Akui anak ini, Pe Chey suatu ketika dulu ibunya pernah alami sakit meroyan. Sampai ibunya hilang diri sendiri. Bila mak tak macam mak yang mereka kenal, maka bukanlah sesuatu yang mudah untuknya uruskan mak sakit yang ketika itu dia sendiri sedang hadapi peperiksaan besar SPM.
Apa pun, itulah pengalaman hidupnya yang paling mahal. Dan itulah juga yang mematangkan dirinya menjadi anak malah suami yang bertanggungjawab pada keluarganya.
Mak sakit. Sakit meroyan.
Sakit yang buatkan mak bukan macam mak.
Mak lupa siapa dia, mak meracau-racau
Tahun 1991, mak lahirkan adik aku yang bongsu setahun sebelumnya. Adik Ani. Aku masa tu di tingkatan 5. Along ( abang ) dengan akak-akak dah tak ada kat rumah.
Diaorang semua ada yang dah kahwin, yang dah kerja kat Kuala Lumpur. Diaorang dah tak duduk kat rumah dah. Sedih aku.
Akulah anak paling tua masa tu. Akulah abang, akulah kakak. Adik bawah aku, Aja sekolah pondok kat Baling.
Tingallah Apit, Kila, Yati, Aya , Amin dan Ani, si kecik sekali. Kamilah yang kena kemas rumah. Aku yang kena arahkan.
Bukan senang aku nak menggalas tanggungjawab tu. Selama ni, ada akak. Pada kakaklah aku dan adik lain bergantung harap. Pada kakaklah kami semua bermanja.
Akak Chom dan akak Wani.
Diaorang berdualah yang banyak berkorban untuk aku dan adik yang lain. Baik bab buat susu, nak.makan, mandi, basuh berak segala.
Baca sini : Lepas beli gelang emas, ayah tak berkira hadiahkan anak lelaki jam
Sebenarnya masa mak beranakkan Amin, tahun 1986 dulu, mak dah pernah kena meroyan ni. Kau yang baca ni, kalau tak faham apa tu meroyan boleh google bagi faham.
Jadi kali ini mak kena balik. Kali ini pulaklah paling teruk. Mak dah tak rupa mak yang selama ni kami kenal. Dia berubah terus.
Bayangkanlah lepas pantang, mak dah tak terurus. Bab masak, nasib baik ada aku dengan Apit. Kami berdua masak ikut apa yang kami reti. Telur goreng tu standard.
Pernah satu hari tu, Apit yang masa tu baru darjah 6, masak kari ikan. Aku terkejut. Aku tanya dia,
” Mana kau reti masak kari ikan ni Pit? Gilalah. Sedap pulak tu kau masak ni.”
” Aku tengok mak masak. Aku tiru jelah.”
Aku ketawa, Apit gelak. Kami sama-sama menyudu kuah. Kami hidang. Ajak adik lain makan. Ada yang aku kena suapkan.
Mak perlu dimandikan. Berak kencingnya juga kena dibasuh. Aku dengan Apit kena sama-sama bawa mak ke bilik air, bersihkan mak. Mak dah hilang ingatan. Datang murungnya, dia menjerit. Datang amuk, dia mengamuk.
Bukan senang nak jaga mak. Mak kena dijaga sepenuhnya. Kalau tak, dia lari dari rumah. Banyak kali dia ugut dia nak lari. Abahkan polis. Kerja polis faham-faham jelah. Tak tentu masa.
Akulah kena tunggu mak. Itu pun aku curi-curi keluar pergi sekolah waktu petang untuk berlatih hoki. Aku pesan Apit untuk jaga mak.
Pagi, waktu aku pergi sekolah. Aku pesan kat Acu ( Maksu, adik mak ) yang duduk depan rumah tengokkan mak. Banyak benda aku kena pikul waktu tu. SPM adalah puncak apa yang aku perlu kecapi.
Kau ingat aku senang nak belajar masa tu?
Tuhan je tahu siksanya aku nak ambil SPM.
Aku, masa tu rasa nak menangis, nak menjerit, nak lari, nak apa tah aku pun dah lupa. Mana taknya, tengah-tengah malam mak mengamuk. Dia punya mengamuk, memang aku terbang.
Pernah satu malam tu, abah kerja malam. Mak mengamuk. Dia nak abah balik. Entah apalah dia fikir masa tu. Aku pegang mak. Peluk. Mak tolak pakai siku, aku terpelanting ke dinding.
Sepanjang malam tu aku tidur duduk depan pintu rumah. Mak banyak kali tolak aku. Aku tolak mak balik. Aku pujuk mak suruh pergi tidur. Aku dah penat masa tu, letih ya amat.
Dia tengok je aku. Muka garang macam harimau. Aku tunjuk tempat tidur dia. Dicarutnya aku macam-macam. Aku sabar. Mak tengah sakit. Mak meroyan.
Aku tertidur kat pintu rumah sampi ke Subuh. Bila abah balik kerja, abah tanya aku, kau tidur tak. Aku jawab, tidur bah. Tidur-tidur ayam. Ayam apa, aku tak pasti.
Jenuh juga bawa mak berubat. Kadang-kadang nampak dah sembuh, lepas tu datang balik. Begitulah mak masa sakit dulu. Betapa aku dapat pengalaman yang tak terperi menjaga mak sakit masa tu.
Air mata aku kering masa tu hinggakan seolah terlupa untuk menangisi nasib aku yang diuji oleh tuhan dengan sedemikian rupa.
Mak sakit meroyan, aku ikut sakit juga. Sakit jiwa raga nak SPM masa tu.
#NfI
#ceritamak
Kenangan- kenangan ini aku simpan kemas dalam sanubari. Tak pernah aku lupa akan setiap apa yang pernah aku lalui dulu. Perit dan deritanya mematangkan aku. Aku anak, aku abang dan kakak pada adik-adik aku dulu.
Sharekan kalau kisah ni best.
MW : Hebatnya pengorbanan anak ini. Syukur, sisi positif yang anak ini kutip dan akhirnya, anak membesar menjadi ayah yang hebat di mata anak-anaknya pula.
Sumber/Foto : Pe Chey