Mak Ayah Diuji Anak Nakal Tak Makan Nasihat, Itu Sebenarnya Teguran Allah!

Mak ayah mana yang tak risau kalau anak-anak susah dibentuk dan degil bila dinasihati. Bahkan lebih teruk bila terlibat dengan gejala yang tak elok termasuk jenayah!

Kadangkala sukar nak percaya apabila melihatkan kes jenayah yang melibatkan anak-anak yang masih lagi di bawah umur. Mengapa mereka boleh bersikap sedemikian sedangkan jiwa mereka sepatutnya masih lagi suci, tanpa sebarang noda dan dosa.

Apabila kita diuji dengan sikap anak-anak yang nakal, ia sebenarnya adalah teguran dari langit! Masyarakat melihat isu ini berpunca daripada kegagalan institusi keluarga dan ia telah mengajar kita satu hikmah yang besar.

Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita.

Mak Ayah Rasa Diri Terbaik Didik Anak

Ramai mak ayah berasa sudah cukup baik dalam mendidik anak, padahal amat mengecewakan! Ambil gambar anak, letak dalam facebook kemudian tulis segala pujian setinggi langit kononnya aku ayah ibu mithali padahal bawa anak ke masjid pun setahun sekali.  Bagaimana boleh kita terlepas pandang tentang hak-hak anak yang belum mampu dilunaskan? Bukan setakat makan, pakai, tempat tinggal, sekolah sahaja bagaimana dengan hak-hak anak yang lain? Hak mendapat bimbingan agama, hak untuk dihidupkan jiwanya?

Mak Ayah Diuji Anak Nakal Tak Makan Nasihat, Itu Sebenarnya Teguran Allah!

Fungsi Mak Ayah

Mak ayah tiada masa untuk anak, satu cabaran zaman kini yang ramai tak insaf lagi! Mak tidak lagi dilihat sebagai orang penting dalam mendidik anak, kerana menyerahkan sebahagian masa anak kepada sekolah, penjaga di rumah jagaan anak atau orang gaji. Kerjaya janganlah menjadi penghalang untuk menyentuh ke dasar hati anak, kerjaya seharusnya menjadikan mak sentiasa insaf dan takut berdosa kepada anak.

IKLAN

Ayah amat memalukan perangainya, semakin tidak berfungsi dalam keluarga. Sudahlah isteri ikut membantu mencari wang membayar bil-bil yang tak sanggup suami bayar sendirian dibebankannya juga isteri dengan seluruh kerja-kerja mengurus rumah dan anak, sehinggakan sakit penat isteri pun tidak didengar. Bagaimana isteri boleh membahagi masanya untuk menghidupkan jiwa anak jika nak hidupkan api di dapurpun suami tak boleh tolong?

Semua serah pada isteri, jika anak bermasalah isteri juga yang salah lalu apa fungsi suami dan ayah? Apakah suami-suami sekarang sudah hilang kejantanannya kerana tak sanggup pikul beban rumah tangga bersama isteri? Betapa tidak malunya suami berperangai begini!

Baca artikel lain di sini:

Didik Anak Perempuan Ikutlah Sunnah Nabi, Bukan Ikut Trend, Barulah Hidup Berkat

Jangan Bebankan Tugas Didik Anak Pada Isteri Saja, Suami Kena Bertanggungjawab 

IKLAN

‘Kerjaya’ Melibatkan Jiwa

Menjadi mak ayah bukannya senang, ia kerjaya yang amat mencabar! Pulangannya amat besar, kebahagiaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Anak yang soleh menjadi penenteram hati kita, di dunia menjadi penyejuk mata dan di akhirat menjadi pemberat timbangan amal soleh mak ayahnya.

Jangan malu jika isteri tidak bekerja, kerana kerjaya mendidik jiwa anak lebih mulia. Tetapi tak mustahil, ibu-ibu yang menjadi suri rumah tidak juga pandai mendidik anak-anak dengan baik. Masa dihabiskan untuk chatting, tengok drama tv, sibuk mengurus masalah kawan-kawan, sibuk dengan hobi sendiri, anak-anak terabai juga akhirnya.

Masa Berkualiti

Dua kali rugi, rugi tiada karier dalam kerjaya dan pencapaian anakpun tidak menjadi! Ramai ibu-ibu yang bekerja hanya boleh berjumpa anak setengah hari saja, tapi mereka isi masa begitu berkualiti, mereka tidak hampakan anak bila bersama, tidak sibuk dnegan telefon, tidak bawa emosi negatif dari pejabat bila berjumpa anak, tidak libatkan anak dengan kesilapan sendiri yang dibawa dari luar rumah, ibu-ibu ini begitu bijak menguruskan jiwa anak dan menghidupkannya dengan nilai-nilai positif, menanamkan benih-benih iman setiap kali bertemu muka. Senyuman ibu itu menghantarkan nilai positif pada anak, ia boleh menyuburkan iman, apatahlagi jika si ibu pandai memngambil hati, memberi kata semangat dan motivasi.

Kelembutan Itu Suara Tuhan

Tetapi malang jika mak ayah malas memahami perasaan anak, bagaimana mahu bercakap lembut sedangkan ayah selalu tengking mak, ayah tak hargai mak, ayah jarang memuji mak? Bagaimana mak mahu memahami emosi anak jika ayah tak sudi berkongsi rasa dengan mak?

IKLAN

Tapi kita tidaklah menyalahkan suami sebulat-bulatnya, dia pulang pun kadang-kadang membawa emosi yang luka kerana dia manusia biasa. Tetapi janganlah tiada usaha untuk mengubat emosi keluarga, bermula daripada mak ayah kemudian ubati juga jiwa anak-anak! Mak ayah perlukan suara Allah untuk menghidupkan jiwa, Allah itu Maha Lembut, berlembutlah! Bukan bermakna tiada peraturan tetapi ajar dengan cara membuka ufuk pemikiran anak, menyoal dan memberi kefahaman dengan ilmu supaya ilmu itu boleh melembutkan hatinya.

Ramai mak ayah yang menganggap biarlah anak belajar semua tentang kehidupan, kebaikan dan kejahatannya tak payah dikongkong dan dijaga sangat. Mereka kata, kami dulu tak juga emak ayah jaga dengan sempurna tapi menjadi juga sebagai manusia. Jangan dicabar ujian Tuhan, anak itu ujian dari- Nya kalau rasa berani sangat hendak diuji dengan kejahatan anak sila abaikan agama dari jiwanya. Emak ayah kita, Allah uji dengan sedikit ujian, kita belum tahu lagi! Jangan berani sangat minta Allah uji lebih dari emak ayah kita! Aduhai ibu bapa, tengoklah muka anak kamu berdua. Dengarlah teguran dari langit!

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI