Mak Ayah Adam Rayqal Yang Diuji Tuhan, ‘Sabarlah, Dengar Hadis Indah Untuk Anak Syurga Ini’ – Mufti Wilayah

Share

Luluh hati mak ayah Adam Rayqal Mohd Sufi pagi ini, sebaik tiba di perkarangan Institut perubatan Forensik Negara (IPFN) untuk mengecam mayat bayi mereka. Tak dapat dibendung air mata yang sudah tumpah sejak berita kehilangan anaknya itu dikhabarkan pengasuh yang mendiami rumah sewa di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves.

Satu negara menangisi pemergian adik Adam Rayqal. Kerana ia bukan saja bersifat kejam malah melangkaui batas perikemanusian seorang insan.

Tindakan kejam meletakkan bayi 5 bulan itu berbalut kain lampin dan disumbat dalam beg berwarna hijau di dalam peti sejuk beku sungguh tidak dapat diterima dek akal manusia yang waras.

Dan sekali lagi, masyarakat menangis selepas baru saja kita membaca kisah ibu murung yang menyembelih anak sendiri. Tragedi menyayat hati ini menjentik hati kita agar lebih banyak bermuhasabah dan memanjangkan rasa sabar menghadapi ujianNya.

Wahai ibu dan ayah Adam Rayqal, anda adalah insan terpilih yang Allah berikan ujian cukup hebat ini. Bagi meninggalkan sedikit kekuatan emosi di lubuk hati yang sedang terluka itu, Mufti Wilayah Persekutuan. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menyampaikan sebuah hadis di laman instagramnya untuk kedua ibu bapa yang diuji ini.

KEPADA IBU & AYAH ADAM RAYQAL

Mendengar khabar yang amat mendukacitakan hati ini. Kami sampaikan hadis ini kepada kedua ibu bapa Adam Rayqal. Semoga keduanya sabar dan tabah menghadapi ujian ini dan ditempatkan anak kecil ini di dalam syurga Allah SWT bersama-sama dengan mereka yang beruntung di sisi-Nya.

عَنْ أَبِي حَسَّانَ، قَالَ قُلْتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ إِنَّهُ قَدْ مَاتَ لِيَ ابْنَانِ فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِحَدِيثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا قَالَ قَالَ نَعَمْ ” صِغَارُهُمْ دَعَامِيصُ الْجَنَّةِ يَتَلَقَّى أَحَدُهُمْ أَبَاهُ – أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ – فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ – أَوْ قَالَ بِيَدِهِ – كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنِفَةِ ثَوْبِكَ هَذَا فَلاَ يَتَنَاهَى – أَوْ قَالَ فَلاَ يَنْتَهِي – حَتَّى يُدْخِلَهُ اللَّهُ وَأَبَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hassan, beliau berkata: Aku bertanya kepada Abu Hurairah RA: “Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Rasulullah SAW yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?”

Abu Hurairah menjawab: “Ya. Kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Dia tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga

.” (Riwayat Muslim, no: 2635)

Akhukum fillah,

Indahnya ingatan tuhan untuk ibu bapa yang sedang diujiNya dengan kehilangan insan paling dekat di hati mereka. Siapapun yang sedang diuji olehNya, dengan pemergian permata hati kecil yang engkau sangat kasihi peganglah kemas-kemas hadis ini. Semoga ia mampu memberi kekuatan hati dan emosi untuk ibu ayah terus melangkah menjadi khalifahNya yang taat dan redha.

Sumber/Foto : Instagram drzulkifli.albakri, google

Published by
Netty Ah Hiyer