Sudah tentu mengujakan apabila dapat melukis di atas kasut sendiri bukan? Apatah lagi dapat memilih atau mereka sendiri corak yang diidamkan. Walaupun pada mulanya hanya sepasang kasut putih yang makin dilupakan.
Namun apabila dilukis dan diwarnakan dengan kemas dan cantik, kasut putih tadi berubah wajah dan nampak mahal. Puan Syarul Nadia Hamdan yang merupakan guru Pendidikan Seni Visual (PSV) berkongsi bagaimana caranya melukis di atas kasut kanvas. Rupanya mudah sahaja.
Tentulah seronok apabila dapat menghasilkan kasut dengan corak pilihan hati. Kelebihannya apabila buat sendiri, kita akan rasa lebih puas dan sentimental value lebih tinggi.
Lagi pula kalau kita buat untuk orang yang kita sayang iaitu anak-anak. Of course, saya lakukan dengan sepenuh hati dan mahukan yang terbaik. Selain itu hasil corak kasut tak akan sama dengan orang lain dan sudah semestinya tiada di pasaran.
Sebenarnya, tugasan ini merupakan salah satu soalan Kajian Rekaan Seni Visual (KRSV) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, iaitu bertajuk reka corak kasut. Jadi saya test dahulu buat kasut itu sebelum mengajar.
Kiranya karya ini seperti bahan bantu mengajar untuk pelajar tingkatan 5 lah. Alang-alang buat, saya rasa lebih elok apabila boleh terus dipakai. Saya hasilkan tiga pasang untuk semua anak-anak.
Corak setiap kasut adalah tema pilihan anak-anak sendiri. Kemudian barulah, saya buat rujukan di internet dan ubah-ubah sedikit mengikut kesesuaian.
Jika tidak berada dalam tempoh PKP mungkin lebih mudah mencari kasut kanvas yang lebih murah. Namun disebabkan oleh PKP, kebanyakan peralatan dibeli secara online.
Bahan-bahan:
Sepasang kasut sekolah berwarna putih
Warna akrilik
Berus
Pensel
Langkah-langkah:
Langkah 1:
Proses melukis atas kasut menggunakan pensil. Lakarlah corak yang anda mahukan.
Langkah 2:
Proses mewarna menggunakan cat akrilik.
Langkah 3:
Biarkan cat betul-betul kering.
INFO TAMBAHAN:
Sebenarnya cat akrilik tidak memerlukan waktu yang lama untuk kering dan tak perlu dijemur. Hanya dibiar pada suhu bilik sudah memadai. Warna akrilik juga kalis air apabila DIBIARKAN betul-betul kering.
MW: Mak, ayah mungkin dapat jadikan aktiviti ini untuk mengisi terluang ketika PKP ini. Galakkan anak-anak untuk melukis bersama mak, ayah.