LUMPUH Akibat Kecuaian Hospital, Nasib Adik Adeena Terbela Dapat Pampasan RM5.6 Juta!

Share

Apabila bertugas dalam bidang kesihatan dan rawatan perubatan, jangan sesekali sambil lewa. Setiap nyawa cukup berharga dan kesan kecuaian boleh mengakibatkan derita sepanjang hayat.

Alhamdullilah akhirnya nasib adik Adeena terbela apabila Mahkamah Tinggi mengarahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dibayar pampasan RM5.6 juta atas kecuaian perubatan sebuah hospital kerajaan hingga mengakibatkan mangsa lumpuh.

Lumpuh Akibat Komplikasi Pembedahan

Nur Adeena Mohd Syahmir yang dilahirkan pada 12 Mei 2020 melalui pembedahan Caesarean mengalami kecederaan saraf tunjang berikutan komplikasi pembedahan yang menyebabkannya lumpuh dari leher ke bawah.

Kanak-kanak itu selaku plaintif melalui bapanya menfailkan saman kecuaian perubatan terhadap 19 defendan terdiri daripada kerajaan Malaysia dan 18 pegawai perubatan yang bertugas di sebuah hospital kerajaan.

Akibat kecuaian itu, ketika ini, plaintif bergantung kepada ventilator dan juga dipasang trakeostomi (tebukan pada leher).

Berdasarkan dokumen diperoleh media, defendan pertama (kerajaan Malaysia) mengakui liabiliti pada 26 Julai 2022 menyebabkan plaintif menarik balik semua tuntutan terhadap defendan kedua hingga ke-19.

Perbicaraan diteruskan untuk penilaian ganti rugi dan berlangsung selama dua hari di mana plaintif memanggil dua saksi iaitu ibu plaintif dan saksi pakar Dr Kavitha manakala defendan pertama memanggil saksi pakar S Mohaneswari.

Pegawai Perubatan Tiada Pengalaman Melakukan Pembedahan

Siasatan mendapati pegawai perubatan yang bertugas tidak mempunyai pengalaman melakukan pembedahan dan ia dilakukan tanpa pengawasan pakar perbidanan dan sakit puan.

Dalam keputusannya pada Isnin, Hakim Datuk Akhtar Tahir berkata, tiada jumlah wang yang dapat mengurangkan kesakitan dan penderitaan kanak-kanak itu.

“Mahkamah berpandangan bahawa jumlah ganti rugi yang diberikan perlu sebagai pampasan untuk perbelanjaan tambahan yang akan ditanggung oleh penjaga dalam menjaga plaintif yang kurang upaya,” tambahnya.

Jangka Hayat Hanya 23 Tahun

Katanya, mahkamah mempertimbangkan keterangan daripada doktor pakar bahawa kanak-kanak itu berkemungkinan hidup sehingga usia 23 tahun berdasarkan keadaannya.

Mahkamah memutuskan kanak-kanak itu berhak mendapat pampasan yang mencukupi sepanjang hayatnya.

Dalam penghakiman itu juga, mahkamah juga berpendapat plaintif berumur dua tahun perlu diberi pampasan yang mencukupi untuk menampung baki jangkaan hayatnya 21 tahun lagi.

Mesti Baca:Dipecat Selalu CUTI SAKIT Hari Isnin, Pendandan Rambut Dapat Pampasan RM18,406
Baca Lagi Di Sini:“Cuti Tak Diganggu, Ibu Bersalin Dapat Duit Poket RM45K Setahun”, Bestnya Kehidupan Di Norway


Artikel Menarik:Isteri Upah Perompak Tikam Suami Sendiri, Demi Pampasan Insuran Jutaan Ringgit!

Mingguan Wanita: Alhamdulillah, nasib adik Adeena terbela.Semoga menjadi pengajaran buat mereka yang terlibat dalam bidang perubatan, supaya jangan ambil mudah urusan nyawa.

Sumber: Hmetro

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Abd Wahab