
Program Kongsi Rezeki: #SAMASAMAKENYANG mencatat kejayaan luar biasa dengan penganjuran pertama Majlis Tahfiz Berselawat berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM33,687 dalam sehari!
Program yang berlangsung di Saloma, Kuala Lumpur baru-baru ini, merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Kongsi Rezeki bagi membantu golongan asnaf, anak-anak tahfiz, pesakit kanser kanak-kanak, warga emas, serta gelandangan.
Kerjasama Banyak Pihak
Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada Softrein, OIC Today, Warung Pagi Pagi, Bigo Live Malaysia, Bateriku.com dan Saloma Kuala Lumpur serta banyak lagi penaja dari pelbagai organisasi membantu melancarkan program Tahfiz Berselawat dan menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh berkat.
Hasil daripada kutipan ini disalurkan kepada Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat bagi menyokong pendidikan tahfiz dan Adina Charity Circle untuk membantu rawatan perubatan anak-anak pejuang kanser. Kejayaan program ini turut diperkukuhkan dengan sumbangan tambahan sebanyak RM30,000 daripada seorang individu dermawan.
Peneraju utama Kongsi Rezeki, Putra Amaris, menzahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa terhadap inisiatif ini.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program bantuan, tetapi satu gerakan yang mengajak masyarakat untuk bersama-sama berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan, membuktikan bahawa masih ramai yang prihatin terhadap kerja-kerja kebajikan,” katanya.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting, termasuk Mohd Khairi Mohamed (Rakan Kongsi Saloma), Dr. Raja Laila Rani Mohammad Abdullah (Pengerusi The Muslim World Women’s Summit), dan Aman Rasyidi Mohd Noor (COO SoftRein), yang menyatakan komitmen mereka dalam menyokong usaha kebajikan ini. Turut hadir adalah kumpulan nasyid tersohor Raihan, yang memeriahkan acara dengan persembahan istimewa mereka.
Selain kutipan dana, program ini turut menyaksikan kejayaan penjualan 30 meja berbuka puasa, dengan hasilnya disalurkan terus kepada penerima manfaat.
Inisiatif Infaq Surau yang dilaksanakan dengan kerjasama SoftRein juga mendapat sambutan luar biasa, dengan 1,000 sejadah serta 1,000 botol sabun PowerRein dan SoftRein berjaya dikumpulkan untuk disumbangkan kepada surau-surau di kawasan asnaf.
Menurut Putra Amaris, kejayaan program ini membuktikan bahawa masyarakat semakin ingin terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, terutamanya di bulan Ramadan.
“Kami melihat keikhlasan orang ramai dalam menyumbang, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan, atau tenaga sukarelawan. Ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus menganjurkan program seperti ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Manfaat 1,000 Keluarga Asnaf
Selain itu, Kongsi Rezeki 2025 juga meneruskan pengagihan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Abee Hae dan Jejak Jalanan, serta menyediakan pakaian sekolah, baju raya, dan keperluan harian untuk anak-anak pesakit kanser di seluruh Malaysia. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan lain yang memerlukan.

Pengasas NGO Pertubuhan Jejak Jalanan, Abe Hae (Azhan Adnan), yang telah membantu golongan miskin bandar di Chow Kit sejak 2022, turut memainkan peranan penting dalam memastikan pengagihan bantuan ini berjalan lancar.
Penganjur juga memberi jaminan bahawa 100 peratus daripada dana yang dikumpulkan akan disalurkan terus kepada penerima manfaat tanpa sebarang pemotongan.
“Kongsi Rezeki bukan sekadar program amal, tetapi platform untuk menyemai nilai kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat. Kami berharap usaha ini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang. Setiap sumbangan yang diberikan bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga membawa keberkatan kepada para penyumbang,” ujar Putra Amaris.
Dengan kejayaan ini, Kongsi Rezeki terus membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat mampu memberikan impak besar dalam membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya di bulan Ramadan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI