Lebih 5 Jam Dalam Tandas Rumah, Mengadu Sakit Perut & Sembelit, Rupanya-Rupanya…

Share

Sebagai mak ayah, perhatikanlah setiap perubahan sikap, emosi mahupun fizikal anak-anak. Lebih-lebih lagi ketika mereka di peringkat usia remaja.Peringkat usia ini, kebanyakkan mereka masih berfikiran tidak matang, mengambil jalan singkat tanpa berfikir panjang.

Mungkin kerana rasa takut dan bersalah, ada perkara yang mereka ‘bijak’ sembunyikan tanpa pengetahuan mak ayah, sehingga ‘berani’ mempertaruhkan nyawa sendiri.

Sedih dengan pengakhiran remaja 18 tahun yang ditemui mati di rumah sendiri ini.Remaja 18 tahun yang ditemui meninggal dunia di dalam tandas rumahnya di Taman Kerian Permai, Parit Buntar selepas melahirkan bayi lelaki petang semalam, ada mengadu mengalami sakit perut dan sembelit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, berkata mangsa mengadu kepada ibunya mengalami sakit perut dan meminta kebenaran ibunya menggunakan tandas di bilik tidur utama digunakan ibu bapanya kira-kira jam 8.30 pagi.

Terlalu Lama Dalam Tandas

Bagaimanapun, katanya, selepas kira-kira 30 minit ibunya ada memanggil mangsa yang juga anak kelima daripada enam beradik itu kerana mendapati dia berada terlalu lama di dalam tandas dan mangsa memberitahu dia mengalami sembelit.

“Kira-kira jam 10 pagi, ibunya sekali lagi memanggil remaja terbabit dan dia sekali lagi menjawab masih belum selesai menggunakan tandas terbabit.

“Ibu si mati dan anak bongsunya berulang kali bertanyakan keadaan remaja terbabit dan menerima jawapan sama daripada mangsa sehinggalah dia kemudian tidak memberikan sebarang reaksi kira-kira jam 2 petang.

“Berikutan itu, ibu mangsa kemudian bertindak memecahkan pintu tandas berkenaan dan mendapati mangsa tersandar di dinding dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dalam keadaan pucat lesi berlumuran darah selain mendapati terdapat objek serta darah di dalam mangkuk tandas,” katanya.

Objek Dalam Mangkuk Tandas

Yahya berkata, ibu mangsa kemudian cuba mengejutkannya, namun tiada sebarang tindak balas dan beliau bertindak menghubungi talian 999 memaklumkan kejadian berkenaan dan pada masa sama mengesan bahawa objek dalam mangkuk tandas berkenaan adalah bayi yang sudah tidak bergerak.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi rumah mangsa kira-kira jam 2.45 petang kemudian mengesahkan mangsa dan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Jenazah kedua-duanya kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Mengandung Diluar Pengetahuan

Difahamkan, remaja berkenaan yang masih belum berkahwin dipercayai mengandung di luar pengetahuan ahli keluarganya yang tinggal bersama di rumah berkenaan.

Sementara itu, tinjauan di HRPB mendapati waris mangsa mula tiba di perkarangan Jabatan Forensik kira-kira jam 9.15 pagi bagi menguruskan jenazah. Usaha media untuk mendapatkan maklum balas dan reaksi keluarga juga tidak berhasil kerana mereka enggan ditemuramah dan meminta media menghormati kesedihan mereka.

Dalam pada itu, jiran mangsa yang juga Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali, yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa di perkarangan Jabatan Forensik HRPB berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa jirannya itu kira-kira jam 4 petang semalam.

Abu Bakar turut meminta media supaya menghormati musibah yang dialami keluarga mangsa.Katanya, mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Buntar, bersebelahan Masjid Daerah Kerian petang ini.

Mingguan Wanita mendoakan semoga keluarga mangsa tabah berhadapan dengan ujian ini. Semoga menjadi pengajaran juga buat kita, mak ayah agar pantau pergerakan anak-anak, lebih berwaspada dan mengambil berat dengan tingkah laku serta sebarang perubahan baik dari segi sikap dan fizikal mereka.

Sumber:bharian

Published by
Suhaidah Abd Wahab