Luah Ibu Adib “Saya Nak Tengok Muka Orang Yang Sanggup Buat Macam Itu, Sampai Bunuh Anak Saya”

Share

Berita kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang maut akibat insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, bulan lalu, benar-benar meruntun hati ramai pihak.Namun yang paling terkesan dengan kehilangan tersebut pastinya kedua mak ayah hero negara ini.

Bagi seorang ibu yang melahirkan dan membesarkan anak dengan sihat dan sempurna, pastinya tidak terjangkau dek fikiran macam mana anak yang dikandung 9 bulan terlebih dahulu pergi meninggalkan dirinya dalam keadaan sebegitu. Dalam redha menerima segala takdir dan ketentuannya, pastinya wujud rasa amarah, kecewa dan sakit hati bersisa dihati.

Diheret Ke Muka Pengadilan

“Saya nak tengok muka orang yang sanggup buat macam itu… sampai bunuh anak saya,” itu luahan Asma Aziz, 51, iaitu ibu kepada Muhammad Adib.

Asma berkata, besar harapannya sebagai seorang ibu untuk melihat individu tidak bertanggungjawab itu diheret ke muka pengadilan sebagai pembelaan terhadap kematian anaknya itu.

Dan apabila waktu itu tiba nanti, Asma berkata, dirinya sendiri mahu melihat sendiri wajah individu yang tergamak meragut nyawa Muhammad Adib ketika anaknya itu sedang bertugas untuk negara.

“Saya nak depa (mereka) dibawa ke muka pengadilan, apa yang dilakukan itu tidak boleh dimaafkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini.

Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden rusuhan, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN), kelmarin.

Pada masa sama, Asma berkata pihaknya menghargai keprihatinan ramai pihak khususnya di media sosial yang mahu kematian anaknya itu turut dibela ke muka pengadilan.

“Rasa berterima kasihlah namun sampai sekarang saya tak boleh tengok berita mengenai Adib (di laman sosial)…saya tak sanggup lagi.

Adib Rapat Dengan Keluarga

Mengimbas semula sifat Muhammad Adib, Asma berkata, anak kedua daripada empat beradik itu amat rapat dengan keluarga malah sentiasa pulang ke kampung menaiki pengangkutan awam setiap kali cuti.

Katanya, selain itu, Muhammad Adib juga akan mengambil cuti untuk membantu bapanya mengerjakan sawah setiap kali musim menanam padi tiba.

“Kalau cuti dua hari pun arwah akan pulang ke rumah menaiki kereta api atau bas sebab arwah memang rapat dengan keluarga.

“Kalau musim menanam padi tiba, arwah akan menghubungi bapanya untuk mengambil cuti dan membantu di sawah,” katanya yang mengakui tidak dapat tidur lena malam tadi berikutan merindui Muhammad Adib.

Malah ketika ditanya lebih lanjut mengenai Muhammad Adib, Asma bagaimanapun tidak dapat menjawab berikutan terlalu sebak.

Katanya, dirinya sekeluarga juga tidak membuat keputusan lagi sama ada mahu ‘menukar’ majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung 22 Disember ini sebagai kenduri tahlil berikutan masih terlalu sedih dengan insiden menimpa mereka.

MW: Mingguan Wanita mengucapkan salam takziah buat keluarga Muhammad Adib ini. Semoga pelaku yang melakukan perbuatan kejam ini, segera dibawa kemuka pengadilan dan mendapat pembalasan yang setimpal.

Sumber: bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab