Lelaki kebanyakannya menganggap wang dan rupa dapat menawan hati wanita. Ye ke? Sejauh mana betulnya tu?
Saya diminta untuk berikan komen mengenai isu wanita kini yang rela hidup sendiri sama ada kekal bujang atau menjanda atau menjadi ibu tunggal, hanya kerana si lelaki bukan seorang yang kaya dan berharta. Benarkah?
Realitinya, biarpun wanita sinonim dengan hati yang rapuh, mudah dipujuk rayu dan terlalu cepat melatah emosi; terdapat lima tip utama untuk memenangi hati wanita yang mampu berikan kasih sayang yang ikhlas dan jujur kepada seorang lelaki.
Lelaki Sejati
Paling utama; anda perlu menjadi seorang lelaki sejati. Tak perlu tampil gagah perkasa tetapi sejati idaman wanita ialah anda berperwatakan menarik, sedap mata memandang, senang bergaul dan pandai mengambil hati.
Bukan dengan selalu memuji dan bukan juga tak boleh mengeji tetapi berpada-pada. Asasnya; katakan dan luahkan yang benar, bukan menyembunyikan fakta hingga akhir nanti yang dusta mewujudkan duka.
Lelaki KETUA Yang Melindungi
Sejati idaman wanita juga bermaksud anda mampu menjadi ketua; bukan mengarah itu ini sebaliknya ketua yang mampu melindungi. Fitrah wanita ingin dijaga kebajikan dirinya dan bukan dia yang perlu menjaga.
Wanita juga ingin didominasi oleh lelaki; bukan wanita yang perlu tentukan segala keputusan sehari-hari tetapi didominasi lelaki bukan sampai hak wanita untuk bersuara dikesampingkan. Lantaran, lelaki sejati idaman wanita ialah mampu bertoleransi, bersikap terbuka dan boleh menerima pendapat dan saranan daripada wanita juga.
Ads
Jangan berdusta
Bukan saja lelaki, wanita juga tidak suka ditipu dan didusta. Ramai lelaki bersikap menipu tanpa niat atau ayat lebih hormat; bohong sunat. Elakkan bohong sunat ini tetapi secara berhikmah, ucapkanlah kebenaran. Biar kenyataan itu terlalu pahit; nyatakanlah ia kerana wanita boleh memaafkan kesilapan dan keterlanjuran tetapi takkan mudah menerima dan memaafkan sebuah penipuan dan pendustaan. Lantas, duhai lelaki, sentiasalah amalkan sikap jujur dan berterus terang.
Lelaki Lebih Lebih Sanggup Berbohong Daripada Terus Terang
Dalam hubungan perkahwinan; ramai suami yang tidak ambil berat isu berkata benar ini. Ramai yang memegang prinsip; daripada katakan yang benar boleh lukakan hati, biarlah berbohong sedikit. Masalah akan jadi lebih besar bila isteri mengetahui tentang pembohongan tersebut. Isteri sukar terima penipuan untuk menjaga hati sebab isteri percaya; jika suami benar ikhlas dan sayang; suami perlu berterus terang.
Sama juga dalam isu khianat kasih; bila si suami mempunyai orang ketiga. Isteri yang mengetahui secara tulus daripada si suami akan lebih bersedia memujuk hati dan menerima hasrat suami berbanding suami yang menduakan dirinya dalam diam.
Ambil berat dan prihatin
Wanita akan mengenepikan rupa, pangkat atau harta sekiranya bertemu lelaki yang mengambil berat dan prihatin terhadap dirinya. Keprihatinan seorang lelaki akan membuatkan wanita rasa dihargai. Ambil berat tentang kesihatannya, emosinya, ujian kehidupannya, perkara kegemarannya malah cerita-cerita kelakarnya. Dia tak perlukan nasihat bagai kaunselor tetapi memadailah anda meluangkan sedikit masa untuk mendengar luahan hatinya.
Wanita ideal tidak dambakan hadiah berharga tetapi memadailah apabila hari-hari penting dalam hidupnya diingati. Ingatan anda cukup membuktikan anda mengambil berat dan prihatin.
Ads
Komunikasi Unggul
Wanita ingin sentiasa didampingi; bukan berdampingan dari aspek fizikal semata-mata tetapi dampingi wanita secara emosi. Sentiasalah bertanya khabar dan jangan biarkan dirinya tertunggu-tunggu jawapan khabar daripada anda. Penantian tanpa sebarang maklumbalas daripada lelaki boleh membuatkan wanita beranggapan dirinya tidak diperlukan lagi.
Komunikasi unggul yang perlu dipraktikkan sebagai jaminan hati wanita ditakluki ialah wujudkan komunikasi tanpa batas iaitu sering berhubung walau sekadar satu mesej ringkas menanyakan khabar; juga sentiasa berterus terang – jika keadaan tidak izinkan untuk berbicara panjang, cukup sekadar maklumkan anda akan hubunginya sedikit masa lagi kerana tika itu, anda perlu lakukan sesuatu yang lebih penting.
Wanita suka dimanja tetapi bukan terlalu dimanjakan. Wanita suka diberikan kepercayaan dan kebebasan tetapi berpada-pada. Kepercayaan dan kebebasan tanpa batas boleh buatkan wanita merasakan dirinya tidak diperlukan.
Terima Dia Seadanya
Wanita sanggup melakukan apa saja atas nama cinta. Paling penting, terima dia seadanya. Jika ada kekurangan dirinya yang boleh diubah, lafazkan dengan penuh hikmah; bukan mencerca tetapi sebagai mendidik ke arah yang lebih baik.
Wanita sanggup berusaha sedaya upaya jika anda boleh menerima dirinya seadanya dan lakukan sedikit perubahan demi kebaikan bersama. Wanita tidak suka dibandingkan dengan wanita lain. Lantas, dalam usaha mendidik, jangan bandingkan dia dengan orang lain walau dengan ibu atau saudaranya sendiri.
Jika anda sanggup menerima wanita pilihan anda seadanya, anda akan jadi manusia paling bahagia dalam menjalani kehidupan ini, insya-Allah.
Artikel: Suzana Ghazali, Perunding Kaunseling Keluarga Dan Syariah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Waktu bercinta boleh bercantik-cantik, tak kan lah bila dah kahwin perempuan itu jadi malas nak melawa untuk suami?
Haaa… bab ini kena betulkan balik, bukan tak nak bercantik bagai tetapi kebanyakan wanita yang dah jadi isteri memang tak sempat nak uruskan diri sendiri dek kerana sibuk dengan hal rumah tangga dan mencari duit poket tepi.
Lebih dekat lagi, anda boleh cuba selami perkongsian Ustaz Ebit Lew ini…
Maafkanlah isterimu dan fahamilah mereka jika mereka sudah tidak cantik, selekeh, mula menjerit, asyik marah-marah, selalu mengadu sakit-sakit, layanan mereka tidak sempurna..
Seorang suami mengadu keadaan isterinya yang begitu. Jawab saya cuba kita uruskan anak-anak seminggu seorang diri. Hanya Allah yang tahu bagaimana rupa dan sifat kita agaknya.
Mereka jadi begitu sebab kerja mereka tiada cuti. 24jam sehari. Termasuk isteri yang bekerja. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah… itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..”saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk. Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang. Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bukan bibik. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumah tangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Semuanya ada berkait dengan hati. Apa yang hati bisikkan, itulah yang selalunya terpancar di wajah. Lalu tersalur ke minda kita. Lagi-lagi bila tengok kekurangan orang lain.
Pesanan mak-mak yang disampaikan Puan Ashikin Hashim ini tersangatlah biasa jadi di kalangan kita-kita. Tanpa sengaja, ter’judge’ orang. Ternilai orang dari pandangan mata kasar kita sahaja.
Didik Diri Agar Tak Hakimi Orang Yang Baru Kita Jumpa
Jom lah kita didik diri untuk tidak hakimi orang yang baru kita jumpa.
Dia pakai baju tak gosok kita ingat dia memang jenis selebet.
Dia bagi anak dia jajan kita ingat setiap hari dia makan jajan.
Dia bagi anak dia phone masa di rumah terbuka, kita ingat anak dia dah ketagihan.
Dia pakai kereta nak tercabut kita ingat dia sengkek.
Sebelum ‘Judge’ Fahami Dulu Kisah Orang Lain
Kita tak tahu kisah orang. Kita tak tahu yang dia sedang dan pernah alami.
Dia pakai baju tak gosok baru hari ni. Rupanya anak dia berderet demam. Tak sempat gosok baju.
Dia bagi anak dia jajan baru hari tu sebab ada orang hulur, dia nak jaga hati. Ukhwah lagi penting. Balik nanti dia cakap balik dengan anak dia.
Dia bagi anak dia phone kat rumah terbuka kawan dia sebab semalam kat rumah terbuka kawan lagi satu anak dia dah terpecahkan pinggan. Plan bawa mainan tertinggal pula.
Dia pakai kereta nak tercabut sebab kawan dia nak pinjam kereta dia yang elok sebab kawan mak dia sakit kat kampung.
Mudah sangat pemikiran kira judge orang
Mudah sangat kita berkira-kira kita lebih tahu dari orang lain.
Mudah sangat kita kata cara dia salah.
Ibarat air dicincang yang takkan putus, begitulah istimewanya hubungan adik beradik.Namun yang membuat rasa terkilan, apabila adik beradik semakin meningkat dewasa, usia semakin bertambah dan masing-masing sibuk mengejar impian serta cita-cita masing-masing.Hubungan yang pernah erat ini semakin renggang dan menjauh.
Mungkin ada adik beradik yang berjaya dalam hidup dan mungkin ada juga yang kecundang. Namun, janganlah sampai kita mengabaikan hubungan adik beradik meskipun sudah berbeza haluan. Kenangkan kembali zaman kanak-kanak kita membesar bersama-sama di bawah bumbung rumah yang sama dan berkongsi rahim yang sama.
Adat adik beradik ada kala terjadinya perselisihan faham dan perselisihan pendapat. Bila dah bermasam muka dan tidak bertegur sapa, nak berbaik semula tu yang susah.Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.Jagalah hubungan sesama adik beradik, saling bermaafan dan menghormati. Kadang kala mengalah bukan sebab kalah, kita mengalah sebab hormatkan dengan hubungan yang ada.
Sebenarnya bila adik beradik bergaduh sebenarnya telah hilang rahmat Allah dalam keluarga tu sebab tu penting jaga hubungan dengan adik beradik.Kalau kita tengok ada adik beradik kita susah sikit dan Allah bagi kita rezeki lebih.Bantulah adik beradik kita.Bukan kah sebaik baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat.
Ini antara 10 tip yang boleh dipraktikan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik beradik.
Tip Jaga Hubungan Adik Beradik:
1. Solat Berjemaah
Jika masih tinggal serumah, rebut peluang solat secara berjemaah sesama adik beradik. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Jika berjauhan,jadikan amalan solat berjemaah ini sebagai rutin setiap kali berkumpul bersama.
2. Makan Bersama
Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, tetapkanlah satu waktu dan keraplah makan bersama-sama. Selain itu, boleh juga sesekali makan didalam dulang dengan adik beradik. Selain merupakan sunnah ia mampu mengeratkan lagi hubungan adik beradik, apabila dapat bergurau senda dan makan bersuap pasti menambah kemesraan. Bahkan jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.
3. Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik
Berbanding kawan-kawan, adik beradik, mak ayah dan keluarga kita lah antara orang yang paling boleh dipercayai. Ini kerana mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain dan dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.
4. Melakukan Aktiviti Bersama-Sama
Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah,bersenam, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan.
5. Menyambut Hari Penting
Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan mak ayah dan sebagainya.Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.
6. Memberi Hadiah Dan Buah Tangan
Jika ada rezeki lebih, contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan.
7. Sentiasa Berhubung
Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.Contohnya aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja. Tidak seperti zaman dahulu yang memerlukan sepucuk surat sampai berhari-hari lamanya.
8. Saling Menghormati
Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT. Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya. Jangankan kita sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa kita menghormati orang lain terlebih dahulu.
9. Menghargai Dan Mencari Kelebihan Mempunyai Adik-Beradik
Mak ayah sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.Jangan sesekali berasa tertekan dan mengangap bilangan adik beradik yang ramai sebagai bebanan dan sukar, sebaliknya anggaplah kehadiran adik-beradik sangat memeriahkan dan tidak sunyi.
10.Mudah Memaafkan
Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan. Jangan ego dan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.
Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.