Kenal 5 hari, Hafiz dan Sahida disatukan. Lepas 5 bulan bernikah, suami lumpuh dan buta akibat disahkan buah pinggang bocor tahap 4. Sampai satu tahap, Hafiz rasa hidupnya itu menyusahkan isterinya, Sahida. Ketika pilu, inilah permintaan yang keluar dari bibirnya.
“Jika awak rasa penat dan berjumpa dengan orang lain yang lebih baik, pergilah awak bersamanya. Abang dah tidak punya apa-apa. Tak berharta, nak berjalan pun sudah lumpuh. Mata pun sudah tak mampu melihat. Semuanya bergantung pada awak untuk teruskan hidup.
“Abang bukannya bayi, kalau bayi bolehlah ditimang-timang. Ini sudah besar panjang tetapi menyusahkan. Kalau awak tak mampu layani abang, abang rela lepaskan awak dengan orang lain demi masa depan awak.
“Sebab abang nak lihat awak bahagia seperti orang lain. Sudah banyak awak berkorban untuk abang.”
Itulah kata-kata Mohamad Hafiz Abdul Hamid, 31 tahun setiap kali dia terasa begitu membebankan isteri tercinta, Sahida Abdul Rahman, 37 tahun.
Setiap pasangan ada jalan ceritanya yang tersendiri. Begitu juga dengan buku kehidupan Mohd Hafiz dan Sahida. Berkenalan sekadar lima hari sebelum nekad menyulam cinta yang disuburkan dari muka buku. Dalam masa lima bulan mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Setelah diijab kabulkan pada 28 Mac 2014, Sahida merasakan dirinya adalah wanita terbahagia di dunia. Mohd Hafiz seorang suami yang penyayang dan kuat bekerja. Bersama Mohd Hafiz dirinya merasai kebahagiaan luar biasa yang setiap wanita inginkan.
Januari tahun lalu mengubah kehidupan pasangan ini secara total.
Mohd Hafiz sememangnya kuat bekerja, apatah lagi sejak diterima sebagai Pembantu Operasi Jabatan Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Peluang pekerjaan ini amat dinantikan suami Sahida. Setiap hari, Hafiz berulang-alik ke tempat kerja dengan menaiki motosikal.
Sampailah suatu petang, ketika pulang dari tempat kerja. Hujan turun dengan lebatnya. Suaminya terpaksa merelakan tubuhnya kebasahan. Motosikal ditunggang deras meredah bumi yang menangis.
Setiba di rumah, badannya terasa lemah dan mula membengkak. Paling ketara di bahagian mata. Ketika bangun keesokan pagi, badan Mohd Hafiz terasa panas. Dia demam. Bimbang keadaan Hafiz, Sahida membawa suaminya ke klinik.
“Awalnya kami ingatkan cuma demam biasa. Mungkin juga itu disebabkan alergi. Kami jadi tertanya-tanya. Apa yang Hafiz makan sampai badan bengkak tiba-tiba. Bila dia telan ubat, bengkak mulai surut.” Hati isteri dapat merasai, ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya.
“Saya bawa dia ke HUKM pula, di sana baru kami tahu yang Hafiz mengalami kebocoran buah pinggang tahap empat. Hampir terduduk kerana tidak percaya dengan kenyataan.
“Selama ini Hafiz sihat sahaja dan tidak pernah mengadu sakit, saya sendiri terkejut, apatah lagi dia,” ungkap Sahida sedih mengimbau kenangan lalu.
Mohd Hafiz ditahan di hospital untuk pemeriksaan lanjut. Bila beransur baik, dia dibenarkan pulang. Hatinya masih kuat walau kesihatan makin terjejas. Pergerakan jadi lebih terbatas. Terjatuh itu biasa. Langkahnya juga tertahan-tahan. Tapi tetap bekerja seperti biasa. Sekitar Januari sampailah April tahun lalu.
Biar pun matanya kabur, dia menunggang motosikal ke tempat kerja. Sahidalah jurupandu dan ‘mata’ kedua suaminya. Dia tak pernah meninggalkan suami dan sentiasa menemani walau cuma mahu ke tempat kerja.
Kemuncaknya, Oktober tahun lalu Mohd Hafiz tak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Dua minggu dia koma, 2 minggu kemudian dimasukkan ke wad biasa. Dan akhirnya suaminya dibenarkan pulang.
Tugas sukar Sahida pun bermula. Menjaga suami lumpuh dari pinggang hingga ke bawah. Melakukan sendiri proses dialisis di rumah. Pilihannya cuma mencuci darah dengan air. Kerana, dia tidak mampu membawa suami ke hopital untuk dialisis setiap hari. Itulah saja kaedah terbaik yang mereka ada dengan saranan doktor.
“Sejak Januari lalu, suami perlu cuci darah lima kali sehari bermula seawal tujuh pagi dan yang terakhir pada jam 11 malam. Biar pun agak penat, tetapi kesihatan suami tampak beransur baik sejak dia lakukan dialisis. Paling penting saya dapat lakukan sendiri.
“Saya bersyukur, untuk bekalan air bagi proses dialisis kami mendapat bantuan daripada pihak hospital termasuklah topeng muka. Selebihnya seperti lampin pakai buang, plaster, dan beberapa perkara lagi, kami perlu beli sendiri.
“Kami hanya bergantung kepada gaji suami, RM1300, yang masih berjalan. Tetapi itu pun mengikut majikan suami, gaji tersebut sepatutnya dihentikan pada Jun lalu. Jadi kami masih menunggu bagaimana status gaji suami, sama ada perlu bayar balik atau bagaimana.
“Selama ini pun duit yang ada masih belum cukup untuk menampung sewa rumah, bekalan lampin pakai buang, bil elektrik, tambang untuk berulang-alik ke hospital sebulan beberapa kali.
Beberapa bulan belakangan ini, kesihatan mata suami makin menyusut. Hasil pemeriksaan mendapati kedua belah mata suami buta kerana saraf rosak.
“Saya tetap mendoakan agar ada keajaiban untuk kembali melihat. Saya begitu teringin menatap wajah isteri yang penat lelah setiap hari. Menguruskan keperluan saya sampai tak cukup rehat dan tidur.
“Sekarang ini pun, saya tak dapat bezakan siang dan malam. Kadang-kadang rasa dah lama sangat tidur, sebab itu bangun. Rupanya masih malam. Tengok televisyen pun dia tidak mampu, hanya dengar sahaja. Itulah hiburannya sekarang, dengar radio.
“Moga suatu hari nanti saya dapat bekerja semula biarpun tak mampu berjalan ataupun melihat. Yang penting, saya tak menyusahkan orang.” Luah Mohd Hafiz sedih.
Sebagaimana suaminya redha dengan ujian yang Tuhan tuliskan buat mereka berdua, dia juga sebegitu. Tiada langsung sekelumit perasaan menyalahkan takdir Ilahi. Kelumpuhan yang suami alami diterima dengan hati terbuka. Sahida kuat semangat dan tidak kekok menguruskan keperluan suaminya. Pengalaman menjaga orang sakit memudahkan urusannya.
“Mungkin Allah temukan kami berdua untuk saya kuat.” Lebih banyak ganjaran pahala kerana dapat menjaga suami yang perlukan belaian khusus darinya. Namun Sahida juga insan biasa. Kadang-kadang dia merasa penat. Doanya agar dikurniakan kesabaran yang tinggi sepanjang berkhidmat untuk suami tercinta.
“Sejak berkahwin dengan suami, saya banyak berjalan. Sejak remaja saya jarang ke mana-mana. Bila berkahwin, suamilah yang bawa saya ke sana, sini biar pun hanya bermotosikal.
“Kami pernah ke Genting Highlands menaiki motosikal. Paling gila dia bawa saya ke Kuantan menaiki motosikal. Kenangan-kenangan tersebut tidak dapat saya lupakan.
Sampai satu saat, ketika dia sakit walaupun matanya kabur Hafiz gagahkan diri untuk bawa motosikal dan benarkan Sahida jadi pembonceng yang tunjukkan arah. “Kadang-kadang kelakar macam orang buta tunggang motosikal. Tetapi saya sentiasa sedia untuk jadi ‘mata’ dia sampai bila-bila.”
Sumbangan ke akaun di bawah untuk membantu Sahida dan suaminya yang lumpuh, buta dan alami buah pinggang bocor:
Maybank 114487050267 atas nama Mohamad Hafiz bin Abdul Hamid.
Kredit foto : Tuan Azman Tuan Muda