Walau buat hal sendiri-sendiri, tak kacau orang. Tetap ada juga yang tidak berpuas hati. Ada saja perbuatannya yang mencalar hati anda. Orang berdengki ini sememangnya ada di mana-mana.
Cuma, bagaimana anda mahu menangani perbuatannya yang menyakitkan hati itu. Liza Suhana berkongsi saranan yang cukup bijak. Cara untuk berhadapan orang semacam ini, yang akhirnya akan membuatkan diri anda lebih tenang.
Antara yang disarankan oleh Kaunselor yang ditemuinya adalah amalan sedekahkan surah Al-Fatihah untuk mereka yang suka mencari pasal dengan anda. Hadamkan tip selebihnya.
Kalau Ada Orang Berdengki, Tak Puas Hati Nak Buat Macam Mana
Ada sahabat bertanya,
“Kalau ada orang tak puas hati dan sentiasa cari pasal dengan kita, nak buat macam mana?”
Soalan itu benar-benar kena dengan situasi saya dulu. Situasi yang sangat mengganggu emosi. Bagaimana cara saya menanganinya?
1. Menangis
Saya jarang menangis. Sebagai anak sulung, saya agak kental hati.
Tapi untuk sekali itu, saya menangis beria-ia dalam pelukan suami. Habis basah bajunya dek air mata. Perbuatan cari pasal itu sangat melukakan hati.
Selepas puas menangis, saya dapat rasakan sedikit kelegaan.
2. Jumpa kaunselor
Saya tak pernah berjumpa kaunselor untuk meluahkan masalah. Malah saya yang sering mendengar masalah pelajar dan rakan-rakan.
Tapi hari itu, saya melangkah ke bilik kaunselor dengan membawa perasaan yang amat sedih dan kecewa. Allah gerakkan hati bertemu kaunselor yang tepat.
3. Berdamai dengan hati
Kaunselor menyarankan supaya saya berdamai dulu dengan hati. Pujuk hati untuk meyakini bahawa setiap apa yang berlaku bukan saja-saja. Ada sesuatu yang Allah mahu tunjuk dan mahu saya belajar.
4. Percaya diri
Saya perlu percaya pada diri sendiri. Jika apa yang dikatakan orang itu membuat saya sedih, kecewa dan marah, bermakna saya percaya dengan apa yang dikatakan itu. Sedangkan saya bukan seperti itu.
Jadi, saya perlu percaya diri. Percaya yang saya ada harga diri. Saya bukan seperti itu! Jadi, mengapa saya harus melayan rasa sedih berlebih-lebih?
5. Terima seadanya sifat seseorang
Setiap orang ada kelemahan termasuklah si pencari pasal.
Saya harus menerima bahawa dia mempunyai satu level pemikiran yang tidak sama dengan saya. Biasanya sejarah hidup akan membentuk siapa kita hari ini. Maka, saya perlu terima sikapnya yang memang begitu. Saya takkan mampu mengubahnya pun.
6. Mengadu pada Allah
Kerana peristiwa itu, saya bangun seawal jam 4.00 pagi. Solat sunat dan berdoa sesungguh hati. Segala rasa yang terbuku saya adukan kepada Dia yang Maha Mendengar.
Benarlah. Dia timpakan ujian kerana mahu kita mencari-Nya. Dia rindu rintihan hamba-Nya yang selama ini sering lalai daripada mengingati-Nya.
7. Sedekahkan Al-Fatihah
Kaunselor saya memberikan satu amalan yang boleh dilakukan untuk melembutkan hati si pencari pasal. Katanya, orang sebegini rohnya sakit.
Sedekahkan surah Al-Fatihah kepadanya dengan disertai niat, ‘Ya Allah, aku sedekahkan bacaan Al-Fatihah ini kepada roh baik (sebutkan nama penuhnya). Berikan dia hati yang baik, fikiran yang lapang dan tunjukkannya kebenaran.” (Jika mahu, teruskan lagi dengan doa yang baik-baik untuknya)
Setiap kali teringat, niat dan bacakan Al-Fatihah untuknya. Dengan izin Allah, hatinya akan menjadi lembut.
Baca sini : 16 tahun bahagia tanpa campur tangan sesiapa, pesanan abah ini sebabnya
8. Cari pihak ketiga
Dalam usaha memulihkan hati sendiri, saya usahakan juga mencari pihak ketiga sebagai pendamai.
Individu ini mestilah seorang yang boleh dipercayai dan ada autoriti. Ditakdirkan pertemuan 3 penjuru ini berakhir dengan baik. Alhamdulillah.
Dengan ikhtiar ini, saya sendiri dapat rasakan perubahannya walaupun mengambil masa. Sabar dan teruskan beramal. Walaupun tidaklah 100% berubah, tapi sekurang-kurangnya dia tidak lagi mencari pasal. Soal dia masih berdendam atau menyimpan dengki dan benci, itu urusannya. Serahkan saja kepada Allah.
Yang lebih penting, hati saya menjadi lebih tenang berbanding sebelum berlakunya insiden itu. Saya semakin berlapang dada menerima hakikat dalam ramai-ramai yang suka, pasti ada yang tidak sukakan kita.
Saya tidak akan membiarkan yang seorang dua itu melemahkan saya sedangkan ramai lagi yang tahu saya orang yang bagaimana.
Maka, move on!
Selagi memegang prinsip yang betul, teruskan melangkah. Sudah pasti dengan sandaran kuat kepada Allah.
Lahaulawala quwatailla billah.
Mingguan Wanita : Doakan semoga orang berdengki yang melihat kesenangan orang lain, akan dilembutkan hati olehNya. Dan dibukakan hatinya untuk menginsafi perbuatannya.
Sumber/Foto : Liza Suhana
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI