Sewaktu hamil berlaku banyak perubahan hormon dan fizikal pada tubuh. Penting buat wanita menambah ilmu kehamilan sewaktu sedang hamil. Antara perubahan yang terjadi ketika hamil apabila wujudnya garisan hitam menegak di perut. Ada yang risau dengan kehadiran garisan tersebut, bimbang ada masalah kesihatan kehamilan tidak kurang ada yang mengaitkan dengan petanda hamil anak lelaki.
Untuk penjelasan lanjut, baca penerangan daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad ini sebagai rujukan;
GARISAN HITAM DI PERUT SEMASA HAMIL
Tanda garisan begitu disebut sebagai Linea Nigra adalah tanda yang normal, bukan bermakna sesorang itu mengalami apa-apa masalah kesihatan semasa hamil. Garisan ini sebenarnya lebih jelas bagi wanita yang sebelum hamil pun mempunyai garisan ini, cuma mungkin ia tidak berapa jelas. Ia mungkin lebih cerah dan disebut sebagai linea alba.
Ada sesetengah wanita garisan ini tidak kelihatan jelas pun.
Garisan ini bermula dari pusat di abdomen sehingga ke tulang ari-ari (public bone). Semasa hamil ia kelihatan lebih gelap. Ia lebih kelihatan apabila seorang wanita menghampiri bulan ke lima usia kehamilan.
Perubahan Hormon Ketika Hamil
Tidak diketahui punca sebenarnya garisan ini berlaku. Cuma ada teori yang mengatakan ia disebabkan oleh perubahan hormon ketika hamil. Pada masa ini melanocyte-stimulating hormone yang dikeluarkan oleh uri (placenta) menyebabkan garisan ini menjadi lebih gelap. Ia juga menyebabkan kawasan di sekitar puting (areolar) menjadi lebih gelap.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Family Medicine and Primary Care di India mendapati wanita yang mempunyai garisan kehamilan seperti ini berlaku pada wanita yang mengalami masalah kekurangan asid folik semasa hamil.
Sebenarnya kajian ini memberitahu bahawa kekurangan asid folik bukanlah penyebab masalah ini. Cuma wanita yang mengalami kekurangan asid folik akan menunjukkan garisan kehamilan yang lebih jelas.
Rujuk: Pregnancy and Skin. J Family Med Prim Care. 2014 Oct-Dec; 3(4): 318–324.
Bukan Tanda Hamil Anak Lelaki
Ia juga bukan sebagai tanda bahawa anak dalam rahim adalah anak lelaki. Jika berlaku, ia mungkin hanyalah kebetulan sahaja. Jadi jangan risau dengan garisan ini. Ia adalah normal berlaku semasa hamil. Garisan ini akan semakin hilang apabila selepas melahirkan anak.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Khususnya buat wanita hamil menambah ilmu berkaitan kehamilan dan kesihatan. Paling penting tak perlu risau, ia bukan masalah kesihatan dan akan hilang selepas melahirkan anak.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI