Lepas Anaknya Merajuk Sebab Leka Main Phone, Lelaki Ini Terus Berubah Dan Praktik 7 Perkara Dalam Rumah

Share

Tak salah main phone di rumah tetapi seeloknya biarlah ada masanya. Ini baru anak-anak yang sentap, macam mana pula dengan kaum mak-mak yang sedap meluah tetapi bila pusing-pusing tengok suami tengah senyum-senyum hadap phone.

Hah, inilah salah satu barah dalam rumah tangga hari ini. Lagi parah sampai keluar berjalan-jalan pun masing-masing sibuk dengan phone. Betapa teruknya kita hari ini, mendahulukan orang yang jauh di mata tetapi depan mata terabai. Jadi sebelum ada lagi hati yang terguris, jemput baca perkongsian saudara Ws Adli W Muhammad, pengalamannya sendiri bila anaknya merajuk sebab terlalu ralit tengok phone.

Anak Merajuk Sebab Ayah Main Phone

Riyadh berkata “Abah, abah dengar tak apa Yadh cakap ni?” Saya menjawabnya acuh tak acuh “Ya Yadh, abah dengar”. Mata saya masih ralit menghadap telefon zaman sekarang. Riyadh sekali lagi berbunyi “Dengar, dendar. Mata pandang telefon. Bukan pun dengar orang cakap. Tak apalah, menghadap aje lah telefon tu. Tak yah bercakap dengan Yadh dah. Telefon tu lagi penting”.

Tersentap saya.

Saya letak telefon, dan cuba pegang tangan Riyadh. Dia marah. Mengelak dari saya dan terus berlari ke dapur mencari kakaknya. Saya panggilnya berulang kali, tak bersahut. Merajuk dia dengan sikap saya yang tidak melayan dia berborak.

Masa kita kecil-kecil dulu, benda teknologi alah begini mana ada lagi. Kita leka dengan dunia kanak-kanak kita yang penuh warna warni, penuh keceriaan, kegembiraan dan banyaknya masa untuk bersama.

Bercerita di bawah pokok jambu dengan kawan-kawan, berborak dengan mak dan ayah di dalam bilik, di dapur dan di ruang tamu. Ada sahaja ruang masa yang tidak pernah mencemburui kita. Banyak yang kita kongsikan sesama ketika dulu-dulu.

Itu belum cerita agung main masak-masak. Sambil main masak-masak, ada juga benda kita ceritakan sesama kawan.

Saya akui, tak payah pergi tengok jauh-jauh. Tengok sahaja kepada diri saya sendiri. Bagaimana cara layanan saya kepada anak-anak. masa dia rancak bercerita, saya menghadap telefon. Jawab sekadar ambil hatinya. Kerap guna perkataan atau ayat “Ooo, macam tu”, “Ya”, “Ha”, dan lain-lain lagi.

Beria mereka bercerita panjang, saya pula layannya acuh tak acuh. Sampailah suatu masa, anak ini agaknya telah menyimpan lama perasaannya melihat sikap buruk saya begitu, maka terkeluarlah perkataan dan ayat begitu.

Kasihan.

Saya yang memusnahkan dan merosakkan masa emas bersama anak-anak. Anak-anak bila dah tak dapat layanan begitu, mereka pun duduk dengan dunia mereka sendiri. Main sama-sama dia aje, duduk termenung dan kurang bercakap dengan kita.

Mula Berubah…

Selepas pada peristiwa itu, saya ubah. Apa yang saya buat ialah:

1. Letak telefon dalam bilik atau letak telefon jauh dengan tempat saya borak dengan anak. Jadi, rasa malas nak pergi ambil, jauh nak akses.

2. Tutup data. Tak adalah gangguan dari aplikasi whatsapp, facebook, instagram, twitter dan macam-macam benda alah yang hidup bersama kita sekarang.

3. Layan anak bercakap. Kajian saya, budak-budak ni bukan lama pun bercerita. Paling lama 2 minit. Biasa tak sampai 1 minit. Yang buat rasa lama bukan apa, bila anak nak susun ayat tu. Dia bercerita sambil fikir apa perkataan perlu digunakan olehnya.

4. Buat-buat kita tak faham sikit apa dia cerita. Dia akan ceritakan semula. Buat-buat tanya soalan, dia akan jawab sampai konon-kononnya kita baru faham.

5. Buat reaksi muka. Ikut cerita dia. Kalau saspen, buat muka saspen. Kalau seram, buat muka seram. Kalau kelakar, gelak sekali. Ambil mood dia tengah bercerita. Tapi tak payah lah over sangat. Huhu.

6. Ada masa anak ini banyak ulang alik nak mengadu, nak berborak, nak bercerita dengan kita. Ambil nafas panjang-panjang. Luangkanlah juga masa yang kita dapat ini. Ini masa Allah bagi pada kita, sampai suatu masa nanti, kita tak merasa dah masa begini. Allah dah tarik. Tinggal kita berdua je nanti dalam rumah tu. Itupun kalau berdua, buatnya sorang pergi dulu, kan semua kuasa Allah.

Bila dah buat begitu, memang rasa tak puas berborak dengan mereka. Rasa macam nak je setiap masa dengar mereka bercerita tentang pengalaman kehidupan mereka di awal usia kecil begitu. Seronok, memang menyeronokkan.

Paling rasa bahagia, apabila mimik muka mereka tidak lagi macam dulu. Macam ada benda tak puas hati nak diluahkan kepada kita. Sekarang, bila dah dapat layanan yang patut mereka terima, ceria sahaja muka mereka.

Kalian,

Allah hantar ujian tak payah jauh-jauh. Cukup hantar kepada diri kita sendiri. Banyaknya, kita lebih memerhati dan mengata kehidupan orang lain. Sedang kehidupan kita belum tentu sempurna dan baiknya, juga indah. Sibuk kita baiki kehidupan orang, tetapi yang kita pun teruk malah ada yang lebih rosak dari orang lain.

Apabila kesedaran itu hadir, ambillah pengajaran. Lekas cuba ubah sikap kita perlahan-lahan. Tuhan itu maha pengasih dan maha penyayang.

Setiap detik ketika bersama anak-anak, saya tatap betul wajah mereka. Saya rakam betul dalam kepala gelak ketawa mereka, senyum manis mereka, masam muka mereka, riak muka mereka ketika bercerita dan bermain. Sampai ketika apabila dipanjangkan umur, inilah yang akan dikenang-kenang semasa tua.

Tidaklah lagi kita rugi dari hilangnya masa emas pernah bersama anak-anak.

 

Published by
Nadia