Lelaki Mengamuk Pecahkan Cermin Pintu Rumah Bekas Isteri Guna Cangkul Didenda RM3,000. Akibat terlalu mengikut emosi buruk akibatnya. Walau apa pun alasannya, bertindak mengikut emosi boleh mengundang padah.
Tindakan seorang lelaki yang mengamuk dan memecahkan cermin pintu depan rumah bekas isterinya Selasa lalu mendapat balasan apabila didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd. Shariman Zul Kapri, 46, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.
Tertuduh yang bekerja sebagai jurukimpal juga diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara lima bulan jika dia gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan khianat iaitu memecahkan cermin pintu depan rumah Salina Sidit, 45, dengan menggunakan sebatang cangkul di Pinji Indah 2, Taman Pinji Indah, Ipoh sekitar pukul 9 pagi, 4 April 2023.
Perbuatan tertuduh itu menyebabkan wanita berkenaan mengalami kerugian lebih RM25.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika rayuan bagi mengurangkan hukuman, Mohd. Shariman yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), G. Harbhajan Singh memohon anak guamnya itu tidak dikenakan hukuman penjara kerana lelaki terbabit menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.
Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, Mohd. Shariman didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah jenis methaphetamine ke dalam badan.
Kesalahan tersebut dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar pukul 6.15 petang, 5 April 2023.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dan menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan patologi.
Menerusi laporan media pada Khamis lalu, seorang lelaki ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan kes pecah cermin sebuah rumah di Taman Pinji Indah di sini.
Perbuatan lelaki itu yang memecahkan cermin menggunakan batang kayu cangkul itu dirakam wanita dipercayai bekas isterinya sebelum rakaman video berdurasi 25 saat itu tular di media sosial sejak semalam.
Keputusan ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki tersebut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Mesti Baca:
Syamsul & Puteri Sarah Setuju Bercerai Cara Baik & Aman, Lafaz Talak Akan Disebut 18 April IniMingguan Wanita: Semoga mendapat pembalasan yang setimpal, melakukan perbuatan khianat pada bekas isteri.
Sumber: Utusan
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.