#tipcarijodoh “Lawa Muka Boleh Di ‘Touch Up’, Tapi Iman Di Dada Belum Tentu Mampu Dibina…”

Share

Ada sesetengah orang, musim raya inilah dia ambil peluang untuk kenalkan pasangan kepada keluarga. Dan waktu rayalah banyak keputusan dalam perhubungan dibuat. Mula bincang bila nak bertunang, nikah dan sebagainya.

Tetapi walau ramai ‘jodoh’ yang lalu depan mata, bukan senang nak cari yang betul-betul boleh buat calon hidup semati. Jadi kalau nak mudah, tip cari jodoh oleh saudara Emran Ahmad ini mungkin sangat membantu anda untuk membuat pilihan. Paling penting, jodoh itu bukan dilihat pada kecantikan saja ya. Nah, jemput baca dulu…

“Janganlah kamu kahwini wanita kerana kecantikan mereka, kerana kemungkinan kecantikan itu akan menghancurkan mereka sendiri. Dan janganlah kamu kahwini kerana harta mereka, kerana mungkin harta itu menyebabkan mereka derhaka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Sesungguhnya hamba yang berkulit hitam, tetapi beragama adalah lebih baik.”

Hadis Riwayat Ibnu Majah

Sebab nak mencari wanita solehah tentulah berada dalam kelompok yang bijak memelihara kecantikannya untuk suaminya sahaja, pandai menjaga harta dan keturunannya. Jadi, sudah tentu ciri-ciri tersebut ada pada wanita yang beragama.

Musim Raya Sesuai Mencari Jodoh

Sebahagian ulama berpendapat sunnah menikah dalam bulan Syawal kerana terdapat hadith riwayat Aisyah RA (wafat 57 H) bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bernikah dalam bulan Syawal dan Aisyah RA sendiri suka untuk menikahkan orang dalam bulan Syawal.

Secara teorinya hari Raya dan musim cuti raya adalah sangat sesuai untuk mencari jodoh dan pasangan. Ini kerana pada masa inilah anak-anak bujang akan balik kampung bertemu ibubapa dan segala stok jantan geng bujang dan anak dara akan mudah kelihatan di kawasan perumahan setelah keluar daripada persembunyian dan ‘gua hibernasi’ mereka.

Ini Jenis Jodoh Yang Baik

Pesanan saya, cari pasangan jangan hanya melihat yang lawa dan cantik sahaja tetapi hendaklah dicari yang rajin dan ringan tulang membantu keluarga.

Biasanya ‘jenis’ ini duduk di dapur mencuci pinggan dan membantu mak menyiapkan hidangan bukan yang jenis merayap ke pasaraya menayang baju kebaya dan seluar baju raya.

Kalau lelaki tu, buat-buatlah nak cuci tangan untuk melihat siapa yang di dapur bertungkus lumus menyiapkan hidangan. Kalau perempuan macam biasa buat-buat singgah solat di masjid untuk melihat siapa lelaki yang masih jaga solat berjamaah walaupun Ramadhan sudah berakhir.

Ingat, lawa muka boleh di ‘touch up’, gemuk boleh kurus, miskin boleh jadi kaya tetapi iman dalam dada belum tentu mampu dibina walau tinggi pengetahuan agama!

Haaa… dah nampak siapa calonnya? Tapi harus diingat, wanita yang baik dan beragama ini pula sudah tentukan Allah SWT sediakan hanya untuk gerangan lelaki yang baik juga. Sesungguhnya lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.

Published by
Nadia