Luluh Hati Nenek Cucu 8 Tahun Kehilangan Mak Ayah & Adik, Jadi Yatim Piatu Sekelip Mata! Sesungguhnya ajal dan maut ditangan tuhan. Luluhnya hati seorang nenek apabila mengetahui cucu kesayangannya menjadi yatim piatu sekelip mata, kehilangan ahli keluarga mak ayah dan adiknya.
“Luluh hati saya dan cucu kerana bukan sahaja hilang kedua-dua ibu dan bapa tetapi kemudian menerima satu lagi khabar duga apabila satu-satunya adik kepada cucu saya turut meninggal dunia.”
Demikian luahan nenek Muhamad Uwais Wafiuddin Mohd. Riduan, 8, yang terlibat dalam nahas di Kilometer 267.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Hentian Rawat dan Rehat, Perasing di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4 petang, ibu dan bapa Uwais, Zahidah Hanisah Mohamad dan Mohd. Riduan Mohd. Yaacob masing-masing berusia 35 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Adik Uwais, Raudhatul Khayra, 3, kemudian meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, selepas 17 jam bertarung nyawa manakala Uwais masih dirawat di hospital sama.
Nenek Uwais yang enggan dikenali namanya berkata, dia dan ahli keluarganya akan menjaga sebaik mungkin cucunya yang ditinggalkan anaknya, Zahidah Hanisah dan menantunya, Mohd. Riduan.
“Uwais memang rapat dengan saya dan ibu saudaranya sebab biasanya kami yang jaga Uwais dan adiknya ketika ibu dan bapanya bekerja.
“Insya-Allah kami akan jaga dan curahkan kasih sayang secukupnya kepada Uwais,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian, Zahidah Hanisah dan ahli keluarganya ke Kuantan, Khamis lalu untuk rawatan kaki suaminya dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Raja, Teluk Pasu, Kuala Terengganu.
“Pada petang Khamis, Zahidah Hanisah sempat menunaikan hajat saya untuk makan sate. Dia memang anak yang baik, apa sahaja yang saya hajati, dia akan tunaikan. Tak sangka itu juadah terakhir kami bersama.
“Saya masih terkejut. Baru sahaja jumpa mereka sekeluarga, namun mereka pergi sekelip mata,” ujarnya.
Jenazah ketiga-tiga mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sekati, Manir, petang semalam.
Mesti Baca:Pegawai Polis Cetus Kekecohan Ditahan, Lepas Hina Anggota Pangkat Rendah Kembali Buat Hal Di Parking Kereta
Baca Lagi Di Sini:Wanita Terselamat Dari Ajal, Dirempuh Treler Dipandu Laju Turun Bukit Putus, Kuala Pilah
Mingguan Wanita: Salam takziah buat keluarga mangsa nahas kemalangan ini. Semoga adik Uwais diberi kesabaran dan kekuatan untuk membesar dengan baik sebagai yatim piatu meskipun kehilangan kedua-dua mak ayah yang dikasihi.
Sumber:Utusan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.