mak ayah melaram, anak selekeh

Amboi, bergaya sakan. Melihatkan penampilan si mak dan ayah yang melaram habis, ramai yang kagum. Pandai betul mereka jaga penampilan.Tapi, mengejutkan bila si anak pula sebaliknya. Anak kelihatan selekeh dan pakaian pun lusuh. Eh, kenapa macam tu ye? Selalunya mak dan ayah (terutamanya mak) lebih pentingkan penampilan anak-anak berbanding penampilan diri mereka sendiri terutama bila hendak keluar rumah. Pernahkah anda melihat situasi begini di depan mata?

Utamakan Anak

Mesti kita akan tertanya-tanya, mengapa ada jenis mak ayah yang bersikap begitu kan? Mereka bukan main melaram lagi, tapi penampilan anak-anak pula sebaliknya. Tak rasa malukah mereka kalau orang pandang mereka semacam saja? Lumrahnya, mak terutamanya sentiasa akan lebihkan keperluan anak-anak daripada diri sendiri. Baju anak-anak tak kira masa akan dibeli, tapi baju sendiri, sebulan sekali pun payah. Beli pun ikut keperluan. Misalnya bagi mak yang bekerja.

Bila lihat penampilan anak yang selekeh dan ala kadar, tanggapan orang pastinya mak ayah itu jenis tak peduli sangat soal penampilan anak-anak. Mereka lebih utamakan diri mereka berbanding anak-anak. Bahkan mungkin ada yang bagi alasan, anak-anak tak perlu pakai baju cantik-cantik, nanti comot juga bila bermain.

Sambil Lewa

Tak dinafikan, ada mak yang sibuk persiapkan diri sendiri sebelum keluar hingga ‘lupa’ nak siapkan anak-anak.Mereka menghabiskan lebih banyak masa memilih baju dan bermekap sedangkan anak-anak dibiarkan memilih baju sendiri. Bayangkan jika anak-anak kecil dalam lingkungan usia sekitar enam ke 10 tahun dibiarkan menguruskan diri sendiri? Sudah tentu mereka akan pakai apa yang mereka suka saja tanpa memikirkan sama ada baju itu sesuai untuk keluar atau sekadar basahan seharian di rumah. Bila ada yang tegur, mengapa pakaian anak-anak tak berapa kemas dan selekeh, boleh pula si mak jawab, anak-anak yang pilih baju sendiri. Sepatutnya mak perlu siapkan anak-anak dahulu. Pastikan mereka memakai pakaian yang kemas dan elok, selepas itu barulah diri sendiri bersiap. Ini semua berpunca daripada sikap sambil lewa.

Ada juga mak ayah yang main ‘tarik tali’. Mak suruh ayah siapkan anak, si ayah pula harapkan mak yang buat. Bila dah kalut dan kesuntukan masa, mulalah capai saja mana yang sempat!

Ads

Perhatikan

Sebelum keluar rumah, tengok dan perhatikan dulu apa yang anak-anak pakai. Baju mereka, kasut mereka. Ini ada mak yang tak prihatin, bawa anak-anak keluar dengan memakai kasut yang sudah uzur. Boleh nampak jari kaki anak kerana kasut dah koyak. Bayangkan kalau orang lain yang melihat. Mesti orang akan bandingkan penampilan si anak dengan maknya. Kalau kata tak mampu nak beli, maknya bukan main bergaya lagi! Ini semua terjadi kerana mak tak pantau apa yang anak pakai sebelum keluar. 

Mak Ayah Bukan Main Melaram, Tapi Anak Pakai Kasut Nampak Ibu Jari Kaki

Ads

Didik Anak Supaya Anak Tahu

Selalunya mak akan asingkan pakaian untuk basahan harian dan pakaian yang lebih elok dan baru untuk dipakai ketika keluar berjalan atau ke majlis tertentu. Mak boleh ajar anak-anak dengan memberitahu mereka kategori pakaian tersebut. Beritahu kasut/selipar yang perlu dipakai.
Jadi bila dalam keadaan kalut, jika anak-anak perlu bersiap sendiri, mereka tahu baju mana yang patut diambil dan dipakai, kasut/selipar mana yang perlu disarung. Tidaklah yang dah koyak dan lusuh dipakainya nanti.

TakPerlu Yang Berjenama

Jangan salah faham ye. Bukan bermakna anak-anak perlu sentiasa berpakaian baru dan berjenama sepanjang masa. Soal jenama dan harga tak jadi soal. Mungkin mak ayah boleh sediakan beberapa helai baju yang lebih elok untuk kegunaan pada masa tertentu. Asalkan anak-anak kelihatan kemas dan bersih. Lebih-lebih lagi jika orang tahu mak ayahnya berkemampuan untuk sediakan yang secukupnya untuk anak-anak. Lainlah kalau tak mampu, itu lain cerita. Ingat, penampilan anak-anak mencerminkan sikap mak ayah. Kalau anak-anak kelihatan comel dan kemas, mak ayah juga yang orang akan puji.Sebaliknya kalau penampilan anak-anak selekeh tapi mak ayah melaram, memang orang akan keji!

Ads

Selain itu, jangan ingat anak-anak tak ada perasaan. Mereka juga ingin kelihatan kemas dan cantik bila keluar. Tak keterlaluan jika dikatakan, pemakaian anak-anak turut mencerminkan diri mak ayah. Jadi, mak ayah sila jaga penampilan anak-anak kalau nak jaga air muka sendiri ye!

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI