Musim PKP ni jadikan ruang makan anda lebih selesa. Bukan saja dapat melepak dengan keluarga tercinta malah anda juga boleh tonjolkan kreativiti anda. Seperti mana Pengasas Youme & Hunny atau lebih selesa disapa Hunny, 37 menerangkan, kediamannya mengambil inspirasi daripada gaya loft di Kota New York.

Setiap ruang mengetengahkan dekorasi unik yang bakal memberi kejutan kepada sesiapa saja yang berkunjung. Suami kesayangan Hunny, Andy Othman, selaku pemilik juga Pengarah Bawang Resources, turut mencurahkan segala idea bagi kediaman mereka berdua. Malah Andy juga berkongsi falsafah moden kontemporari yang diterjemahkan pada kediaman di Ficus Peak 8 ini.

Dari muka pintu masuk utama lagi penulis sudah buat penulis kagum. Pintu kayu besar dengan pemegang besi, sebagai permulaan gambaran cita rasa pemilik. Ia juga menjadi pengenalan awal untuk penulis terus menerokai kediaman pasangan yang memiliki dua putera comel yang diberi nama Adam dan Ayden.

Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan
Hunny cukup mementingkan keselesaan keluarganya dalam mendekorasi kediaman.

Cita Rasa Golongan Muda

Melangkah masuk kediaman ini ternyata seni hiasan dalaman yang dipilih menepati cita rasa orang muda hari ini. Umpama memasuki sebuah galeri perabot, ternyata pelan terbuka yang dihiasi perabot pada setiap ruang bukan sahaja menonjolkan dekorasi moden kontemporari tetapi juga mencipta suasana mesra dan mewah di dalam kediaman ini.

Ruang terbuka tanpa halangan juga turut membenarkan konsep ini terus mengalir ke dalam ruang lain. Ini dapat dilihat dari ruang tamu, ruang makan dan dapur penuh berkarakter jelas kelihatan. Di antara ruang tamu menuju ke ruang makan di tengah-tengahnya diletakkan sebuah piano yang menyerlahkan aura moden mewah pada dekorasi.

Ads

Manakala rak terbuka yang mempamerkan aksesori perhiasan daripada pelbagai material menjadi pemisah antara ruang. Malah dapat dilihat secara keseluruhan reka bentuk dalaman dan gaya yang ditampilkan ini lebih menumpukan pada pendekatan cita rasa pemilik sendiri.

Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan
Ruang tamu yang luas selesa buat kunjungan tetamu.

Suasana Moden

Ruang dapur ini melengkapi suasana moden di tingkat bawah. Jelas dilihat pada binaan kaunter dapur daripada perincian batu kuarza berwarna putih gading dipadankan dengan kabinet kayu bertekstur kasar yang menjelaskan rekaan moden kontemporari. Tampil kontras dengan padanan dinding hitam dan perabot rustik yang dijadikan tempat menikmati sarapan. Ini menonjolkan lagi suasana hangat pada keseluruhan ruang. Pulau dapur dan kerusi bar yang diletakkan di tengah-tengah pula menjadikan ruang lebih ini lebih praktikal.

Ads

Suasana Lebih Hangat

Berada di sini membuatkan anda berasa seperti di dalam sebuah restoran. Di sini terdapat seni chalk wall yang tertulis pelbagai menu dan dihiasi lampu neon biru. Cahaya dari lampu pendant pelbagai bentuk menjadikan suasana lebih hangat. Penggunaan rona semula jadi menyerlahkan aura glam dan elegan pada ruang ini. Manakala kehadiran meja makan daripada kepingan kayu padu perincian kasar menguatkan lagi konsep moden yang ditampilkan.

Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan
Di ruangan makan anda seperti berada di restoran.

Ruang Tangga Imbau Saat-Saat Terindah

Semasa menuju ke tingkat atas satu lagi kejutan yang jarang ada di mana-mana kediaman. Di ruang tangga ini tidak dibiarkan begitu sahaja. Ruang ini menjadi tempat mengimbau saat-saat terindah Hunny dan Andy bersama keluarga kecilnya itu. Di sinilah diabadikan potret keluarga dalam palet monokrom termasuklah gambar ketika kelahiran anak keduanya.

Ads

Minat Andy pada ilustrasi turut diabadikan di sini. Ilustrasi Kota New York dan Kuala Lumpur yang dilukis pada dinding bahagian tangga ini merupakan memori catatan perjalanan hidup dan karier yang dilalui Andy selama 14 tahun tinggal di sana.

Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan
Menggamit memori penghuni ketika berada di New York.

Lebih Santai

Menurut Hunny lagi pada sebelah petang kebiasaannya anak-anak akan bermain di kolam renang yang terdapat di kediaman mereka.

“Kami sekeluarga jarang bercuti. Anak-anak pula akan bermain di kolam renang pada sebelah petang. Jadi kebanyakkan waktu santai kami sekeluarga dihabiskan di rumah. Kami sekeluarga lebih selesa duduk di rumah. Anak-anak pun bebas bermain-main. Kolam renang yang direka khas oleh suami saya ini cukup unik dan sesuai dengan keluarga kami yang kecil,” ungkap Hunny menutup bicara. Bagi anda yang mahu melihat lebih banyak lagi gambar-gambar cantik di kediaman ini bolehlah dapatkan majalah Mingguan Wanita di pasaran.

Lepak Saja Di Rumah, Ruang Makan Seperti Kafe Hipster Serap Aura Glam & Elegan
Kolam mandi untuk si comel berendam.

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI