Mak Ayah Elak Cerita ‘Kenakalan’ Anak, Sebab Dia Pun Ada Harga Diri

Share

Bila anak buat perangai dan tak dengar apa yang mak ayah cakap, mulalah ‘naik angin’. Ini kalau ada di rumah, seorang anak buat perangai, rasanya semua anak kena. Kadang-kadang, kenakalan anak bukan hanya di rumah, boleh terbawa-bawa di tempat awam.

Biasanya, anak-anak yang tunjuk kenakalan di tempat awam, kalau mak-mak mahu menjerit, malu orang lain akan pandang. Nak senang, mak-mak hanya bagi renungan tajam sahaja. Bagi anak yang faham, mereka akan ‘behave’ dan yang tak nak dengar, nanti dapatlah habuan dalam kereta.

Begitulah, anak-anak nak membesar. Mungkin ada cara mak ayah yang tidak sedar, apa yang kita marah, tegur mahu pun memukul anak, ia sebenarnya memberi kesan pada anak itu sendiri. Anak pun ada harga diri dan terasa dengan apa yang kita lakukan.

Sebab itulah, jika dalam sehari anak kena marah atau pun tanpa sengaja merotan atau denda dek kenakalan mereka mesti mak-mak rasa sedih. Lebih-lebih lagi bila tengok raut wajah anak semasa tidur. Rasa kasihan, semua ada. Kadang-kadang, mak-mak berjanji pada diri sendiri tak akan buat lagi, tapi bila marah, mulalah sukar dikawal.

Sebenarnya, cara mak ayah melayan anak itu boleh membuatkan emosi anak tidak menentu. Inilah yang menyebabkan mereka rasa rendah diri dan hilang harga diri. Walaupun kita sebagai mak ayah menganggap sekadar untuk mengajar tapi ia boleh beri kesan pada anak.

Seperti apa yang dikongsikan oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan ini tentang perkara yang patut mak ayah elakkan agar anak-aank tidak terasa harga dirinya rendah.

Baca Artikel Menarik Lain Di Sini: Mak Ayah Ambillah 15 Minit ‘Special Time’, Bukannya ‘Cari Masa’ Bermain Dengan Anak

Ayat Inilah Mak Ayah Ucap Buat Anak ‘Tak Dengar Dan Nakal’, Hati-Hati!

Info Lebih Menarik DI SINI

Kenakalan – Anak Juga Ada Harga Diri

Cuba lihat anak-anak kalian yang sedang tidur tu. Tatap wajah mereka baik-baik. Pernah tak terlintas di hati kalian, dalam fikiran mereka yang suci itu, apa yang mereka fikirkan tentang kita, apa yang mereka fikir tentang diri mereka sendiri?

Tahu tak? Anak-anak kita, walau umurnya masih kecil, mereka tetap ada harga diri dan maruah. Harga diri adalah satu cara di mana kanak-kanak menilai diri mereka sendiri. Penilaian ini dibuat berdasarkan bagaimana mereka dilayan oleh ibubapa.

Ada beberapa perkara yang kita perlu hindari agar kita tidak menyebabkan anak merasakan harga dirinya sangat rendah. Anak-anak yang rasa harga dirinya rendah, cenderung menjadi insan yang mempunyai masalah sosial dan kecelaruan emosi.

Elakkan Perkara Ini

Antara perkara yang kita perlu dielakkan:

1. Mengherdik Anak Di Depan Orang Ramai

Kadangkala anak kita tak sengaja atau tak tahu apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang salah. Jika anak melakukan kesilapan atau kesalahan di kawasan awam, tak usahlah herdik atau pukul mereka di khalayak ramai. Tiada siapa selesa dimarahi di hadapan orang ramai, kerana ia menjejaskan reputasi dan harga diri.

2. Membuka Aib Anak Pada Orang Lain

Ibu bapa sering kongsi kisah gelagat aneh, perangai buruk dan kesilapan anak kepada orang lain, sebagai satu topik perbualan santai atau bergurau. Itu sebenarnya suatu memalukan dan dibenci oleh anak. Tindakan ini boleh menyebakan mereka hilang keyakinan diri, dan kepercayaan pada ibubapa.

3. Mengatakan Sayang, Tapi Bersyarat

Kadang-kadang kita gunakan ugutan dengan mengatakan kita tak menyayangi mereka bila mereka tak dengar nasihat. Ini sesuatu yang perlu dielak. Kita perlu mengatakan kita tak suka sesuatu perbuatan yang salah, bukan tak sayang kepada mereka. Mengatakan kita tak sayang mereka, adalah satu penderaan emosi.

4. Tuduh Suatu Yang Tak Mereka Lakukan

Syak wasangka yang berlebihan pada anak ada kesan negatif. Anak akan rasa dirinya tidak dipercayai dan dibenci. Mereka akan rasa nilai mereka dalam unit keluarga adalah kecil. Jika dibiarkan, anak akan mencari tempat lain untuk menagih kasih dan kepercayaan. Ini akan membuka ruang pengaruh tak elok dari luar.

5. Memandang Rendah Kebolehan Anak

Kanak-kanak memang tak cekap. Jika makan, habis berterabur. Bila menyusun, habis bersepah. Jika melukis, habis comot. Namun, hendaklah sentiasa memberi mereka peluang untuk mencuba. Jangan rendahkan semangat mereka dengan berkata mereka menyibuk dan buat tak pandai buat sesuatu kerja.

Semoga bermanfaat!

MW: Apa yang mak ayah buat ini, boleh juga berlaku di luar kawalan. Jangan terus menghukum anak-anak.

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Follow kami di :
Facebook Mingguan Wanita
Instagram Mingguan Wanita
Twitter Mingguan Wanita

Published by
Nora