Lelaki Kalau Ada Simptom Ini, Buang Rasa Malu, Jalani Pemeriksaan Kanser Prostat
Gambar sekadar hiasan

Kanser prostat paling kerap berlaku pada lelaki. Namun walau ada simptom ada sesetengah lelaki masih mempunyai perasaan malu untuk melakukan pemeriksaan prostat.

Penjelasan Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah ini boleh dijadikan panduan.

Stigma Berkaitan Kanser Prostat

Antara stigma yang dialami adalah perasaan malu dan segan berjumpa doktor untuk pemeriksaan prostat. Ada juga yang anggap simptom-simptom pemasalahan buang air kecil dan sakit belakang adalah perkara biasa untuk mereka yang berumur.

Perasaan takut menghadapi kemungkinan kanser prostat pun boleh berlaku di mana mereka yang sudah berusia mungkin takut perlu menjalani pembedahan.

Untuk mengatasi stigma-stigma tersebut, lebih banyak pendidikan dan pendedahan mengenai Pca perlu diberi kepada masyarakat, bukan sahaja kepada golongan lelaki tetapi juga isteri-isteri.

Ini kerana isteri ini adalah teman dan penasihat seumur hidup suami. Ada yang suaminya takut berjumpa doktor tetapi atas pujukan dan sokongan isteri, hilang rasa resah sedikit untuk membuat pemeriksaan.

Pendidikan kanser prostat pun jangan tertumpu kepada simptom-simptom sahaja. Amat penting juga penerangan jenis rawatan yang boleh diberikan kerana tidak semua kanser mesti menjalani pembedahan.

Lelaki Ada Simptom Ini, Buang Rasa Malu, Jalani Pemeriksaan Kanser Prostat
Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway, Dr Nik Muhd Aslan Abdullah

Golongan Berisiko Tinggi

Antara risiko-risiko kanser prostat adalah mempunyai sejarah penghidap kanser prostat dalam keluarga.

Faktor umur juga adalah salah satu lagi risiko di mana risiko kanser prostat bertambah dengan meningkatnya umur seseorang lelaki.

IKLAN

Contohnya, kanser prostat amat jarang berlaku di bawah umur 40 tahun tetapi apabila selepas umur 50 tahun ke atas risiko bertambah dan boleh setinggi 60 peratus apabila menjangkau umur 90 tahun.

Tanda Dan Simptom Kanser Prostat @ Pca
  • Pancutan air kencing yang lemah atau terhenti-henti.
  • Perasaan tidak boleh tahan buang air kecil dan perlu segera ke bilik air
  • Kerap bangun malam untuk buang air kecil.
  • Kesusahan air kencing untuk keluar pada permulaan hendak buang air kecil.
  • Kesukaran menghabiskan air kencing sepenuhnya semasa buang air kecil.
  • Kesakitan atau perasaan kepanasan semasa buang air kecil.
  • Darah di dalam air kencing atau air mani.
  • Sakit di tulang belakang, peha atau punggung yang tidak mahu hilang.
  • Tanda-tanda kekurangan darah (anemia) seperti sesak nafas, kepenatan, kepucatan

Kemajuan Teknologi Rawatan Dalam Merawat Kanser Prostat

Terdapat banyak kemajuan teknologi rawatan kanser prostat di dalam aspek pembedahan mahupun rawatan radioterapi. Kini terdapat pembedahan robotik di mana kelebihannya adalah komplikasinya kurang dan pesakit lebih cepat sembuh.

Untuk rawatan radioterapi pula, terdapat pelbagai teknologi baru untuk menghasilkan rawatan yang lebih tepat, lebih tinggi kejayaan dengan kesan sampingan yang kurang. Antara kaedah rawatan radiasi yang baru adalah rawatan IMRT, VMAT, Tomotherapy, Stereotactic Body Radiotherapy, Brachytherapy dan implan radioaktif seed.

Dari segi perubatan, kini terdapat pelbagai pilihan ubat pil yang dapat mengawal kanser prostat dengan lebih lama berbanding dahulu. Kajian pun giat dijalankan untuk menggunakan rawatan pil targeted therapy untuk kanser prostat.

Dengan adanya pelbagai ubat pil baru, kini rawatan kemoterapi hanya diberikan untuk kes-kes tertentu sahaja. Ubat-ubat untuk mengawal simptom-simpton kanser prostat seperti kesakitan kini lebih banyak pilihan seperti ubat anti-sakit tampal dan ubat morpin yang tahan lagi lama dengan kurang kesan sampingan.

IKLAN

Artikel berkaitan:
Jangan Ambil Mudah Kanser Payudara. Ini Perkara Wanita Perlu Ambil Tahu!

Kenaikan Kadar Kejayaan Rawatan Kanser Prostat

Kebarangkalian kejayaan rawatan untuk kanser prostat banyak bergantung kepada tahap kanser prostat semasa ianya dikesan. Kanser prostat tahap I mempunyai peluang sembuh lebih tinggi berbanding Kanser prostat tahap III.

Pakar Multi Disiplin Diperlukan Dalam Merawat Kanser Prostat

Ada beberapa sebab kenapa pakar ‘multi-disiplin’ amat disyorkan. Salah satu sebab seperti dimaklumkan, ialah Pca lebih dihidapi oleh mereka yang berusia. Dan golongan ini kemungkinan ada penyakit-penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan sakit jantung. Dan mereka mungkin memerlukan rawatan untuk penyakit ini semasa menjalani rawatan kanser prostat.

Selain daripada itu, rawatan kanser prostat tidak hanya melibatkan pakar kanser onkologi dan pakar urologi sahaja. Untuk mereka yang dikesan pada Tahap IV, penglibatan disiplin lain seperti Pakar palliatif adalah penting. Ada juga yang datang mengadu kesakitan tulang belakang di mana mungkin pembedahan tulang belakang kecemasan diperlukan, untuk ini pakar tulang belakang perlu dipanggil.

Contoh 3 Kes Kanser Prostat / Pca

Kes 1

IKLAN

Pesakit datang mengadu sakit perut dan masalah susah buang besar. Pemeriksaan mendapati prostat beliau bengkak dan menekan rektum menyebabkan usus tersumbat. Pakar bedah dipanggil dan pembedahan dilakukan. Malangnya usus sudah tanda bocor dan beliau perlu dimasukkan ke ICU. Selepas sembuh daripada pembedahan dan jangkitan kuman akibat usus bocor, beliau menjalani rawatan radioterapi dan makan ubat pil Pca.

Kes 2

Pesakit dibawa ke kecemasan dengan sakit belakang dan kedua-dua kaki separuh lumpuh. Rawatan radioterapi segera perlu dilakukan dimana rawatan diberikan semasa cuti awam yang panjang. Ini kerana kelewatan rawatan boleh menyebabkan beliau lumpuh selama-lamanya. Selepas beberapa bulan dan dengan bantuan fisioterapi kaki beliau kembali kuat semula dan beliau berupaya berjalan kembali

Kes 3

Pesakit mempunyai Pca yang telah menular kembali dan kini Tahap IV. Beliau telah menjalani rawatan hormon dan kemoterapi dan Pca masih aktif. Pada masa itu, ubat baru Pca baru dijumpa dan belum boleh didapati di Malaysia. Rawatan radioterapi untuk kesakitan tulang diberikan dan beliau dimulakan rawatan steroid.

Rawatan ini dapat membantu mengawal Pca serba sedikit sehinggalah ubat terbaru ini boleh diperolehi. Beliau telah diberikan ubat baru ini sebagai salah satu subjek kajian klinikal. Ubat baru ini dapat mengawal Pca beliau untuk beberapa tahun sehingga beliau menjadi pesakit paling lama mengambil ubat di dalam kajian antarabangsa itu

Sumber: Sumbangan artikel daripada Dr Nik Muhd Aslan Abdullah, Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI