Langgar dan lari ketika kemalangan jalanraya memang satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Siapa sangka orang yang dilanggar sewaktu kemalangan tersebut merupakan anak, isteri atau ahli keluarga sendiri. Segala penyesalan tidak berguna lagi. Nyawa mungkin dapat diselamatkan, jika rawatan awal diberikan dan segera dihantar ke hospital, berbanding melarikan diri dan tinggalkan ditepi jalan.
Seorang lelaki yang terlibat dalam kes langgar lari di wilayah Shandong, China hanya mampu meraung dan meratap menyalahkan dirinya apabila mendapat tahu mangsa yang ditinggalkan adalah isteri dan anak lelakinya sendiri. Lelaki yang dikenali sebagai Zhang dikatakan melarikan diri dari tempat kejadian selepas melanggar sebuah skuter elektrik yang dinaiki seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki di sebuah laluan gelap di Zibo, Shandong.
Beberapa saksi yang menjumpai wanita itu dan anaknya yang cedera segera menghubungi ambulans dan polis. Mangsa dikejarkan ke hospital, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian manakala wanita itu dirawat di unit rawatan rapi.
Zhang berjaya ditahan pada malam yang sama lalu dibawa ke hospital dan mendapat tahu mangsa yang dilanggar adalah ahli keluarganya sendiri.
Dalam sebuah rakaman video polis, Zhang meraung dan menangis teresak-esak apabila dibawa semula ke lokasi kejadian keesokan harinya.
Menurut Zhang dia dan isteri serta anaknya baru pulang makan malam di rumah saudara mereka. Isteri dan anaknya pulang terlebih dahulu sementara Zhang menyusul pulang dengan memandu van sendirian.
Laporan mengatakan lelaki tersebut memandu dalam keadaan mabuk.
Buat pengguna jalanraya, jadikan kisah ini suatu pengajaran. Bertanggungjawablah dengan kesalahan yang dilakukan, bukan dengan cara melarikan diri untuk mengelakkan diri daripada undang-undang. Penyesalan tidak lagi berguna, apatah lagi orang yang dilanggar itu merupakan ahli keluarga sendiri.
Sumber: Sinar Harian & dailystar.uk