Lebih Selesa & Sopan, Syarikat Penerbangan Ukraine Perkenal Pantsuit, Kasut Sneaker Untuk Pramugari!

Share

Pakaian seragam pramugari bagi sesetengah syarikat penerbangan lazimnya mempunyai potongan baju ketat mengikut bentuk badan, terdedah pada bahagian tertentu malah memerlukan memakai kasut bertumit tinggi untuk ‘kelihatan anggun’ ketika menjalankan tugas.

Gaya Lebih Selesa & Sopan

Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang murah Ukraine, SkyUp Airlines berani membuat kelainan dengan melakukan perubahan dalam pakaian seragam rasmi pramugarinya kepada gaya yang lebih selesa dan sopan.

Ia dilakukan susulan hasil tinjauan yang dilakukan syarikat itu yang mendapati kebanyakan krunya meluahkan rasa tidak selesa serta bosan dengan gaya kasut tumit tinggi, skirt dan blaus ketat.

Keselesaan Maksimum Ketika Bertugas

Justeru, syarikat penerbangan berkenaan memberi pilihan kepada pramugarinya untuk mengenakan pantsuit berona jingga yang merangkumi blazer longgar, baju T putih, seluar panjang beserta kasut sneaker Nike Air untuk mendapatkan keselesaan maksimum ketika bertugas. Malah gaya penataan rambut juga ditukar daripada sanggul kepada gaya ‘braid.’

Pramugari senior SkyUp Airlines, Alexandrina Denysenko berkata bahawa adakalanya dia tidak memiliki masa terluang untuk duduk ketika penerbangan untuk merehatkan kakinya yang bengkak setelah menghabiskan masa berjam-jam dengan memakai kasut tumit tinggi.

Menurut Denysenko, tidak dinafikan bahawa memakai kasut tumit tinggi membuatkan penampilan menarik tetapi pramugari terpaksa menahan derita kesakitan pada kaki.

Malah katanya, jika kru kapal perlu melakukan pendaratan di atas permukaan air atau pemindahan kecemasan, ia amat tidak selesa.

Pelancaran Rasmi 22 Oktober

Pembaharuan pakaian seragam baru itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober ini. Dalam pada itu, syarikat penerbangan terbabit turut melancarkan pakaian seragam baharu untuk pramugara.

Benarlah keselesaan adalah kunci utama dalam menggayakan apa jua pakaian. Bila selesa, secara automatik tugas menjadi lebih lancar. Semoga pembaharuan yang dilakukan oleh SkyUp Airlines ini menjadi inspirasi kepada syarikat penerbangan lain.

Baca Lagi Di Sini:
Minta Nombor Telefon Tak Dilayan, Beri Kad Nama Hilangkan! Akhirnya “Pramugari” Disatukan Dengan “Penumpang”

3 Tahun Jadi Pramugari, Hilang Kerja Kini Jual Tong Gas

Mulianya Hati Pramugari, Sanggup Menyusukan Bayi Menangis Kehabisan Susu Formula Dalam Pesawat!

Mingguan Wanita: Wah memang terbaik, inisitif dan perubahan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan tambang murah Ukraine, SkyUp Airlines. Lebih menghormati wanita dengan berpakaian sopan dan pastinya kru yang bertugas juga dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih selesa. Semoga menjadi ikutan syarikat penerbangan lain diseluruh dunia juga.

Sumber: Reuters, Sinarplus

Mingguan Wanita juga boleh diikuti di

YouTube : https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial

Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita

Instagram: https://www.instagram.com/mingguanwanita

Published by
Suhaidah Abd Wahab