“Macam Mana Abang Boleh Berhenti Merokok?” Kisah Benar Perokok Tegar Yang Berjaya Lupakan Keinginannya

Share

Tanyalah mana-mana isteri yang bersuamikan seorang perokok. Betapa susah sungguh mahu memotivasikan seorang suami perokok tegar agar melupakan ‘kecintaannya’ itu. Ya, rokok itu bagaikan kekasih yang perlu sentiasa melekat di bibir. Dan habis saja waktu berpuasa, kekasih itulah dulu yang dicari-carinya.

Kisah benar seorang perokok tegar ini dikongsikan oleh Bonda Nor, 41. Beliau sendiri membenci lelaki perokok tapi itulah juga jodoh yang Allah berikan untuknya. Fikirnya suami berhenti merokok kerana cinta. Sejujurnya bukan itu jawapannya. Sampailah akhirnya isteri ini mengerti ada satu lagi kuasa yang lebih hebat daripada cinta yang membuatkan suaminya, si perokok tegar itu melupakan keinginannya.

Kisah Benar Seorang Perokok Tegar

2 kotak besar sehari, baginya biasa. Saya sangat bencikan asap rokok. Tapi saya jatuh cinta dengannya. Mengenalinya sejak dari zaman belajar di IPT, memang mulutnya sentiasa berasap. Sakit hati melihat asap berkepul keluar dari mulutnya dan rakan-rakan lelaki yang lain. Sangat tak selesa bersembang dengan mereka.

Tapi memang cinta itu buta. Dalam ramai-ramai kawan lelaki yang saya jumpa, tetap si perokok tegar itu juga yang saya suka. Ia satu rasa yang kuat diikat dari istikharah. Pendek kata, jodoh kami diikat setelah merujuk kepada Allah.

Kami bertunang selama 3 bulan. Entah kenapa, dalam tempoh itu, saya mula jarang melihat dia merokok. Kemudian, sebaik bergelar isterinya, tidak pernah sekali pun saya lihat dia merokok. Aneh! Sangat aneh!

Macam mana abang boleh berhenti merokok?”

Jujur, sebenarnya soalan ini menitipkan satu harapan. Ketika itu, sebagai seorang isteri yang baru dinikahi, saya harap dia akan mengatakan yang dia lakukannya kerana saya. Kerana cinta. Saya mahu dengar dia kata dia berhenti merokok kerana dia tahu saya benci asap rokok. Dia sanggup mengorbankan keinginannya kerana cintanya kepada saya. Sungguh. Saya mahu dengar pengakuan itu!

Tapi tidak. Jawapannya bukan itu.

Allah Suntik Hatinya Dengan ‘RASA’ Ini

Suami mula bercerita bagaimana Allah mula menularkan rasa bersalah dalam dirinya beberapa ketika sebelum kami berumahtangga. Mula-mula dia rasa tidak seronok kerana melihat habuk rokok yang kadang bertaburan di biliknya. Dia bimbang teman sebiliknya tidak selesa.

Lalu dia mensyaratkan diri sendiri.. nak merokok hanya boleh di luar rumah saja. Sambil bersembang di kedai makan, atau sambil lepak-lepak di tepi jalan.

Namun lama kelamaan, dia mula rasa bersalah kerana berasakan bau asap rokok itu mengganggu orang lain. Lalu dia buat keputusan untuk merokok hanya ketika dia berseorangan. Bila terasa mahu merokok, dia terpaksa keluar dan bersendirian. Akhirnya, dia mula berasakan betapa susahnya mahu merokok! Asal nak merokok, terpaksa keluar dan jauh dari orang lain. Dia mula bosan!

Kemudian, dia mula tahu tentang fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok. MEROKOK ITU HARAM! Hukumnya berdosa! Maka, dia tidak berpaling lagi. Dia benar-benar berhenti mengambil sesuatu yang pernah dia cintai.

Subhanallah. Maha Suci Allah yang memberikan hidayah menerusi tekanan rasa bersalah! Sungguh, suami saya – bekas si perokok tegar itu bukan saja benar-benar berhenti merokok, bahkan mulutnya yang selalu mengepit rokok itu kini rancak menasihatkan orang lain agar turut berhenti.

 

Dosa Menzalimi Bukan Saja Orang Yang Rapat, Bahkan Orang Awam

Sungguh. Kebenciannya pada rokok bukan kerana cintanya kepada saya. Tapi kerana cintanya pada Allah. Pada kemanusiaan. Dan rupa-rupanya fakta ini jauh lebih bermakna bagi saya dan menambahkan lagi rasa cinta saya terhadapnya.

Fakta inilah juga yang membuatkan hati saya benar-benar tersentuh membaca nota TAUBAT SANG PEROKOK yang ditulis oleh Ustaz Rohidzir Rais hari ini. Status yang buat saya termenung panjang memikirkan sesuatu. Tentang kezaliman yang dilakukan oleh seorang perokok. Betul kata Ustaz Rohidzir…

“Antara syarat taubat ialah meminta ampun daripada orang yang dizalimi. Apakah para perokok sanggup mencari dan memohon ampun daripada semua mangsa yang terpaksa menderita dengan asap rokok yang dihembuskan di kedai makan, dalam bas, tepi jalan, masjid dan di mana sahaja.”

Benar kata ustaz, ia satu taubat yang sangat sukar kerana melibatkan kezaliman kepada orang lain. Bukan seorang.. tapi ramai. Bukan setakat dosa dengan orang yang rapat sahaja, bahkan kepada semua orang awam yang terpaksa menahan hati dengan asap berkepul yang keluar dari mulut mereka!

Kalau saya sendiri pun sering rasa cukup terseksa bila terpaksa menyedut asap rokok yang melintasi wajah saya, bagaimana dengan orang yang ada athma, yang ada penyakit lelah, bagaimana dengan bayi, bagaimana dengan warga tua yang sudah tidak berdaya?

Allahu.. adakah para perokok itu sedar betapa besarnya kezaliman yang sedang dilakukan kepada orang lain hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu seminit di hujung bibir mereka?

Inilah Point Yang Paling Penting

Kawan, sungguh kita tidak mampu mengubah orang lain. Namun sudah tentu kita masih mampu berbuat sesuatu untuk membantu.

Apa yang saya nak beritahu sebenarnya ialah..

1) Buat kawan-kawan saya yang mempunyai suami, anak, jiran atau kawan yang kuat merokok, jangan putus asa mendoakan mereka agar berhenti. Dari kisah yang saya kongsikan ini, semoga anda semua mengerti bahawa ada sesuatu yang lebih berkesan dari nasihat panjang berjela atau ubat untuk menghilangkan ketagihan mereka – hidayah dari Allah.

Berdoalah agar si perokok itu dihimpit resah gelisah dan rasa bersalah. Doakan Allah mengurniakannya rasa empati dan kemanusiaan yang lebih tinggi. Doakan dia mula memikirkan tentang orang lain dan bukan hanya mementingkan nafsu dan kepuasannya sendiri.

Allahu Akbar. Kita ada Tuhan yang Maha Mendengar. Berdoalah!

2) Buat sang perokok yang terbaca nota ini, renungkanlah sesuatu. Jadikanlah ianya asbab untuk menggamit hidayah Allah buatmu. Jangan putus asa untuk terus cuba melakukan sesuatu yang betul untuk hidup kita. Sungguh Allah itu Maha Penerima Taubat. Rebutlah keampunan-Nya sebelum terlambat.

…. Sebelum benar-benar terlambat!

Sumber/Foto : Bonda Nor

Published by
Netty Ah Hiyer