Tanggal 22 Ramadan baru-baru ini telah diadakan Majlis Iftar Ramadan ‘Sayang Tanpa Syarat’ Bestari & Mingguan Wanita yang berlangsung dengan cukup meriah bertempat di Glass House, Klang.
Ini merupakan acara kali kedua diadakan bersama BESTARI bersempena kempen Sempurnakan Raya. Namun begitu kali ini ia adalah sambutan berganda iaitu sempena sambutan Hari Wanita yang jatuh pada 8 Mac lalu.
Jika tahun lepas, Bestari bersama Mingguan Wanita menganjurkan majlis rumah terbuka Syawal bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf, pada tahun ini telah diadakan majlis iftar bagi menyantuni para suffiah atau penghuni Pondok Hijrah Muslimah Malaysia pula.
Pondok Hijrah Muslimah Malaysia yang telah ditubuhkan sejak 2019, merupakan pusat perlindungan dan pemulihan untuk wanita dan remaja yang berusia 7 hingga 45 tahun di Klang dan baharu sahaja berpindah dari Taman Permata Hulu Kelang hujung tahun lepas.
Sayang Tanpa Syarat memberi maksud apabila kita menyayangi seseorang, ia tidak harus dibatasi atau dihalangi oleh apa pun juga kekurangan samada fizikal dan mental. Sayang yang diberikan lahir daripada keikhlasan dan ketulusan hati menerima seadanya. Tiada pilih kasih atau bias.
Bagi Pengurus Pemasaran Bestari, Puan Azatul Izan Mohamed Nordin pula, definisi ‘Sayang Tanpa Syarat’ ialah ikhlas dari hati, tak kira siapa pun baik tua atau muda, baik miskin ataupun kaya, dan ia satu perasaan yang istimewa.
Turut hadir dalam memeriahkan majlis ini ialah para Suffiah atau penghuni Pondok Hijrah Muslimah Malaysia, Puan Wan Asshima Kamaruddin, Pengasas Pondok Hijrah Muslimah Malaysia, Puan Ani Nadila Yusof, Pengurus Besar Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Ustazah Asni Mansor, Pendakwah bebas undangan, artis Sissy Imann dan ibu iaitu Bonda yang menjadi wajah utama dalam Video kempen Sayang Tanpa Syarat.
Mengambil keberkatan Bulan Ramadan, majlis juga diserikan dengan pengisian ilmu dan sesi perkongsian bersama Ustazah Asni, Sissy Imann dan Bonda. Sembang santai, berkongsi pandangan tentang kempen hari wanita yang diraikan bersama Bestari dan Mingguan Wanita iaitu Sayang Tanpa Syarat .
Majlis juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Sissy Imann yang menyanyikan sebuah lagu ‘Pesanan Ayahanda’.
Bukan itu sahaja, pelbagai hidangan enak disajikan untuk majlis iftar ini, namun yang paling istimewa pastinya ayam goreng NOMMS yang disediakan khas buat para tetamu yang hadir.
Tiada yang lebih bermakna apabila rezeki dapat dikongsi bersama dalam majlis yang penuh bermakna ini. Selesai Solat Magrib, majlis disusuli dengan penyampaian cenderahati dari pihak Bestari dan Mingguan Wanita kepada tetamu. Hadiah berupa ‘goodies’ produk keluaran daripada BESTARI Food dan sumbangan duit raya turut diberikan kepada anak-anak kecil dari Pondok Hijrah Muslimah.
Majlis turut mengundang 5 pemenang komen terbaik bagi peraduan Sayang Tanpa Syarat bagi sesi fotografi dan disusuli dengan sesi fotografi bersama para tetamu bagi merakam momen indah ini.
“Saya memang amat menyokong program sebegini dan minta diteruskan, sebab mereka ini memerlukan peluang yang kedua untuk meneruskan kehidupan,” kata Puan Wan Asshima Kamaruddin, Pengasas Pondok Hijrah Muslimah Malaysia.
Akhir kata, semoga majlis seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dalam menyantuni dan meraikan golongan yang memerlukan.
Saksikan momen menarik, video highlight ketika majlis ini berlangsung.