Berat sekali ujian keluarga Norhayati Saad, 41 dan suaminya, Mat Yusop. Dalam kegawatan ekonomi, dan anak kelima, Auni alami cerebral palsy serta perlu membesarkan 5 anak yang lain, ibu bapa ini sanggup berbuat apa saja.
Kelahiran Auni Zakirah dinanti dengan penuh harapan oleh ibu dan ayahnya. Diharapkan kelahiran anak kelima mereka ini dapat lagi memeriahkan keluarga yang menanti.
Norhayati dan Mat Yusop tak pernah menyangka Auni akan menjadi insan paling istimewa dalam kehidupan mereka. Kini dalam usia 8 tahun, Auni, anak istimewa di kalangan anak-anak mereka seramai 6 orang. Auni berbeza dan perlukan sepenuh perhatian.
Hujan turun dengan lebatnya sewaktu penulis melawat keluarga ini di kedai kecil tempat mereka mencari rezeki di Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Bunyi dentuman guruh di langit yang cukup kuat menakutkan sesiapa saja terutama anak kecil. Tapi berbeza sekali dengan Auni. Dia akan tersenyum dan ketawa merai bunyian guruh. Sedikitpun tak ada perasaan takut dalam diri.
“Berbeza sungguh dengan adik bongsunya Amani yang takut dengar guruh. Auni memang suka dengar bunyi-bunyi. Semakin kuat semakin dia suka.”
Auni Tak Boleh Duduk Sendiri
Melihatkan wajah suci Auni, sudah pasti ramai yang akan berasa sayu. Wajah tanpa sepalit dosa ini memang tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya.
Tatkala rakan sebayanya sudah mula bersekolah dan bermain sesama sendiri, Auni hanya mampu berbaring di atas tilam.
Ibunya redha dengan ketentuan Ilahi. Dia sedar takat kemampuan anaknya ini. Selagi nyawa dikandung badan, dia akan berusaha memberi yang terbaik buat Auni. Azam yang sama turut dipegang oleh Mat Yusop.
“Kami perlu kuatkan semangat demi anak-anak. Kehadiran Auni ini membuatkan kami lagi sabar dan kuat semangat. Anak istimewa ini banyak menguji kesabaran. Bila ada orang bagi pandangan negatif kami buat tidak tahu sahaja.
Ads
“Mulanya kami tidak tahu jenis penyakit Auni, Nak beri rawatan macam mana pun tak tahu. Sedikit demi sedikit kami belajar sampai boleh lalui bermacam cabaran.”
Dari Awal Kehamilan Dah Lalui Bermacam Masalah
Menurut doktor Auni mengalami masalah Hemimegoloencephaly dan Hypomelanoris of Hito. Atau dalam bahasa mudahnya, Auni mengalami masalah kesihatan yang dikenali sebagai cerebral palsy.
Cerebral palsy adalah gangguan gerakan, otot atau postur yang disebabkan oleh cedera atau perkembangan abnormal di otak, paling sering terjadi sebelum kelahiran.
Mengimbas semula permulaan perjalanan kehidupan Auni, menurut Norhayati, memang banyak masalah yang dialaminya sewaktu mengandungkan Auni.
“Dari awal kehamilan saya ada mengalami pendarahan, dan leaking. Masa dilahirkan pun, dia lemas. Tetapi pada masa itu doktor kata semua ok. Namun selepas dilahirkan dia terus dimasukkan ke dalam inkubator.
“Hari kedua, doktor beritahu anak saya ada sawan. Bermula dari situ, kami buat follow up sehinggalah umur Auni tiga bulan. Kemudian barulah doktor merujuk kes di hospital kerana ketika itu hospital swasta ini tidak dapat melakukan sebarang rawatan lanjut.
Ads
“Setelah diberi ubat, sawan yang dialami oleh Auni tetap tidak berkurangan. Sewaktu di hospital doktor mencadangkan pembedahan. Sawannya teruk sangat dan doktor telah mencuba sembilan jenis ubat namun tidak ada tindak balas yang berkesan.
“Sawan Auni amat kerap. Kadang-kadang dua minit sekali. Sehari dalam 40 hingga 50 kali sawan itu dikesan daripada EEG yang ditunjuk oleh doktor. Masa itu umur Auni tiga bulan.
“Bila dia sawan, ada komplikasi lain. Doktor cadangkan pembedahan tetapi kami tak sanggup kerana dia masih kecil ketika itu.
“Kami berulang-alik ke hospital sampai usia Auni tiga tahun. Masa itu kami sudah menyerah sahaja pada doktor kerana sudah cuba macam-macam. Akhirnya kami berserah pada doktor dan membenarkan pembedahan dilakukan ketika dia berumur tiga tahun.”
Refinance Rumah Demi Nyawa Anak
Waktu itu Auni perlu menjalani pembedahan pada otak kanan untuk hentikan sawannya. Norhayati dan suaminya perlu menyediakan RM40,000 untuk membiayai kos pembedahan.
Pembedahan pula perlu dilakukan di hospital swasta kerana pada masa itu tidak ada pakar saraf kanak-kanak di hospital kerajaan.
Ads
Demi anak, mereka terpaksa refinance rumah bagi mendapatkan wang untuk membayar kos pembedahan tersebut.
Selepas pembedahan perubahan dan perkembangan yang positif dilalui Auni. Sawannya telah berhenti. Norhayati bersyukur pembedahan itu berjaya.
“Sebelum itu, Auni tidak boleh meniarap mahupun berguling. Setahun selepas pembedahan barulah dia boleh meniarap dan berguling. Kami juga membawa Auni menjalani terapi saraf bagi melancarkan perjalanan oksigen dan darah.
“Banyak perubahan yang berlaku padanya. Sebelum rawatan terapi dijalankan Auni makan melalui tiub yang dipasang di perutnya. Selepas itu, dia cabut tiub itu kerana tidak selesa. Bermula dari saat itu Auni mula makan seperti biasa,” cerita Norhayati.
Walau Gawat Tetap Kena Jual Roti & Burger
Bukan Auni sahaja yang perlu diberi perhatian. Mereka ada lima orang anak lain yang perlu dibesarkan.
Sejak dua tahun lalu, pasangan suami-isteri ini telah membuka sebuah kedai fotostat dan kedai roti di Desa Mentari 3. Ini lokasi baru setelah berpindah dari lokasi lama yang terletak di Shah Alam.
Pelaksanaan GST, menjejaskan bisnesnya. Biarpun pelanggan makin berkurangan, mereka tak berputus asa.
Setiap hari selain mengharapkan masyarakat setempat menggunakan khidmat fotostat, mereka akan menjual roti dan burger berwarna.
Setiap petang Mat Yusop akan menjual burger di hadapan kedai. Roti burger dibuat sendiri oleh Norhayati.
Norhayati juga boleh membuat pelbagai jenis roti lain. Setiap kali menerima tempahan, Norhayati akan mula membakar roti pada malam hari sehinggalah siap keesokan harinya.
Bagi mereka yang ingin merasa burger dan roti jualan Norhayati bolehlah melawat ke kedai beralamat 11-G-68, Blok 11, Jalan PJS 2D/1, Desa Mentari 3, Petaling Jaya, Selangor.
Foto: Nor Yanti Saharuddin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Apabila anak mula dijangkiti selesema dan batuk, kita sebagai mak pasti risau dengan tahap kesihatan dan keadaan anak.Jika boleh segala cara nak dilakukan demi anak tersayang, asalkan mereka cepat sembuh dan kembali aktif seperti biasa.
Melalui perkongsian Anja Azura,beliau berkongsi cara semulajadi membuat ‘honey patch’ untuk mengatasi masalah anak yang menghidapi batuk dan selsema.Menurut beliau, cara ini sesuai untuk peringkat bayi mahupun kanak-kanak.
Berikut perkongsian beliau;
Bahan-Bahan:
2 sudu Tepung gandum yang telah diayak
1 sudu besar Madu asli
1 sudu kecil Minyak zaitun atau minyak kelapa dara
1 helai Kain lampin yang dipotong kecil
Pita pelekat
Cara Membuat:
1.Sediakan bahan-bahan yang diperlukan.
2.Campurkan tepung gandum dengan sesudu madu dan sedikit minyak zaitun/kelapa dara.
3.Gaul sebati sehingga adunan tidak melekat pada tangan. Namun, jika melekat boleh tambahkan lagi madu mengikut kesesuaian.
4.Setelah adunan sebati, bulatkan dan letak diatas kain napkin yang telah dipotong segiempat kecil.
5.Ambil sehelai lagi kain napkin dah tutup sebatian adunan tadi.
6.Lekatkan pada bahagian belakang badan dengan pita pelekat.
Siap! Selamat mencuba.
Info Ekstra!
AMARAN! Jangan lekatkan dibahagian jantung dan berdekatan jantung.
Pakai sebelum waktu tidur malam dan dibiarkan sehingga 3-8jam.
Bagi anak yang batuk berkahak bila buka dan pecahkan adunan, akan ada lendir dalam adunan tersebut.
Boleh ke anak lelaki buat kerja rumah? Hah, itu lah persoalannya! Ya, sebab terlalu fokus mengajar anak perempuan jadi perempuan yang ringan tulang, sampai terlepas pandang nak didik anak lelaki supaya pandai berdikari bila masuk dapur.
Biasanya sikap ini disebabkan terbiasa dengan cara orang dulu-dulu yang kononnya anak lelaki perlu dirajakan, anak perempuan saja yang patut buat kerja rumah. Allahu, boleh bayangkan tak kalau dia sudah meningkat dewasa nanti?
Nah, sebelum terlambat dan terbawa-bawa cara yang kurang elok itu, jemput berlapang dada dengan perkongsian Puan Fauzan N Sitiini. Padu!
Nak Didik Anak Lelaki
Takut jika anak perempuan saya kawin untuk dijadikan orang gaji.
Anak lelaki saya kahwin ‘meng-orang’ gajikan isteri.
Nauzubillah..
Kalau terus terusan begini lah mentaliti perempuan selaku ibu serta isteri dan lelaki selaku bapa serta suami. Habis lah punah jahanam generasi kita. Rosak habis institusi kekeluargaan kita. Semua benda nak senang. Bagi cadangan macam otak udang!
Taraf wanita yang Allah letak tinggi telah kita pulangkan ke zaman jahiliah. Wanita bukan lagi permaisuri. Tapi lebih ke arah kuli. Kuli free. Lebih teruk dari org gaji.
Sudah-sudah lah kita didik anak-anak lelaki jadi raja tak berhati. Sudah-sudah lah kita didik anak perempuan jadi kuli semula jadi.
Ajar mereka erti simpati
Ajar mereka erti permudahkan orang selain diri sendiri.
Ajar mereka erti tidak penting diri.
Ajar mereka erti melindungi.
Ajar mereka erti berkongsi.
Ayuh jadikan generasi kita lebih berkualiti. Bukan asyik kejar A..A..A akademik. Tapi pandang kakak , adik, ibu dan isteri sebagai kuli.
Kesannya Bila Anak Dah Kahwin!
Nak minum air pun kena hidang macam diri tak ada kaki. Bila dah kawin nak basuh berak anak pun tak reti. Sampai nak kena ada 2 bini. Saya menaip ni rasa nak cekik laki macam ni sampai mati.
Semoga Allah jadikan keturunan kita penyejuk hati. Jauhi dari perangai-perangai hantu macam ni.
Amiin ya Allah..Amiin…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Musibah banjir, rumah impian Ebby Yus ‘lenyap’. Begitulah yang berlaku kepada pelakon dan pelawak Ebby Yus, 56, apabila rumah impian yang masih dalam pembinaan di Kuala Langat, Selangor musnah dihanyutkan banjir.
Difahamkan rumah yang tinggal 10 peratus untuk disiapkan di tanah setengah ekar di kawasan penempatan itu, dihanyutkan air deras, mengakibatkan Ebby kerugian hampir RM200,000.
rumah musnah selepas musibah banjir.
Musibah Banjir, Rumah Impian Ebby Yus ‘Lenyap’,
Seperti mana yang dipetik menerusi BH Online, Ebby berkongsi sebelum insiden dia bersama pembantu peribadi pergi melihat kerja-kerja akhir pembinaan rumah dua tingkat itu termasuk proses memasang kertas hiasan dinding.
“Tanpa disangka, musibah datang hingga habis rumah yang dibina menggunakan separuh batu dan separuh lagi kayu ‘lenyap’ dalam kejadian banjir, petang semalam.
“Inilah rumah impian saya sejak lebih 30 tahun berkecimpung dalam arena seni. Saya akur dengan ketentuan ini,” ungkap Ebby.
Rumah sebelum kejadian berlaku,
Pembinaan Dilakukan Sedikit Demi Sedikit
Ebby yang kini menetap di rumah sewanya di Kampung Baru sejak 20 tahun lalu, pembinaan rumah tersebut dilakukan sedikit demi sedikit.
“Setiap kali dapat bayaran berlakon, saya peruntukkan untuk rumah itu.
“Kali terakhir selepas dapat bayaran daripada penerbit sitkom Jenaka Kampung Kalut ( JKK), saya lunaskan baki bayaran projek pembinaan rumah itu.
“Sebelum ini, projek pembinaan bertukar kontraktor kerana masalah tidak terduga. Biasalah, kerja bina rumah semuanya perlukan wang,” jelas Ebby.
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...