Mak & Anak Gadis Sama-Sama Hebat, Boleh Berbual, Membaca & Menulis Bahasa Mandarin!

Share

Memang hebat dan cukup istimewa apabila dapat menguasai bahasa lain. Lebih-lebih lagi apabila dapat bercakap, membaca dan menulis bahasa tersebut.

Menguasai bahasa selain bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan tidak melenyapkan identiti bangsa atau melupakan bahasa itu, tetapi dianggap kelebihan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Itu pandangan ibu lima anak, Arba’a Ali, 51, yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi banyak video bersama anak perempuannya, Fatimah Noryyah Mohd Noor Kosygin, 15, berbual dalam bahasa Mandarin dan menerima banyak komen positif.

Boleh Berbual, Membaca & Menulis Bahasa Mandarin

Suri rumah itu berkata, dia dan Fatimah Noryyah bukan saja bercakap dalam bahasa Mandarin, malah boleh membaca dan menulis dalam bahasa itu kerana mereka pernah belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC).

Menurutnya, dia belajar di SJKC sehingga berusia 15 tahun sebelum bersekolah di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bharu manakala anaknya belajar di SJKC sehingga tahun enam sebelum ke sekolah menengah kebangsaan (SMK).

“Dalam keluarga, hanya kami berdua saja boleh bercakap bahasa itu manakala anak lain hanya tahu sikit-sikit saja dan mereka belajar dengan mendengar kami cakap bahasa Mandarin di rumah.

“Walaupun kami boleh cakap Bahasa Mandarin, tetapi itu bukan bermakna kami lupakan bahasa Melayu dan identiti bangsa. Di rumah, kami guna tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Paling penting sesebuah institusi keluarga harus memberi pendidikan agama dan moral supaya anak mempunyai jati diri yang kuat,” katanya.

Menambah Kemahiran Diri

Arba’a berkata, dia berpandangan seseorang individu yang boleh menguasai bahasa lain, selain bahasa Kebangsaan mempunyai kelebihan istimewa dan menambah kemahiran diri.

Menurutnya, disebabkan itu dia membuat video untuk dikongsi di TikTok kerana mahu memberi pilihan ruang kepada netizen mempelajari bahasa Mandarin dengan permulaan ayat dan kosa kata mudah.

“Malah, secara tidak langsung kami dapat memperkasakan lagi kemahiran kosa kata dan tatabahasa. Alhamdulillah, saya dapat komen positif netizen.

“Jumlah pengikut di TikTok semakin meningkat, bukan saja orang Melayu, malah Cina dan India. Namun yang paling terkejut ialah saya juga dapat pengikut dari China,” katanya.

Katanya, negara sudah mencapai kemerdekaan selama 66 tahun dengan melalui kehidupan majmuk berbilang kaum yang mana kemampuan memahami bahasa lain juga dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

@syambatu jom belajar lagi. inilah rahmat ada anak perempuan, eh anak lelaki pn sayang… #timah #fatimahnoryyah #syambatu #mandarinwithmamasyam #belajar #mandarin #tiktok #fyp #anak ♬ original sound – syambatu

 Mesti Baca:Neelofa Ingin Bilal Fasih 3 Bahasa, Mahu Berkomunikasi Dalam Bahasa Arab Dengan Anak
Baca Lagi Di Sini:Selain Bahasa JEPUN, Makcik ‘Cleaner’ Masjid Negara Juga Fasih 4 Bahasa Lain!

Mingguan Wanita: Wah tahniah buat ibu dan anak ini, banyak kelebihannya apabila mampu menguasai bahasa lain.

Sumber: Hmetro

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab