Bila tengok dan dengar pasangan bercakap dan bergurau secara kasar, timbul anggapan tak hormat baik isteri atau suami. Kononnya, jawapan yang diberi sebab sudah terbiasa sejak dari zaman berkawan lagi. Jadi, cara bercakap itu terbawa-bawa hingga sah jadi suami isteri dan beranak pinak.
Jika pasangan tidak kisah, tak mengapa tetapi kalau sudah terlalu kerap, ia boleh menimbulkan rasa tidak senang dan mungkin lama kelamaan hilang rasa hormat pada pasangan.
Menurut Dr. Ahmad Kamal bin Ariffin, Pakar Kaunseling Keluarga, ciri keunggulan komunikasi adalah berasaskan cara bercakap, intonasi suara, ekspresi muka, penggunaan perkataan dan gerak bahasa badan. Melaluinya, akan memberi kesan kepada pihak lain yang menjadi lawan bicara kita. Justeru, jika seorang isteri atau suami menggunakan perkataan yang lucah, kasar dan menyakitkan hati pasangannya, boleh menimbulkan pertengkaran dan pergaduhan.
Banyak kes perceraian dan krisis rumah tangga berpunca daripada ketidakmampuan pasangan suami isteri berkomunikasi dengan positif terhadap pasangan masing-masing.
Dalam hal ini, hubungan antara suami isteri mahupun anak, amat penting dalam menghasilkan komunikasi positif atau mahmudah (terbaik) dan bukan negatif atau mazmumah (tercela). Beberapa komunikasi positif adalah bercirikan:
- Penghormatan
- Penghargaan
- Prihatin
- Asertif
- Kasih sayang
- Empati
- Menolong
- Menghibur
- Memimpin
Jangan sesekali ada elemen negatif dalam komunikasi keluarga. Contohnya dengan mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung pasangan. Contohnya:
-
Suka melakukan pelabelan – “Awak memang suami yang lahanat……..otak udang dan memang tak boleh dipercayai!”. Seorang isteri melabel suaminya kerana dilihat melakukan perbuatan negatif.
-
Suka menghina – “Awak memang betina sundal………hampas dan tak boleh diharap!”. Seorang suami menghina isterinya.
-
Suka mengugut – “Saya dah tolong awak jaga anak dengan baik, masak makanan untuk awak, layan awak dengan bagus. Jadi, kalau awak tak belikan saya beg tangan “Coach” tu, saya akan menjerit setiap pagi!”. Seorang isteri mengugut suaminya.
-
Suka merendah-rendahkan anak-anak – “Kau tu dah lah muka buruk. Janganlah pulak perangai pun kau burukkan dan pelajaran pun kau tak mantapkan. Nanti, kau bukan sahaja buruk, malah hina!”. Seorang ibu merendahkan nilai diri anaknya.
-
Suka mencabar-cabar dengan perkataan yang melukakan hati – “Kau ingat badan kau besar, aku takut ke? Boleh jalanlah. Kalau kau berani, kau kawinlah lain…….!!” Cabaran seorang isteri terhadap suaminya.
Cuba pasangan dan ahli keluarga gunakan cara komunikasi positif. Memang nampak terlalu formal dan tidak biasa, tetapi sekurang-kurangnya ia memupuk kasih sayang antara keluarga.
-
Melakukan refleksi dengan bahasa yang santun – “Abang suami yang baik sebenarnya, namun abang bukan maksum. Sebab itu abang pun tidak lepas melakukan kesilapan. Ayang maafkan abang dan ayang yakin abang akan tidak akan melakukannya lagi”. Seorang isteri memberi refleksi perasaan dan pengalaman suaminya setelah melakukan satu kesilapan. Si isteri lebih meletakkan nilai keibuan, kemaafan dan pengharapan positif buat suaminya yang dikasihinya.
-
Menghargai pasangannya – “Sayang seorang isteri yang mulia. Sayang dah banyak berkorban untuk abang dan anak-anak. Jadi, abang percaya sayang memang boleh terus cemerlang selepas ini. Jika ada apa-apa masalah, sayang cakaplah dengan abang. Berterus-teranglah dengan abang. Insya Allah, abang boleh bantu”. Si suami memberi penghargaan kepada isterinya dengan ucapan pujian yang membina emosi diri isterinya”.
-
Motivasi pasangannya – “Sayang seorang yang bijak dan kuat semangat. Abang yakin sayang boleh selesaikan tugasan tu dengan cemerlang. Seorang suami memotivasikan isterinya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana.
-
Beri keyakinan dan harapan buat anak-anaknya – “Ibu sangat yakin semua anak ibu mempunyai potensi yang hebat untuk menjadi seorang yang berjaya pada masa depan. Apa yang penting, anak ibu semua mesti jaga solat dan rajin belajar. Jauhkan diri daripada sikap malas dan bertangguh kerja”. Seorang ibu membina keyakinan diri kepada anak-anak agar mengamalkan gaya hidup sebagai pelajar yang rajin dan mengikut syariat.
Nilai Mahmudah
Apabila sebuah keluarga baik suami isteri atau anak berkomunikasi dengan bercirikan nilai mahmudah (terbaik), sudah tentu setiap ahli keluarga akan terasa dihargai, dimuliakan, dikasihi, diambil peduli, diperlukan dan diyakini.
Dengan adanya niat dan hati nurani yang bersih, akan menjadikan seseorang suami atau isteri itu sangat istimewa, tempat bermanja dan sentiasa rasa selamat dengannya. Kalau boleh, setiap saat ingin bersama.