
Macam-macam hal, akibat tabiat pelik yang suka memasukkan objek kedalam dubur, diri terpaksa menanggung derita dan sengsara apabila ianya tersekat selama hampir 7 jam!
Kejadian yang berlaku di Beijing ini, seorang lelaki di China menanggung malu apabila terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan selepas bebola kaca selebar 7.62 sentimeter tersekat di dalam duburnya.
Kejadian itu berlaku di Dongguan, Wilayah Guangdong baru-baru ini apabila lelaki dikenali sebagai Xiao Ming, 31, pergi ke hospital kerana mengalami sakit perut yang teruk selepas objek itu tersekat di rektum selama tujuh jam.
Doktor kemudian membuat ujian X-ray di perutnya dan terkejut apabila mendapati objek bulat tersekat di bahagian rektumnya.
Tempoh Sejam Keluarkan Guna Forsep
Guangdong Public Channels melaporkan, doktor berjaya melakukan pembedahan untuk menolak objek itu ke lubang duburnya dan mengeluarkannya menggunakan forsep dalam tempoh sejam.
Seorang doktor memberitahu, dia menggunakan alat untuk memeriksa bahagian dalam perut lelaki itu sebelum menggunakan tangannya untuk menekat perut bagi menolak objek besar itu.
Jelasnya, pesakit gagal mengeluarkan bebola itu kerana ia terlalu besar dan dia mungkin berdepan kejutan septik serta berdepan risiko usus berlubang jika lambat mendapatkan rawatan.
Xiao Ming memberitahu doktor, dia mempunyai ketagihan memasukkan objek ke dalam duburnya tetapi biasanya dia boleh mengeluarkannya semula.

Bagaimanapun kali ini, dia gagal mengeluarkan objek itu kerana ia terlalu besar.
Macam-macam hal, tolonglah jangan buat perkara yang aneh dan tabiat pelik-pelik, bukan sahaja menyusahkan diri, menyusahkan orang lain juga.
Sumber: Harian Metro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Akibat Saraf Tunjang Sebulan Lelaki Ini Terlantar Di Hospital, Demi Masalah Jantung Anak Isteri, Dia Kembali Berjalan

Isi Kandungan
ToggleIni cerita ajaib tentang seorang suami, bapa bernama Reduan Mohd Noor, 55. Lelaki yang menetap di Padang Jawa, Shah Alam ini pernah terlantar sebulan di katil hospital akibat penyakit saraf tunjang.
Demi anak isteri yang alami masalah jantung, dia kuatkan semangat. Bangun sampai boleh berjalan perlahan. Wartawan Nazwa Selamat mengunjungi kediaman beliau bagi berkongsi kisah inspirasi untuk suami isteri yang berhadapan ujian seumpanya.
Semangat ‘Ajaib’, Reduan Kini Mampu Berjalan
Setiap insan diberi ujian yang berbeza oleh Allah SWT. Walaupun hati berkata tidak atau belum bersedia untuk hadapinya tetapi inilah kayu pengukur bagi menguji sejauh mana letaknya tahap keimanan seseorang.
Bersama tim PERKESO Klang, penulis berkesempatan berkunjung ke sebuah rumah milik Reduan Mohd Noor, 55 di Padang Jawa, Shah Alam.
Laluan masuk yang tidak rata membuatkan pemanduan terpaksa diperlahankan. Sana sini kelihatan lopak air bertakung, menandakan hujan malam tadi. Barangkali lebat.
Mata memandang ke kiri dan kanan, rumah-rumah lot kampung dibina serba sederhana. Mungkin cukup bagi melepas selesa setelah penat bekerja.
Akhirnya, kami tiba di sebuah rumah yang serba sederhana. Di beranda, kelihatan seorang lelaki sedang duduk menyandar kerusi yang kondisinya sedikit usang.
Salam disambut, namun dia tidak mampu berdiri kerana masalah kesihatan. Penulis bermonolog, mungkin inilah Reduan. Orangnya nampak bersemangat tetapi saiz badannya agak kurus.
Dikatakan, dia mampu berdiri dan berjalan tetapi tidak seligat dahulu. Masalah kesihatan yang menimpanya beberapa tahun dahulu seakan meragut kemampuan untuk bergerak.
“Saya redha dengan apa yang berlaku. Memang pada awalnya bukan mudah untuk menerima tetapi saya kuatkan hati dan percaya, Allah duga sebab dia sayangkan hambaNya. Kehidupan sekarang serba sederhana.
“Dulu, saya pernah bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Lama, rasanya lebih kurang 19 tahun. Alhamdulillah, ada caruman dengan PERKESO. Mungkin inilah hikmahnya bila dah terlantar sakit, ada pula bantuan yang dihulur.
Reduan Jatuh Disahkan Masalah Tulang Belakang
Suatu hari, Reduan jatuh di rumah dan dibawa ke hospital. Doktor kata ada masalah di bahagian tulang belakang (saraf tunjang).
“Disebabkan itu, saya terlantar lebih kurang satu bulan di katil hospital. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu.
“Saya tak mampu lagi keluar mencari rezeki dan saya seolah membebankan anak dan isteri untuk datang menjaga.
“Waktu itulah saya bulatkan tekad untuk segera sihat, paling tidak pun dibenarkan keluar dari hospital. Alhamdulillah, Allah makbulkan walaupun kesihatan tidak sepenuhnya pulih,” ujarnya dengan suara yang perlahan.
Anak Kedua Dan Isteri Ada Sakit Jantung
Sayu hati penulis mendengar cerita Reduan. Seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Dia yang sebelum ini diharap menjaga keluarga akhirnya tidak mampu melakukan banyak kerja.
“Isteri saya tu bukanlah sihat sangat. Dia ada masalah jantung dan sering berulang alik ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk pemeriksaan rutin. Ada juga penyakit kencing manis dan darah tinggi.”
Walaupun sakit, isterinya, Norli Samijan, 48, betah berdikari dan bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah kedai 24 jam. Anak yang sulung pun sudah berkeluarga, jadi tidaklah terasa sangat.
“Anak kedua kami yang 23 tahun pun sama. Disahkan masalah jantung dan kencing manis. Waktu umurnya 13 tahun lagi, dia dah ambil insulin untuk kencing manis. Alhamdulillahlah, sebelum saya sakit lagi kami dah bawa dia untuk jalani pembedahan jantungnya.”
“Setidak-tidaknya, saya dapat jugalah tunaikan tanggungjawab sebagai bapa dengan menemankannya di hospital dahulu.
“Kasihan anak kedua saya itu. Dia ada Diploma dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh tetapi sanggup tak bekerja semata-mata nak menjaga saya di rumah.
“Banyak betul pengorbanannya sampaikan ada ketika saya rasa down sebab tak dapat teruskan tanggungjawab sebagai ayah dengan baik.”
Sampai hari ini, Reduan masih lagi meneruskan rawatan susulan di hospital. Dua bulan sekali, dia akan berjumpa doktor untuk lihat kembali sejarah kesihatan selain melakukan pemeriksaan rutin bagi mengelak timbulnya masalah kesihatan yang lain.

Saya Tak Mahu Bebankan Mereka
Reduan terdiam seketika. Mungkin mencari kekuatan untuk menyambung bicara. Ujarnya lagi, kalau ikutkan hati dia memang susah untuk bergerak semula tetapi disebabkan semangat yang tinggi untuk sihat demi isteri dan anak-anak maka digagahkan juga.
Bila difikir-fikirkan balik, seperti satu kisah ajaib. Seorang yang hanya mampu terbaring akibat masalah saraf tunjang kini dilihat sudah mampu berjalan meskipun perlahan.
“Saya kasihankan isteri dan anak-anak. Saya tak mahu terus bebankan mereka. Yang pasti, hanya mereka penguat semangat untuk saya terus sihat.
Kadang-kadang saya akan berjalan perlahan ke dapur. Malah ada masanya saya akan buat senaman regangan yang mudah di kerusi ini.
“Memang rasa kebas dari bahu ke kaki masih ada sebab penyakit saya ini melibatkan saraf kan tetapi saya kuatkan dan cuba untuk sihat kembali.”
Semangat Reduan datangnya dari isteri, anak-anak, saudara-mara serta rakan taulan.
“Saya berfikiran positif, yakin dan percaya pada keajaiban Allah SWT. Moga ada sinar baru buat saya dan keluarga kelak.”
Sebelum mengakhiri temubual Reduan sempat memaklumkan yang kawasan rumahnya kerap kali banjir akibat sistem saliran yang tidak sempurna.
Difahamkan juga, kira-kira tiga minggu yang lepas, rumah Reduan dan kawasan sekitar dinaiki air hingga ke paras paha. Masing-masing kelam-kabut meletakkan barang-barang penting ke tempat tinggi.
Penulis : Nazwa Selamat
Foto : Nurul Akmar Azimi
Terima kasih kepada Mohd Nazree Khalid dari PERKESO Klang
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Adik Struggle Nak Lepaskan Diri.. Rempuh Pintu, Tapi Akhirnya Hanya Jenazah Yang Terkaku Depan Pintu

Hari ini masuk hari keempat anak-anak syurga dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah meninggalkan kita semua. Setiap berita yang dipaparkan, dibaca dengan hati yang meruntun sayu. Ada juga yang langsung tak punya kekuatan untuk membaca malah menatap wajah anak-anak ini.
Kita yang tidak mengenali ini pun begitu keadaannya, inikan pula ahli keluarga mangsa. Sayu hati membaca perkongsian kakak salah seorang anak syurga ini, Muhammad Hasrullah Bin Ismail menerusi akaun instagramnya Nazra @nzraismail.
Kerinduan seorang kakak yang tak mungkin dapat lagi melihat wajah adik kesayangan untuk sekian kalinya. Wajah yang hanya dapat ditatap buat kali terakhir tiga hari sebelum tragedi. Dan wajah akhir itulah yang menjadi kerinduannya.
Tragedi ini cukup pilu untuk dikenang. Semoga ikhtibar dari kisah ini kita mak-mak berazam untuk lebih sayang pada anak-anak, berusaha dalami ilmu keibu bapaan dengan sebaik-baiknya agar suatu hari nanti… walau tidak mampu menjadikan mereka hafiz/ hafizah… anak-anak ini menjadi anak bangsa yang memelihara adab, akhlak dan cemerlang dunia akhirat serta tidak menyusahkan orang lain.
Adik Baru Masuk Tahfiz
Adik, budak manja. Baru.. baru masuk tahfiz nangis sebab basuh baju sendiri teringat mak. Rindu. Lepas tu terus mak tak bagi basuh dah.
Tiap minggu kak Waa & kak Lia datang tengok. Nampak kitaorang sampai je bebudak tu excited jerit Achoi kakak kau datang. Alahai rindu.
Sampai satu hari adik bagitau kena pindah building baru, sebab nak renovate. Sementara je tapi maybe lama. Tak sangka selamanya habis dekat situ. Kak Waa tak pernah lawat dah dekat tempat baru ni.
Masuk tahfiz ni adik jadi pendiam, tapi kak waa tahu banyak benda adik sorok. Tengok air muka adik cuba senyum tapi sayu je. Bila tanya adik nangis, baru adik cerita. Hm sabar la dik, dugaan nak tuntut ilmu Allah. Adik rindu suasana rumah dengan family.
Adik tulis no kak Waa dekat kertas, demam ke apa adik mesti call kak Waa suruh amek. Last raya haji hari tu, adik call.
“Kak waa esok Achoi dah boleh balik amek pagi-pagi tau, pukul 8 pagi!”
Adik berat hati nak balik tahfiz, asyik tangguh. Balik kerja je adik yang buka pintu. Bila tanya nape adik tak balik lagi? Adik sengih je cakap esok la. Rindu sengih tu ? Dua tiga hari macam tu. Malam sebelum balik tahfiz, adik gaduh dengan Nadhir berebut main phone.
Gaduh punya pasal tak tidur dengan Nadhir, adik tidur dengan kak Waa. Lama kak Waa tenung adik kat sebelah, tengok adik tidur & that was the last time i saw you adik. Tak dapat tengok jenazah adik, sebab mak dengan kak Lia yang bagi DNA test je dapat tengok jenazah.
Last-last kak Lia hantar gak adik balik tahfiz, adik cakap adik penat nak habis cepat. Nak balik rumah, nak jaga mak. Berehat lah adik. Berehat selamanya di sana ?

Adik antara yang terawal pergi dulu dalam kebakaran tu. Adik struggle nak lepaskan diri, adik rempuh pintu tapi ? Doc yang jumpa jenazah adik, angkat jasad adik yang terkaku depan pintu.
Adik teman ayah dekat sana ye, ayah mesti rindu adik. Jumpa abang kita Omar juga. Kak Waa tahu tak layak, tapi adik tolong tarik kami semua sama-sama masuk syurga ? Rindu. Kita terpisah di dunia. In Shaa Allah di alam sana kita berjumpa lagi. Terima kasih Allah beri peluang kami sekeluarga luangkan masa bersama arwah, beraya bersama sama untuk kali yg terakhir. Adik tetap dalam kenangan, tetap dalam hati kami ❤️
Sumber/Foto: Instagram @nzraismail – Mingguan Wanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Terkini: Keluarga Arwah Thaqif Kecewa & Sedih!

Sekian lama menanti jawapan, akhirnya kematian pelajar tahfiz, adik Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi pada 26 April lalu di maklumkan berpunca daripada Leptospirosis atau kencing tikus.
Memetik kenyataan dari Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama pelajar itu meninggal dunia menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia bagi dianalisis.
Langsung tidak dimaklumkan hal ini dan hanya mengetahui apabila ada wartawan menghantar kenyataan akhbar itu kepadanya petang tadi, bapa arwah, Mohd Gaddafi berkata, jauh di sudut hatinya, dia berasa kecewa.
“Keluarga kami memang tak tahu apa-apa. Tak dimaklumkan apa-apa mengenainya. Kami jadi emosi dan sedih. Kalau kencing tikus, kenapa ambil masa berbulan begini untuk mencari jawapannya. Kenapa perlu gali kubur semula? Kenapa semasa di hospital doktor memaklumkan adanya darah beku di kaki anak?
“Saya dapat tahu berita ini sekitar jam 3.45 petang tadi. Wartawan WhatsApp bertanya pendapat saya. Kalau kencing tikuslah penyebabnya, susah nak percaya. Isteri saya, Felda Wani jadi sedih dan menangis sayu. Saya sendiri pun jadi sukar mempercayainya.
“Sekian lama kami redha dengan kematian anak kerana dia anak syurga. Sebagai ibu bapa kami berhak mengetahui punca kematiannya tetapi agak sukar hendak menerimanya hanya disebabkan oleh kencing tikus,” kata Mohd Gaddafi ketika dihubungi.
Kenyataan Penuh Ketua Pengarah Kesihatan Berhubung Laporan Bedah Siasat
Kementerian Kesihatan ingin merujuk kepada kejadian pelajar tahfiz yang telah meninggal dunia pada 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
Proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian telah dilakukan pada jam 6 petang hari yang sama. Beberapa sampel tisu dan darah telah diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
Susulan daripada kejadian tersebut juga, satu Jawatankuasa Khas Siasatan telah ditubuhkan bagi menyiasat kes ini. Jawatankuasa ini terdiri daripada Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengendalian kes-kes rumit.
Hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan didapati pelajar tahfiz tersebut meninggal dunia disebabkan oleh penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang ditularkan.
Penyebab kematian adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis (Purpura Fulminans)dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya melibatkan kegagalan organ untuk berfungsi.
Laporan bedah siasat dikemukakan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Julai 2017
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI