Suami Anak Mak, Isteri Kena Tahu 5 RAHSIA Pikat Hati Encik Abang Golongan Ini

Share

Ramai wanita yang mengeluh dapat suami anak mak. Apa tidaknya si isteri pasti makan hati menyimpan rasa cemburu atas layanan istimewa suami kepada ibunya.

Tapi anda tetap kena terima, ibu adalah wanita nombor satu dalam hidup lelaki. Segala kemahuan ibu dituruti tanpa sebarang syarat. Usah pening kepala, lelaki anak emak boleh dijinakkan jika kena caranya. Ikuti tip untuk pikat hati suami dan mentua, dua dalam satu…

1. Terima dan imbas balik keputusan hidup

Anda yang membuat keputusan untuk berkahwin dengan suami jadi jangan menyalahkan orang lain. Terima kenyataan sikap suami yang amat mendambakan ibunya di sisi. Mulanya memang perit tetapi lama-kelamaan anda akan dapat menyesuaikan diri. Ingat, lebih baik suami mengisi masa dengan ibunya berbanding perempuan lain!

2. Tak payah tunjuk lebih, mengalah lebih baik

Buat penat bersaing dengan ibu mertua kerana akhirnya anda juga akan kecewa. Cuba fikir macam mana ibu sayang anda, begitu juga perasaan ibu mertua kepada suami. Jadi lebih baik bina hubungan yang baik dengan ibu mertua dan belajar mengambil hati. Memang payah, tetapi lama-lama mentua akan nampak. Anda kena sabar.

3. Nak luah, gaya ayat kena jaga

Agak sikap suami keterlaluan (ala-ala senget sebelah), tegur dengan cara yang lembut. Jangan burukkan ibu mertua kerana cara ini akan gandakan kemarahan suami. Nyatakan perasaan anda sedih dan terpinggir, agar suami memahaminya. Tapi ingat wanita, jangan pendam rasa kalau tak mahu keruhkan keadaan.

4. Luang masa dan masuk dunia hobinya

Anda mesti bijak mengambil peluang, luangkan masa lapang bersama ibu mertua. Kena rajinlah sikit, cuba join waktu mentua ke dapur, tanam bunga, membeli belah atau apa saja yang dia minat. Cara ini akan membuatkan hubungan bertambah mesra dan suami tak perlu sentiasa berada di sisi ibunya.

5. Curi hati dengan kejutan

Ya, mungkin mentua pandang pun tidak. Tapi anda jangan putus asa curi perhatian. Belikan hadiah atau mungkin boleh buat kejutan kepada ibu mertua terutama menjelang hari lahirnya atau ulang tahun perkahwinan. Confirm mentua terharu dan sedar yang anda tidak pernah ambil hati dengan sikap negatif yang pernah ditonjol.

Wanita, kalau anda bijak ‘curi’ hati ibu mertua, sudah pasti suami juga dalam genggaman anda. Nak balik dan tengok muka ibu mentua hari-hari pun tak ada masalah. Ini cara yang lebih bahagia, bukan?

Published by
Nadia