Hati mana yang tak luluh, melihat kondisi wanita yang mengandung dan melahirkan terbaring menanggung kesakitan. Hilang sudah bebelan dan nasihat dari bibirnya, tiada lagi senda gurau menjadi penawar. Yang ada kini hanya sekujur tubuh bonda, terbaring lemah menahan sakit akibat kanser.

Menurut Nurul Shafina yang mesra disapa Fina, tiada lagi rawatan kemoterapi ataupun radioterapi yang boleh dilakukan memandangkan sel kanser tersebut amat agresif. Doktor juga menasihatkan agar ibunya dibawa pulang dan berada di sisi keluarga. Gadis dari Penaga, Pulau Pinang ini memaklumkan lagi, kanser lidah telah mengubah personaliti ibunya secara total.

“Sebaik ibu didiagnos kanser lidah, sejujurnya bukan sahaja saya, malah empat lagi adik-beradik yang lain amat merindui ibu kami yang dahulu. Adik bongsu juga terkesan dengan keadaan kesihatan ibu dan sering bertanya kenapa ibu yang diuji dengan penyakit kanser. Ayah juga sedih melihat keadaan isterinya. Dia juga tak menyangka wanita yang berkongsi hidup hampir 30 tahun dengannya kini diuji begini.

“Ibu kami orangnya peramah, cekap memasak, gemar bercucuk tanam dan juga gemar menjahit. Sebelum ibu diserang kanser lidah, sama seperti ibu lain, pasti ada sahaja cerita, teguran dan juga nasihat daripada dia kepada kami. Kanser lidah ini membuatkan kami seolah-olah telah kehilangan ibu, walaupun hakikatnya dia masih di sisi.

“Sejak kondisi ibu semakin serius, dia juga telah hilang keupayaan untuk bercakap seperti dahulu. Hanya buku nota menjadi medium untuk dia menulis apa yang terbuku kepada kami,” kongsi Fina mengenai perubahan besar yang sedang dilalui dia dan keluarganya.

Luluh Hati Melihat Ibu Menderita Diuji Kanser Lidah
Gambar kenangan bersama ibu sewaktu Aidilfitri tahun lalu (gambar kiri), dan gambar terkini ibu Fina (gambar kanan)

Ulser Berulang Di Lidah Petanda Kanser

Semuanya berlaku begitu pantas. Seperti baru lagi dia mendengar ibunya mengadu lidahnya seolah-olah menipis, sensitif kepada makanan pedas dan kerap mengalami ulser rupanya petanda awal kanser lidah yang tidak disedari.

IKLAN

“Pada mulanya ibu ada mengadu kepada kami perubahan lidahnya yang cukup sensitif dengan makanan pedas. Dia juga sering memaklumkan lidahnya seakan menipis dan juga mengalami ulser yang berulang di lidah.

“Ulser itu tidak sembuh walaupun disapu ubat. Tanpa kami tahu ulser yang tidak sembuh dan berulang itu adalah antara simptom awal kanser lidah.

“Pada April tahun lalu, ibu kemudian dirujuk ke Hospital Seberang Prai dan doktor melakukan ujian biopsi. Biopsi adalah prosedur di mana sedikit sampel pada bahagian mulut yang disyaki sebagai kanser diambil untuk di buat ujian ke atasnya. Hasil daripada biopsi itu doktor memaklumkan ibu sebenarnya mengalami kanser lidah.

“Ketika itu status kanser ibu di tahap satu nak ke tahap dua. Di bulan yang sama, doktor kemudian menjalankan pembedahan dan membuang separuh daripada lidah ibu.

“Selepas pembedahan itu, ibu nampaknya boleh menyesuaikan diri dan masih boleh bertutur dengan baik, tanpa pelat walaupun lidahnya separuh telah pun dibuang,” jelas Fina mengenai perkembangan kanser lidah ibunya sebelum ini.

IKLAN

Setelah melalui dua kitaran kemoterapi dan radioterapi doktor memaklumkan sel kanser ibu Fina begitu agresif. Doktor juga memaklumkan kanser yang dialaminya kini sudah pun berada di peringkat empat.

“Sepatutnya ibu perlu melalui satu lagi sesi rawatan kemoterapi dan radioterapi, tetapi ibu sendiri menolak kerana tidak mampu lagi melalui rawatan tersebut.

“Doktor juga menghormati permintaan ibu dan memanggil kami sekeluarga untuk dimaklumkan status kesihatan terkini ibu. Menurut doktor lagi, jika itu permintaan ibu, pihaknya menghormati. Walau bagaimana pun doktor minta kami bawa pulang ibu dan biarkan dia berada di samping keluarga.

“Ibu kini lebih banyak terbaring dan bergantung kepada ubat tahan sakit. Tahun lalu selepas melalui pembedahan, ibu masih lagi bertenaga dan mampu menguruskan rumah tangga.

IKLAN

“Ketika majlis pertunangan saya, ibu masih lagi mampu memasak beberapa juadah untuk meraikan tetamu. Tetapi kini ibu sudah tidak berdaya lagi. Status terkini, sel kanser ibu telah mula merebak ke bahagian leher,” ujar Fina kepada Mingguan Wanita.

Hanya Doa Jadi Harapan
Melihat sendiri keadaan ibunya dan seperti yang dimaklumkan doktor, tiada lagi rawatan khusus yang boleh dilakukan ke atas ibunya. Fina akui keluarganya kini pasrah dan menyerahkan segalanya pada Yang Maha Esa. Kanser lidah juga membuatkan ramai yang terkejut dengan transformasi yang berlaku ke atas wajah ibunya.

“Ramai yang cakap lainnya muka ibu sekarang. Ya betul, muka ibu jadi membengkak sehingga mata dan juga bibirnya membengkak. Ibu kini sudah tidak boleh makan seperti normal dan bergantung pada susu sebagai pemberi tenaga. Melihat ibu yang menanggung kesakitan, meluluhkan hati kami sekeluarga.

“Impak daripada ujian ini, kami sekeluarga sentiasa mendahulukan keperluan ibu dan saling bergilir menjaganya. Kami juga sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya ibu kuat mengharungi keadaan ini.

“Hanya doa daripada orang ramai diharapkan sedikit sebanyak dapat meredakan kesakitan yang sedang dilaluinya. Kami juga telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, sebagai anak saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk ibu,” cerita Fina menutup bicara.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Fina bagi meringankan dan membeli keperluan ibunya. Anda boleh sumbangkan ke akaun Maybank milik Nurul Shafina Mazani di nombor 161284049814.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI