Malam tadi kita semua menjadi saksi peristiwa terpenting dalam sejarah negara. Kemenangan Pakatan Harapan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 menandakan ‘ayahanda dan bonda’ bakal kembali, sekaligus membuatkan ramai mak mak menarik nafas lega secara tiba-tiba.
Saya pun merasa excitement yang sama. Agak panjang doa saya menjelang Subuh tadi. Tak lupa saya kirimkan ummul kitab Al-Fatihah buat dua warga emas ini, kerna sayang pada mereka serasa macam ibu bapa kandung pula. Apabila melihat wajah Tun di kaca TV, rasa macam nak ‘throwback’ kenangan manis ni sebagai iktibar bersama.
Angin Putrajaya tiba-tiba sejuk walaupun matahari terik menggigit ubun-ubun. Hari tu saya tiba di perkarangan Yayasan Kepimpinan Perdana dengan satu perasaan aneh. Entah bangga, atau berdebar, demi Allah saya tak tahu.
Itu perasaan paling indah untuk saya. Tanggal 14 Mac, dua tahun lepas. Sewaktu saya belum ditugaskan menerajui Mingguan Wanita dan masih berkhidmat untuk majalah Nona bagi melahirkan cover depan eksklusif bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sempena edisi Ramadan 2016.
Tugasan saya adalah menemu bual bonda Tun Siti, sementara Editor Nona iaitu Kiffy Razak bersama Tun Mahathir. Kesempatan hari kemenangan ini, izinkan saya mengimbau terowong memori, mengenang kembali kenangan bersemut itu dengan semua pembaca Mingguan Wanita yang disayangi.
Kesempatan mendekati Tun Dr. Siti Hasmah secara one to one, sampai ke hujung nyawa pun akan terakam sebagai momen paling manis dalam kerjaya saya. Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambah rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
62 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Ibarat irama biola yang digesek indah, lagu cinta mereka melayang sampai ke langit!
Sambil membetulkan duduk, pantas soalan tentang sikap suami tersayang diajukan kepada beliau. Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan berfikir sejenak, barangkali jenuh mengenangkan pelbagai karakter lelaki yang didampinginya semenjak muda.
“Bagi saya, dia macam orang biasa jer. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 92 tahun.
“Nanti Orang Tak Faham Kita Melawak”
Sambung beliau lagi, sebenarnya Tun M akan berubah menjadi pendiam ketika dia ‘tenggelam’ dalam pemikiran. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara. Tapi pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan melucukan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.”
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun M sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri. “Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan supaya nampak natural,” akui Tun Dr. Siti Hasmah sambil tertawa kecil.
Tun M juga seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr. Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya cuba suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri baju yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej Tun M yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
“Orang Tak Tanya Harga Perhiasan Mutiara”
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Bercerita lanjut tentang keakraban pasangan ini, jujurnya ia satu lagi episod paling menarik untuk saya gaulkan dalam penulisan. Namun satu yang pasti, kebahagiaan itu milik mereka. “Kami sekeluarga jarang berkumpul. Anak Marina di London, manakala keempat-empat anak Mirzan di Amerika Syarikat. Ini jam kalau apa-apa terjadi pada anak, ibu bapa mereka terus ke sana walaupun terpaksa mengejar penerbangan di tengah malam.
Berbeza pada zaman saya, kami jarang sekali dapat jenguk anak-anak yang belajar di luar negara. Lebih-lebih lagi suami bertugas sebagai Perdana Menteri pada waktu itu. Kami sekadar berkomunikasi melalui Aerogram.
Saya teringat cerita Mastisa, menantu saya, tentang anaknya yang merayu minta si ibu tulis surat. Katanya dia pelik kenapa kawan-kawan selalu berlari ke ‘suatu tempat’ pada setiap pagi. Rupa-rupanya ke tempat mailbox. Masing-masing menunggu surat daripada keluarga padahal cucu saya ber-Skype dengan keluarganya sepanjang masa. Jadi saya cakap, saya sendiri mahu hantar surat bertulisan tangan pada cucu itu,” cerita beliau sambil tersenyum.
“Dalam keluarga, kami tak amalkan favoritism langsung. Kasih sayang kami sama rata untuk semua anak-anak, menantu dan cucu. Saya selalu berpesan, jagalah silaturahim dengan sebaik-baiknya. Sentiasa pelihara hubungan antara suami isteri dan adik-beradik. Penuhkan hidup ini dengan kasih sayang, insyaAllah terjamin kebahagiaan,” ucap Tun Dr. Siti Hasmah.
“Saya Tahu Orang Sayang Pada Dia”
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal saya penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu. Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat.
Saat wanita ini menceritakan karakter Tun M yang amat peribadi, hati penulis bagai tersentuh rasa percaya.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” akhiri Tun Dr. Siti Hasmah berterus-terang.
Begitulah antara intipati perkongsian yang saya tulis dalam majalah Nona edisi Jun 2016 lalu. Sesungguhnya keseluruhan isinya adalah lebih panjang dan menyentuh hati, tapi cukuplah kali ni kita sentuh tentang kisah bonda seorang. Boleh baca versi penuh dalam majalah Nona, ada amanat Tun dan anakanda Datin Paduka Marina Mahathir yang lebih padu. Sehingga kita berjumpa lagi!
Salam sayang dari Editor Mingguan Wanita,
Norzalina Mohd Alias