Buat para jemaah umrah yang bakal melakukan ibadah umrah kali pertama, akan berdepan rasa teruja, tak sabar malah berdebar-debar sebaik jejak kaki ke tanah suci Mekah.
Lelaki ini, Najmi Farisham bantu mudahkan perjalanan umrah anda dengan memberi tip mudah untuk anda hadam dan ingat bahawa ibadah umrah ini sebenarnya mudah untuk dilaksanakan.
Mak ayah kita ini kalau bercerita pasal umrah, memang tak ingat dunia. Air teh dua tiga jag pun sekejap saja habis, tak perasan. Pendek kata sehari memang tak cukup woih.
Dia punya cerita memang bersemangat, dari bangun pagi sampailah ke larut malam. Kita anak-anak yang belum pernah jejakkan kaki ke sana dengar dan layankan sajalah walaupun tak faham. Tengok mereka seronok dan ketawa, sudah cukup buat kita tumpang gembira.
Baik kau jujur, faham ke tidak apa yang mereka duk cerita itu? Hihi. Okey tak apa, kau simpan dalam kepala saja jawapan itu.
Dulu aku pun tak faham sepatah apa walaupun pernah belajar, sebab ianya ibadat yang dilakukan jarang sekali. Iyalah, nak datang ke Mekah bukannya macam naik bas tiket harga dua kupang saja woih. Tambangnya mahal! Kena menabung sungguh-sungguh.
Begini kawan, ibadat umrah ini senang saja sebenarnya. Kau hanya perlu ingat empat benda iaitu,
niat umrah,
tawaf,
sai dan
bercukur (atau bergunting).
Ini saja. Yang lain-lain itu kau letak tepi, tak usah peningkan kepala duk fikir okeh?
“Okeh, jadi macam mana perjalanannya?”
Baik jom kita pergi satu-satu. Oh ya sebelum terlupa, kita disunatkan untuk mandi dan bersihkan badan terlebih dahulu. Lagi molek jika sapukan minyak di rambut untuk lagi nampak kemas bagi yang berambut panjang.
Kemudian barulah memakai dua helai kain ihram bagi orang lelaki. Kain ihram ini seperti tuala berwarna putih dengan saiz yang besar. Satu dipakai seperti kain pelikat dan lagi satu diletakkan di badan. Bagi perempuan pula tak kisah nak pakai apa, asalkan sopan dan menutup aurat.
Bila dah siap sedia dengan kain ihram masing-masing, kita akan ke Masjid Bir Ali yang terletak di sempadan Tanah Haram Madinah untuk berniat. Memang kita kena mulakan niat di sini seperti yang disuruh oleh Nabi SAW bagi orang Madinah.
Usai saja melafazkan niat, maka secara automatiknya kita kena jaga diri dari melakukan segala perkara yang dilarang. Antaranya ialah mencabut rambut, memotong kuku, memakai bau-bauan, memburu binatang, akad nikah, bersetubuh dan bibit-bibit permulaan persetubuhan.
Juga terdapat larangan khusus bagi lelaki iaitu kena elakkan dari memakai pakaian berjahit yang membentuk tubuh badan tak kiralah pakaian di luar mahupun dalam. Dan tak boleh letakkan sesuatu untuk menutup kepala walaupun hanya sebiji kopiah.
Orang perempuan pula ditegah dari memakai niqab dan sarung tangan. Itu saja, ringkas.
Sepanjang perjalanan menuju ke Mekah, kita yang sedang berihram (yang berniat tadi) ini disunatkan agar perbanyakkan bacaan talbiah. Lafaznya senang saja, kita selalu dah dengar dari kecil lagi. Tambahan jika di musim Haji, televisyen tempatan akan selalu siarkannya. Nanti rujuk komen ya, saya letakkan di sana.
Setibanya di Mekah, lepas dah siap urusan check-in bilik, kita akan terus ke Masjdilharam untuk mulakan tawaf. Tawaf ini caranya adalah mengelilingi Kaabah (bangunan berbentuk kotak berwarna hitam yang berada di tengah masjid) sebanyak tujuh pusingan dengan melawan arah jam. Maksudnya bahu kiri kena menghadap ke arah Kaabah.
Namun sebelum itu, kita disunatkan untuk mendedahkan bahu kanan seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat dahulu. Kita akan mulakan tawaf dengan berada di garisan hajarul aswad (sebuah batu hitam yang berada di bucu Kaabah).
Biasanya sukar nak nampak fizikal hajarul aswad tersebut sebab orang ramai sangat, jadi kita ambil inisiatif lain dengan berpandukan lampu hijau yang berada di sebelah kanan kita. Memang dipasang tinggi dan senang dilihat untuk memudahkan para jemaah. Mesti pernah dengar kan mak ayah kita duk sebut pasal lampu hijau ini? Jadi inilah fungsinya.
Semasa tawaf, kau bacalah doa apa yang kau nak minta dari Tuhan. Bacalah zikir apa yang kau ingat. Ataupun jika nak baca al-Quran pun, silakanlah. Itu terserah pada kalian semua. Cumanya kalian perlu tahu yang tidak ada doa atau zikir khusus di sini. Hanya kalian yang tahu apa yang hati inginkan. Segala apa yang terbuku di jiwa.
Selesai tawaf tutuplah semula bahu kanan yang kita dedahkan tadi. Disunatkan pula untuk solat sunat tawaf sebanyak dua rakaat. Pada asalnya ia sunat dilaksanakan di belakang Maqam Ibrahim.
Namun jika keadaan tak mengizinkan sebab jemaah yang ramai, jadi kau carilah mana-mana tempat yang selesa. Fokus dan khusyuklah saat ini. Ambil peluang untuk berdoa pada Tuhan setiap kali sujud. Tak apalah lama sikit, asalkan kita berpuas hati.
Okey kita dah siap solat. Jom lakukan sai pula.
Ketika berjalan ke tempat sai, singgahlah dulu di tong air zamzam yang disediakan di sana. Minum sepuasnya. Jika waktu itu tengah panas terik, ambil air zamzam dan curahlah sedikit di kepala. Moga dapat sejukkan badan dan berikan kelegaan.
Untuk sai pula, senang saja. Kita hanya perlu berjalan dari kawasan yang bernama Safa ke Marwah, kemudian patah balik dari Marwah ke Safa sebanyak tujuh kali. Kiraannya begini, dari Safa ke Marwah dikira satu. Kemudian dari Marwah ke Safa pula dikira dua. Dan begitulah seterusnya tiga empat sampai tujuh.
Tak usah runsing terjadinya perlanggaran bila nak patah balik itu sebab dah ada laluan khas yang lurus untuk pergi dan balik. Di laluan ini pun ada lampu hijau juga. Apabila sampai di kawasan yang berlampu hijau itu, disunatkan bagi orang lelaki untuk berlari sekuat hati.
Antara benda yang ramai jemaah terlepas pandang adalah untuk berdoa setiap kali sampai di Safa dan Marwah. Jadi kalian kena cakna akan perkara ini. Berdoalah, mintalah apa yang kalian mahu dari Tuhan kerana inilah peluang yang sangat jarang kita perolehi.
Sepanjang perjalanan sai ini juga tiada zikir dan doa khas. Zikirlah apa saja yang kalian ingat. Doalah apa saja yang kalian mahu.
Kau kena pastikan kiraan yang ketujuh itu berakhir di Marwah. Saat ini adalah yang paling seronok. Iaitu melakukan aktiviti tahallul dengan mencukur atau menggunting rambut di kepala. Jika lelaki yang nak mencukur, boleh terus ke kedai yang berdekatan. Biasanya harga yang mereka ambil adalah 10 riyal sahaja. Memang licin habis mereka kerjakan. Hihi.
Orang perempuan yang nak menggunting rambut adalah dinasihatkan sangat agar lakukannya di hotel. Ramai sangat yang buat di Marwah sehingga terdedah auratnya pada orang ramai. Aduh ruginya begitu.
Kini kalian dah selesai melakukan umrah. Tahniah dan alhamdulillah. Segala larangan yang saya sebutkan tadi dah tak ada.
Begitulah secara ringkasnya perjalanan umrah yang mak dan ayah kita duk cerita selama ini. Yang ramai sahabat handai kita duk lakukan jika berkunjung ke Mekah. Dan moga-moga kalian juga dimurahkan rezeki untuk laksanakannya juga nanti. Aku harap yang ianya jelas dan difahami. Jika ada yang kurang jelas, boleh tanya di bawah ya.
Itulah.
Sumber/Foto : Najmi Farisham, Pengerusi Kelab Cakna Jemaah Umrah.