Mahu Ubah Sistem Pendidikan, Kanak-Kanak Seawal Usia 3 Tahun Bakal Diwajibkan Bersekolah Di Perancis

Share

Kanak-kanak umur 3 tahun sudah di wajibkan ke sekolah.Itulah perubahan yang bakal dilakukan dalam sistem pendidikan di Perancis berkuat kuasa pada 2019 nanti.

Presiden Emmanuel Macron, mengumumkan semua budak berusia tiga tahun wajib bersekolah, berbanding enam tahun sebelum ini, sebagai sebahagian rancangannya mengubah sistem pendidikan.

Langkah itu cuma memberi kesan kepada minoriti keluarga, dengan 97.6 peratus kanak-kanak Perancis sudah pun memasuki sekolah pada usia tiga tahun, menurut data Kementerian Pendidikan.

Namun Macron menegaskan perubahan itu bertujuan memerangi ketidaksamaan di wilayah luar dan kawasan paling miskin di tanah besar Perancis terutamanya, yang menyaksikan semakin ramai ibu bapa memilih tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

“Saya harap dengan kewajipan ini, bermula awal persekolahan 2019, kita boleh membetulkan perbezaan yang tidak boleh diterima ini,” katanya kepada sidang yang dianjurkan untuk membincangkan pendidikan prasekolah.

Beliau berjanji prasekolah menjadi semakin baik pada masa depan dalam sistem pendidikan Perancis.

Macron, yang menamakan pendidikan sebagai antara keutamaannya, melantik pakar psikiatri saraf, Boris Cyrulnik, untuk membantu membentuk perubahan kepada kurikulum prasekolah dengan kerjasama Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer.

Dengan keputusan ini menjadikan Perancis negara yang mewajibkan umur yang paling awal ke sekolah pada usia 3 tahun.

Mak ayah macam mana? Kalau dilaksanakan di Malaysia setuju tak seawal 3 tahun dah diwajibkan ke sekolah?

Sumber: Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab