namun pergaduhan ini berlaku di depan anak dan telah menyebabkan hidup mereka juga sudah dicemari dengan peristiwa yang tidak sepatutnya dipertontonkan. Apakah tidak ada rasa bersalah terhadap anak ini?

Bayangkan saja, dalam usia bawah 12 tahun, anak ini telah dihidangkan dengan gambaran tidak baik tentang ibunya, tentang bapanya, perbalahan, pergaduhan dan pertengkaran, bermasam muka dalam rumah  tangga.  Sedikit demi sedikit ia akan memakan jiwa dan rasa bahagia si anak hingga memungkinkan timbulnya rasa bosan, benci terhadap kedua ibubapanya.  Apatah lagi jika ibu bapa pula melibatkan si anak dalam pergaduhan mereka. Ya Allah, mereka tidak faham dan mereka tidak mahu dimengertikan apa isu pokoknya pertengkaran ini, anak ini hanya mahu bahagia bersama keluarga, anak ini hanya mahukan kehidupan yang normal bersama ibu dan ayahnya.

 “Awak kan tahu keadaan saya bagaimana? Kenapa awak asyik mendesak saya je, kalau saya tidak buat kerja overtime ini mana saya nak dapat duit tambahan untuk belanja keluarga.  Saya dapat duit nanti, saya akan bayar yuran anak-anak ni, awak uruskan lah dulu dengan sekolah, janganlah desak saya macam ni”

Bagaimana perasaan anak-anak jika mereka mendengar pertengaran ini?  Anak ini akan kemurungan dan rasa sangat bersalah kerana mereka menjadi punca pergaduhan.

 “Sudahlah abah, jangan lah marah ibu lagi, kesian ibu.  Abah sudahlah bergaduh tu abah.  Ibu sudahlah ibu, jangalah lagi bergaduh dengan abah”  Iye anak merayu, jika tidak di depan ibu bapanya, dia akan merintih dalam hati, merayu dan mengharap agar dihentikan pergaduhan. 

Suami isteri perlu tahu dan sedar bahawa pergaduhan mereka di depan anak akan hanya membawa keburukan dan menjejaskan emosi serta mental juga perkembangan tingkah laku anak-anak. Malah kajian daripada Earmon McCrory, Universiti College London membuktikan jika ibu bapa bergaduh depan anak dan si anak melihat ibunya dipukul, dimarahi kesannya anak ini akan memiliki corak pemikiran yang sama seperti tentera di medan perang.

Kesan Pada Anak

Setiap suami dan isteri perlu ambil kira sebelum mahu memulakan perang dalam keluarga di depan anak.

  1. Anak Gagal Mengawal Emosi Dengan Baik

Anak akan menbesar dengan emosi yang tidak terkawal, mereka melihat dan merasai letusan emosi ibu dan ayahnya, perkara ini terpasak dalam fikiran anak-anak dan mereka akan semudahnya menjadi stres, kemurungan dan rasa bersalah.  Mereka tidak mampu untuk mengawal emosi ini dan semudahnya dilepaskan tanpa kewarasan.

  1. Perkembangan Otak Anak-Anak Terjejas

Anak tidak dapat lagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, kekasaran akan dianggap satu kebiasaan dan penindasan diterima sebagai satu budaya. Anak-anak ini akan membesar dalam keadaan punya satu sifat prejudis dan persepsi negatif yang tinggi terhadap keluarga dan orang lain.

  1. Anak Akan Menjadi Liar Dan Mengalami Perubahan Tingkah Laku Yang Buruk

Latar belakang keluarga akan sering mempengaruhi tingkah laku anak-anak, anak yang lari daripada rumah kerana tidak tahan ibubapanya sentiasa bergaduh, menjadi liar dan rosak tingkah laku. Anak hilang keyakinan diri dan menjadi mangsa buli kerana sering melihat penindasan berlaku di rumah malah ada anak yang akan hidup hanya dalam dunianya, menyisihkan diri dan anti sosial kerana merasakan dunia ini tidak adil, mereka takut untuk berhubung rapat dan menerima kasih sayang.

  1. Anak Memendam Perasaan Dan Menjadi Sukar Diduga

Anak yang sering dilibatkan dalam pergaduhan ibu bapa akan memilih jalan diam dan memendam rasa, mereka tidak mahu memihak dan tidak mahu dilibatkan. Anak ini akan lazimnya bercakap sendirian, mempunyai ‘kawan khalayan’ dan sering meluahkan rasa di media maya mengunakan akaun palsu. Anak ini sedang mengalami keadaan ketidaktentuan diri dengan pelbagai rasa yang dipendam dan membentuk nilai diri seakan bom jangka yang bila-bila masa saja boleh meletop dan membahayakan keluarga dan rakan sekelilingnya.

  1. Anak Memberontak, Agresif Dan Hilang Kepercayaan

Anak ini akan hilang ketenangan dalam hidupnya, perasaan marah, kecewa, sedih akan sering menguasai diri.  Anak ini akan mula bertindak agresif, menjadi biadap dan kurang ajar, anak ini protes dalam diam dan memberontak sehingga hilang kepercayaan mereka terhadap ibu bapa dan orang sekeliling.  Anak ini akan membesar dalam keadaan bersangka-sangka dan berpendapat orang akan sentiasa mahu menyerangnya.

  1. Prestasi Akademik Merosot

Perasaan bimbangkan ibu dan bapanya akan menghilangkan fokus dalam akademik, anak ini merasakan tiada maknanya lagi dan tidak ada keperluan untuk dia cemerlang dalam akademik, anak ini lebih melayan rasa dan membuai perasaan sehingga hilang minatnya dalam akademik.

  1. Kemahiran Anak Untuk Hidup Tiada

Anak lemah dalam kemahiran meneruskan hidupnya, lemah dalam perjuangan, lemah dalam kemahiran berkawan, lemah dalam menyelesaikan masalah. Anak ini akan sering menjadi mangsa keadaan dan tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.

Berlakon & Hipokrit

Langkah yang terbaik adalah mengelakkan pergaduhan ini di depan anak-anak, ibu bapa perlu belajar untuk berlakon dan bersikap hipokrit di depan anak agar perselisihan faham mereka ini tidak dihidu anak.  Persoalan paling penting adalah bagaimana untuk mendisiplin diri agar tidak bertengkar di depan anak?

Panduan

Cuba lakukan perkara ini untuk mengelakkan berlakunya pergaduhan di depan anak.

  1. Apabila rasa hati mahu meletup dan kemarahan mula meluap terhadap pasangan, tarik nafas dalam-dalam dan cepat ambil wuduk untuk solat atau boleh juga mandi untuk sejukkan diri dan mengalihkan rasa marah itu kepada perkara lain. Apabila telah tenang, ajak lah suami ke bilik dan berbincanglah jauh daripada anak.
  1. Sekiranya ketika ini, pasangan anda telahpun meletop dan mula marah-marah. Anda perlu bertenang dulu dan ingatkan diri bahawa anak sedang melihat, anda tidak mahu anak ini menjadi mangsa keadaan.  Tenangkan diri anda kerana anda sayangkan anak.  Diam dan mendengar sahaja, bernafas dan bertenang.

Elakkan daripada melawan cakap dan ikut sama meninggi suara, ini akan hanya memburukan keadaan anak yang sedang melihat.

Kemarahan pasangan anda tidak akan sentiasa meninggi, apabila telah agak reda, anda minta izin untuk bawa anak ke bilik  dan bertenanglah.

Apabila telah tenang, berjumpa lah dengan pasangan anda dan berbincang dengan rasa hormat dan sayangkan rumah tangga.

  1. Bentuk perjanjian awal dengan pasangan kita bahawa anak-anak tidak boleh melihat pergaduhan dan dilibatkan dalam pertengkaran, bahawa kita berdua tidak akan bergaduh sekiranya anak ada bersama. Setiap pertengkaran akan ada jalan penyelesaiannya dengan syarat anda berdua berbincang dengan tenang dan result oriented.

Setiap pasangan perlu tahu di mana keutamaan mereka dalam rumah tangga dan perlu sedar bahawa setiap perbuatan mereka akan mendatangkan kesan sama ada baik ataupun tidak kepada anak-anak. Anak-anak perlu membesar dengan perkembangan emosi, fikiran dan tingkahlaku yang baik, anak-anak perlu mempercayai bahaya mereka bahagia dan hidup dalam keluarga yang dipayungi rasa cinta kasih sayang sekeluarga.

Ianya bermula dengan anda, berbincanglah dengan baik dan elakkan pertembungan konflik ego dalam rumah tangga, anda berdua ada anak yang perlu dijaga dan dididik dan mereka adalah amanah yang akan ditanyakan oleh-Nya nanti.

 

 

 

 

Published by
Nora