Bila dah sah pasangan laki bini, kebanyakan isteri semampunya nak layan suami macam raja. Senang cerita, nak suami balik kerja tengok semua dah teratur macam orang dulu-dulu.
Makan dah ada atas meja, anak dah siap mandi dan rumah kemas tinggal nak baring saja. Tetapi realitinya, hidup zaman sekarang isteri tak sempat nak pulun semua benda dek sibuk mencari duit tepi demi mengurangkan beban suami dari sudut menjaga ekonomi rumah tangga.
Jadi masih relevan ke nak merajakan suami sampai diri sendiri pun tak sempat nak makan? Haaa… jawapannya ada dalam perkongsian Puan Nurul Ilyani ini, jemput baca.
Layan suami macam raja, tapi jangan sampai jadi raja ‘bersiong’!
Si ibu asyik tidur. Lemah. Awal-awal mengandung memang begitu. Sekejap-sekejap dia bangun masak ringkas. Bagi anak makan. Rumah bersepah macam tongkang pecah. Nak jalan pun tak mampu. Suami tolong tengok anak. Sambil main handphone. Anak yang sulung main game di handphone. Ada handphone sendiri. Yang nombor 2 main. Yang nombor 3 tengok juga handphone ibu. Yang nombor 4 jalan sana jalan sini, merengek kepada si ayah.
Begitulah sepanjang hari. Sampai waktu solat si ibu mula tegur anak yang sulung solat. Merajuk sebab tidak pernah ditegur. Si ayah tidak ambil tahu. Si ibu yang tidak larat itu jugalah yang sana sini ingatkan.
Sampah penuh satu tong sampah besar. Andai si ibu tidak ingatkan, tidak suruh si ayah, sampai berulatlah sampah itu di situ. Begitulah hidup mereka sepanjang hari apabila waktu cuti. Hidup tiada pembantu rumah. Kedua-dua bekerja. Lebih parah si ibu mengandung anak kelima dan tidak mampu lagi mengurus rumah kerana mabuk.
Sampai malam semua sudah tidur suasana lega dan aman. Pukul 4 pagi, si ayah bangun tengok bola. Pukul 5 pagi si ibu bangun siapkan makanan anak dan keluar bekerja. Si ibu memang isteri yang baik. Suami memang ‘dimanjakan’ sejak kahwin. Semua dilakukan sendiri. Mengurus rumah, mengurus anak. Suami hanya buat apabila di suruh atau tidak mampu buat.
Andai suami ada common sense, bawa anak keluar ke taman luangkan masa daripada semua menghadap telefon. Biar isteri berehat.
Jika suami ada common sense, buang sampah, tolong kemas rumah daripada main telefon. Barulah isteri rasa aman sedikit dan kurang bebannya.
Andai suami ada common sense, alang-alang bangun awal pagi tengok bola, basuh kain, sort kain, vakum rumah. Isteri bangun, sejuk hati dia.
Andai suami ada common sense, ingatkan anak solat. Jangan asyik harap isteri. Isteri pun kadang-kadang lupa. Itukan tanggungjawab bapa juga?
Kawan,
Situasi itu adaptasi kisah benar. Ia mungkin lebih kurang sama dengan kisah kehidupan pasangan lain.
Kawan,
Benar, mahu masuk syurga mudah, taat suami. Namun, benar juga, untuk suami masuk syurga ‘dorong’ suami supaya menjadi orang yang ada ‘common sense’ dan tanggungjawab supaya tidak menyakitkan isteri.
Jika tidak, wanita yang akan penat. Wanita yang akan depress. Wanita yang akan sengsara. Akhirnya wanita menyalahkan suami.
Kadang-kadang, asalnya sikap suami terhadap isteri adalah hasil dari kurangnya komunikasi betul antara isteri kepada suami. Beritahu. Luahkan. Dorong. Wanita bukan kuli. Bukan juga hamba abdi.
Ya, benar jika suami asalnya datang memang spesis lelaki tidak reti-reti, semua harapkan isteri, takkan kita nak kutuk mak mertua pula. Jadi, jalan terus, dorong dia untuk berubah.
Sayang suami, ingat-ingatkan tanggungjawabnya. Wanita, kerana dirimu begitu berharga. Jagalah dirimu. Dirimu sumber kebahagiaan rumah tangga.
Akhir kata, layan suami macam raja tapi jangan sampai jadi raja ‘bersiong’.