Lelaki Dijadual Bernikah Hari Ini, Dikhuatiri Lemas Mandi Pantai

Share

Sungguh malang tidak berbau. Keseronokan bermandi manda di pantai, sementara menanti hari diijabkabulkan dengan yang tersayang berakhir dengan tragedi.

Bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut, di sini, petang semalam.Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, hari ini.

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, pada 10 pagi.Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak pada 6.40 petang.

Harap Segera Ditemui

Bapa pengantin perempuan, Ismail Awang, 61, berkata, dia yang sedang memasang khemah untuk majlis berkenaan dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian menimpa tunangnya.

“Kami bergegas ke tempat kejadian selepas solat Maghrib dan berjumpa dengan ahli keluarga besan.

“Kita reda dengan apa yang berlaku dan berharap mangsa segera ditemui,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ismail berkata, pasangan itu bertunang bulan lalu selepas berkawan selama beberapa tahun.

“Mereka sampai di sini semalam dan segala persiapan sudah dibuat,” katanya.

Operasi Pencarian Dilakukan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini difokuskan di kawasan pesisir pantai dengan pencarian merangkumi jarak tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Beliau berkata, keadaan laut bergelora dan ombak kuat menyebabkan selain keadaan cuaca yang gelap menyebabkan operasi dibuat pesisir pantai masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian sejak 7 pagi itu bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km).

“Operasi SAR di Kelulut pagi ini akan menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.

“Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), APMM dan Rela terbabit dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Kejadian pertama berlaku di Pantai Jambu Bongkok apabila bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang semalam, manakala kejadian kedua di Pantai D’Marang Village, Kelulut, hanya beberapa minit selepas itu.

Bagi kes di Pantai Jambu Bongkok, mangsa ialah Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang beralamat di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, manakala bagi kes di Pantai D’ Marang Village, Kelulut mangsa dikenali sebagai Naim Hariri Kamaruddin, 31, beralamat di Kuala Lumpur.

Difahamkan Naim Hariri sepatutnya melangsungkan perkahwinannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, pagi ini. Keluarga Naim Hariri dan tunangnya yang ditemui pemberita, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Mw: Didoakan semoga pengakhiran yang baik buat keluarga mangsa dan bakal pengantin ditemui dengan selamat hendaknya.

Sumber:Hmetro, Sinar Harian

Published by
Suhaidah Abd Wahab