Lima waktu tak pernah tinggal, ini puncanya solat tapi hasilnya tiada. Ternyata solat tak pernah tinggal bukanlah jaminan anda berhasil kerana banyak perkara perlu dititikberatkan.
Solat bukan sekadar ibadat yang dilakukan secara terburu-buru atau hanya memenuhi tuntutan agama. Solat membawa makna yang lebih daripada itu.
Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar, pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.
Lima Waktu Tak Pernah Tinggal
Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe (kekasih) berpegangan tangan. Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.
Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.
Rasulullah (selawat) kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.
Ini Puncanya Solat Tapi Hasilnya Tiada
Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih di tahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.
Mulut terkumat kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.
Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia.
Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;
“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”
Baiki Solat Sebaiknya
Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.
Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.
Ads
1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.
2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.
3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.
Seterusnya bangkitkan rasa berTuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.
4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.
Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagilah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mulalah terfikir siapa yang telefon. Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya.
Jangan Sambil Lewa Menyembah Allah
Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah. Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.
Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.
Viral sebuah video di media sosial seorang jurunikah atau tok kadi menggunakan kanta untuk mengetahui tulen atau tidak cincin yang dijadikan mas kahwin dalam sebuah majlis nikah baru-baru ini.
Video itu mendapat perhatian dan ramai memuji sikap tok kadi tersebut. Tok kadi yang dikatakan siap bawa kanta, tiada niat lain dan mengakui perkara ini telah menjadi rutin baginya kerana sudah menjadi amanah buatnya memikul tanggungjawab ini.
Tindakannya bukanlah untuk mencuri tumpuan atau menarik perhatian orang lain. Apatah untuk memalukan keluarga pengantin, tetapi ianya dilakukan semata-mata kerana amanah.
Tiada Niat Lain, Telah Jadi Rutin Sebab Ini Amanah
“Niat saya membuat pemeriksaan secara teliti (ketulenan cincin emas sebagai mas kahwin) bukanlah untuk memalukan pengantin mahupun keluarga mereka, ia hanyalah tanggungjawab dan amanah,” kata jurunikah, Ustaz Harudin Mohd Mydin.
Harudin memberi reaksi itu selepas rakaman video menunjukkan dia menggunakan kanta khas meneliti ketulenan cincin yang dijadikan mas kahwin bagi pernikahan Azizul Abdul Rashid, 34, dan Siti Nurshakirah Shamsudin, 30, tular di media sosial.
Detik itu dirakam jurugambar perkahwinan sebelum dimuat naik di Facebook dan ia membuatkan rata-rata warganet memuji ketelitian jurunikah itu yang dianggap unik.
Tok Kadi Siap Bawa Kanta
Harudin berkata, tindakannya meneliti ketulenan emas pada majlis pernikahan itu bukannya untuk mencuri perhatian orang ramai, sebaliknya ia sudah menjadi ‘rutin’ baginya setiap kali menjadi jurunikah.
Menurutnya, sepanjang bertugas sebagai jurunikah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, rata-rata pengantin jujur dalam memberitahu kandungan pemberian yang diberikan mereka kepada pasangan masing-masing.
“Pengamalan duhulu, ada pengantin yang berterus terang cincin yang dibeli itu (tidak tulen) bukanlah di kedai emas tetapi di pasar raya. “Saya hanya menjalankan tugas dengan tanggungjawab dan amanah,” katanya.
Pengantin Tak Sangka Tok Kadi Begitu Teliti
Sementara itu, Siti Nurshakirah berkata, dia dan keluarganya juga tidak menyangka Harudin membuat pemeriksaan yang begitu teliti pada majlis pernikahannya. “Mujur suami bersedia dengan situasi itu, lagipun kami masing-masing yakin emas yang dibeli adalah tulen.
“Resit pembelian juga dibawa ketika majlis itu tetapi tak sangka tok kadi ambil langkah tambahan dengan memeriksa (cincin) menggunakan kanta,” katanya.
Perlu Jujur Dengan Tok Kadi
Katanya, majlis pernikahan ringkas itu hanya dihadiri keluarga terdekat yang diadakan di Surau Pematang Rawa MK7, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 26 Disember lalu.
“Bagi majlis persandingan, masih lagi belum ada tarikh yang sesuai memandangkan penularan pandemik Covid-19 belum reda.
“Saya juga tidak menyangka gambar itu tular di media sosial dan berharap ia menjadi pengajaran kepada bakal pengantin di luar sana supaya jujur dalam memberikan butiran kepada jurunikah,” katanya.
MW: Tok kadi hanya menjalankan amanah dan tanggungjawabnya. Tindakan ini seharusnya dipuji kerana tidak semua bakal pengantin di luar sana berlaku jujur. Padahal bab mas kahwin ini bukanlah perkara yang boleh diambil ringan dan dibuat main-main.
Awal-awal perkahwinan, risau nak sediakan masakan sedap untuk suami sebab tak tahu macam mana rasanya. Mesti cuba rasa dua tiga empat kali kan. Nak pastikan rasa elok-elok.
Malah, bila makanan itu sempurna, rasanya tiap-tiap hari nak masak kan. Siapa lagi nak puji masakan kita kalau bukan suami dan anak-anak.
Kadang-kadang, mereka siap minta untuk jual. Tapi rasanya, jual kat suami dan anak sajalah. Kita tak tahu selera orang macam mana pula kan.
Bila bercerita pasal masakan sedap, sebenarnya memasak untuk keluarga juga adalah dianggap satu ibadah. Sebolehnya kita mahu masakan kita sempurna, begitu jugalah dalam kita melakukan ibadah, kena sempurna.
Walau bagaimanapun, memasak tidak hanya letakkan garam dan gula untuk bagi sesedap rasa. Mak-mak terutamanya kena baca doa ini, bukan untuk masakan lebih sempurna, tapi anak-anak mampu mendengar kata dan memberi kebaikan pada keluarga.
Ini antara perkongsian daripada Mudahnya Menjemput Rezeki tentang menyempurnakan masakan. Moga ini memberi manfaat kepada keluarga di luar sana.
Bila kita memasak, kita pun harap masakan itu sempurna dan cukup rasa. Pun begitu, masakan kita ini belum tentu sedap pada orang lain.
Jadi, kita doalah agar Allah sempurnakan masakan itu.
Tujuan makan orang beriman berbeza dengan orang bukan Islam. Orang beriman makan dengan maksud untuk dapatkan kekuatan beribadat kepada Allah. Sebab itu, perlu sangat dijaga bab-bab makan ini.
Bila rasa semangat untuk beribadat cuba ingat-ingat kembali apakah agaknya yang kita makan. Begitulah bila terasa malas dan lemah sahaja untuk beribadat; ingatlah kembali di mana kita makan dan apa yang kita makan.
Berbalik kepada tajuk di atas, bila masak
1) Baca Selawat 3 kali
2) Istighfar 3 kali
3) Berdoalah ketika memasuki dapur dengan doa ini:
“Ya Tuhan kami, berilah kami rahmat yang besar di sisi-Mu dan persiapkanlah petunjuk untuk kami, terhadap urusan kami.
4) Masuk dapur tutuplah aurat dan moleknya ada air wuduk.
5) Bukankah memasak itu juga ibadat, bila kita niatkan begitu. Adab memasak yang begini akan mendatangkan natijah baik terhadap orang yang memakan makan tersebut. Mudah sahaja bangun untuk bertahajud.
Soal rezeki adalah satu topik yang sentiasa bermain di bibir setiap daripada kita. Ia semakin ketara dijadikan inti perbualan di kala ekonomi yang kian menyepit. Hari ini ke mana sahaja kita pergi, keluhan demi keluhan tentang kesempitan hidup dapat kita dengar. Bagaimana nak lancarkan rezeki?
Ikuti perkongsian daripada Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA), juga penulis ruangan MUNAJAT di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Berbeza Tapi Tetap Sama
Pada saya, bagi kita yang tidak dilahirkan daripada keturunan yang sentiasa tinggal dalam agam mewah pasti akan merasa kesempitan hidup. Biarpun ia berbeza dari satu individu ke satu individu namun kesempitan tetap sahaja kesempitan. Bahkan ada juga yang bersusur galur dari agam mewah akhirnya hilang semuanya.
Lakukan Aliran Masuk Rezeki
Ramai orang bertanya kepada saya adakah cara-cara tertentu yang dapat melajukan aliran masuk rezeki. Bersumberkan apa yang saya diajar dan berbekalkan pengalaman merentasi lembah kesusahan dan kesempitan hidup, jawapan saya, “ya ada cara.” Saya melalui pelbagai fasa dalam hidup hingga pernah satu ketika saya tertanya-tanya apa pula selepas ini.
Namun setelah memahami peta perjalanan hidup, barulah saya jelas mengapa ia terjadi dan apa keperluan setiap kejadian itu dalam hidup saya biarpun kejadian itu adalah sesuatu yang mendukakan. Sewaktu berada di fasa yang menekankan, kita akan hilang ramai kawan. Sewaktu di fasa ini juga kita mula terdesak untuk melakukan apa sahaja yang mampu memberi kelancaran pada aliran rezeki.
Dua-Dua Kena Jaga
Justeru saya memberikan kesimpulan yang saya peroleh daripada pengalaman hidup saya. Pertama, kita perlu menjaga kedua-dua dunia. Jika hanya akhirat yang kita jaga sedangkan hal dunia kita perlekehkan maka kita akan merasa sempitnya rezeki. Ini kerana kita ‘berasa’ berkecukupan sedangkan hakikatnya tidak.
Begitu juga jika hanya dunia yang kita jaga sedangkan akhirat yang menjadi tempat tinggal tetap kita tidak kita pedulikan. Maka rezeki kita biarpun orang melihat banyak dan mewah tetapi tetap sempit kerana kita sering tersepit dengan perlumbaan dunia. Akhirnya nikmat berharta itu tidak kita rasai kerana sibuk memikirkan pencapaian orang lain yang perlu dikejar.
Penyakit Malas
Kedua, satu penyakit dasar yang perlu dihapuskan akarnya. Setiap daripada kita ada penyakit ini biarpun kadar tumbesarannya tidak sama. Malas adalah satu penyakit yang sudah lama berakar umbi dalam diri manusia. Jenis sikap malas ini berbeza dari satu individu ke satu individu yang lain.
Dalam hal yang berkaitan dengan rezeki ini, sikap malas memainkan peranan yang ketara. Ada yang memberitahu saya yang mereka sangat rajin dalam mencari rezeki. Apa sahaja jalan yang ada, mereka akan melaksanakannya asalkan rezeki diperoleh. Ada juga yang berkata mereka sangat rajin mencari ilmu demi mengubah aliran rezeki. Justeru, di mana sikap malas ini wujud. Malas, pada saya adalah satu daripada beberapa penyakit rezeki.
Malas dalam rezeki bukan hanya terletak pada malas berusaha, malas mencari ilmu, malas berfikir dan sebagainya. Tetapi malas dalam rezeki wujud dalam bentuk yang tidak kita sedari. Pada saya, jika melalui satu proses penganalisaan yang terperinci insya-Allah kita akan bertemu dengan titik malas dalam rezeki.
Tak Sama
Titik malas dalam rezeki tidak pernah sama dengan sikap malas dalam hidup. Dek kerana ini kadangkala kita melihat ada orang yang bermalas-malasan dalam hidup tetapi rezekinya cukup banyak. Bersandarkan apa yang telah saya alami dan pelajari, mereka ini telah menghapuskan titik malas rezeki yang sering dikatakan halangan rezeki dan sumbatan aliran rezeki.
Saya beruntung kerana bertemu dengan guru yang bukan sahaja mempunyai ilmu tentang titik itu tetapi juga telah mengalami kesempitan rezeki. Maka saya belajar daripada guru yang sudah melalui fasa yang saya lalui. Itu sangat menarik kerana beliau mengajar berdasarkan pengalaman beliau keluar daripada kesempitan rezeki.
Carilah titik yang telah menyempitkan aliran rezeki, insya-Allah hidup akan jauh lebih baik dari sebelumnya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!