Tidak pernah terlintas di benak fikiran gadis muda yang dahulunya menggunakan nama asal, Ester Michelle anak Peter Alli, 24 tahun, untuk menukar agama kepada agama fitrah iaitu Islam. Dia yang dijaga oleh neneknya suatu masa dahulu di Serian, Sarawak merupakan gadis berketurunan Bidayuh yang menganut agama Kristian.
Pindah ke Semenanjung
Ketika umurnya sembilan tahun, gadis ini bersama adiknya dibawa ke Kuala Lumpur untuk menetap bersama ibunya.
“Saya mengenali Islam dan banyak bercampur dengan orang Melayu setelah saya berpindah ke Kuala Lumpur. Ketika di sekolah khususnya, saya mula bergaul dengan orang Islam. Suatu hari, semasa kali pertukaran pelajaran antara Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam, saya masuk dalam kelas yang mengajar Pendidikan Islam secara sorok-sorok. Dari situ saya mendengar kisah-kisah para Nabi dan Allah dan ia sangat menarik hati saya untuk terus ketahui lebih banyak lagi.
“ Dari situ juga saya tahu tentang penciptaan manusia. Sejak kecil lagi, saya memang pernah terfikir tentang penciptaan manusia. Bagaimana terjadinya manusia di muka bumi ini? Tetapi setelah ustazah dalam kelas tersebut bercerita tentang nabi-nabi, saya masih merasa semua itu hanyalah cerita rekaan semata-mata untuk dijadikan pelajaran dan pengajaran kerana saya menganggap cerita seperti itu macam cerita dongeng yang ada ditayangkan di televisyen dan cerita kartun yang penuh dengan fantasi.
“Ketika saya di kampung, saya tidak pernah dengar kisah nabi dan Allah. Saya hanya mengenali Jesus Christ dan itulah tuhan yang saya selalu tengok di gereja. Biasalah, kita hanya percaya dengan apa yang kita nampak. Sedangkan Allah dan nabi yang ustazah cerita itu semuanya kita tak pernah nampak dalam mana-mana buku,” ujar gadis yang kini sudah menukar namanya kepada Nur Aisyah Maisara, selepas mengucapkan syahadah pada usianya 19 tahun.
Ibu peluk Islam dulu
Hidayah pertama kali menjengah keluarga Maisara ketika usianya 13 tahun, yang mana ketika itu ibunya telah memeluk agama Islam terlebih dahulu. Namun ibu Aisyah sedikit pun tidak memaksa anak-anaknya untuk turut serta sebaliknya menerapkan ajaran agama Islam secara tidak langsung di dalam kehidupan keluarganya itu.
Ads
“Semasa umur saya 13 tahun, ibu saya telah memeluk Islam. Saya dan adik tidak ikut ibu kerana bimbang akan dimarahi oleh nenek. Walaupun ibu telah bertukar agama tetapi kami sekeluarga tidak sedikit pun merasa pelik atau rasa berbeza. Masing-masing boleh menerima keadaan tersebut.
“Sekali sekala saya akan baca atau ibu akan berkongsi tentang buku agama yang telah dibaca. Banyak pengajaran yang saya dapat. Ibu tidak pernah bertanya secara terus terang kepada kami adik-beradik, adakah kami mahu ikut agama dia atau tidak kerana ibu mahu kami menilai sendiri dengan mata hati kami. Ibu juga banyak mempraktikkan cara-cara Islam mendidik anak-anak tanpa kami sedari. Ibu banyak mengajar kami tentang akhlak dalam Islam.
“Walaupun Islam itu sudah berada dalam rumah kami, tetapi ketika itu hati saya tidak merasa mahu bertukar agama kerana bagi Islam itu banyak aturannya dan saya tidak mahu bertukar agama kerana manusia. Biarlah saya melakukannya benar-benar dari hati.
Sambung Pelajaran
“Ketika saya berumur 19 tahun, saya menyambung pelajaran saya di tingkatan 6 SMK Taman Melawati. Menjadi pelajar tingkatan 6 yang bakal menduduki STPM bukanlah suatu yang mudah. Tambahan lagi saya merasa rendah diri kerana kawan-kawan saya yang lain semuanya dapat menyambung pelajarannya terus ke universiti.
Ads
“ Suatu hari, saya benar-benar dalam keadaan yang sangat tertekan dan sedih kerana saya rasa susahnya menjadi pelajar tingkatan 6. Saya bimbang tidak dapat menggembirakan hati ibu kerana saya adalah anak sulung dan saya perlu berjaya dalam hidup. Semasa saya sedang memikirkan perancangan saya untuk berjaya, tiba-tiba azan asar disiarkan di TV3. Saya merenung ke arah kotak televisyen tersebut dan mendengar azan serta menghayati maksud-maksudnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Saya tertarik dengan satu baris azan yang bermaksud, “marilah solat menuju kejayaan”. Dari situ saya terfikir, betul ke macam itu caranya jika nak berjaya? Solat? Okaylah aku kena cuba cara tu kalau nak berjaya. Mesti solat. Tapi kena masuk Islam, kena belajar Islam.
“Saya buntu apa yang perlu saya buat. Tetapi hati saya tetap mahu juga buat solat itu kerana bait-bait azan dan maksudnya itu terngiang-ngiang di fikiran saya. Lalu saya menceritakan niat saya untuk masuk Islam kepada ibu. Kebetulan ketika itu ibu mahu ke Terengganu. Jadi saya ikut ibu dan Alhamdulillahlah prosesnya berjalan lancar. Saya mengucapkan kalimah Syahadah pada tarikh lahir saya iaitu 2 Januari. Balik sahaja dari pejabat agama Kuala Terengganu itu, ibu ajar saya mandi wajib, ambil wuduk dan solat. Ibulah yang banyak membantu saya untuk menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan cara solat. Hati saya rasa lapang tetapi saya masih berfikir tentang kehidupan yang saya perlu jalani. Hati kecil saya kata, saya mesti mencari sesuatu yang saya perlu dalam hidup,”cerita Maisara bagaimana dirinya mula tertarik dengan agama Islam.
Kehidupan berbeza
Sudah hampir lima tahun Maisara menjadi seorang Muslimah, kehidupannya kini lebih teratur dan punya garis panduan. Baginya banyak perbezaan yang dapat dilihat daripada kehidupan dahulu dan sekarang.
“Kini sudah lima tahun saya hidup sebagai orang Islam, saya merasa ada garis panduan dalam kehidupan. Saya sangat bersyukur. Apabila saya sedih, kini saya tahu saya perlu mencari siapa, mencari Allah dalam solat dan memohon kepada-Nya. Di situ saya dapat ketenangan.
Ads
“Banyak sangat perbezaan kehidupan sebagai muslimah dan kehidupan lama saya. Kalau kini, saya sudah tahu betapa berharganya maruah seorang wanita muslimah. Islam benar-benar menjaga hak-hak wanita. Dari segi akhlak mereka, harta mereka, dan keperibadian mereka. Kini penampilan saya lebih terjaga berbanding dulu. Peluang berada di Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA), telah mentarbiahkan penampilan saya dan pemikiran saya. Dulu setelah mengucap kalimah syahadah, saya menutup aurat tetapi bukan menutup dengan cara yang betul, lebih kepada membungkus diri iaitu pakai tudung tetapi baju dan seluar nampak bentuk badan. Ketika itu saya rasa itulah cara tutup aurat.
“ Tapi setelah belajar, barulah saya faham pengertian menutup aurat yang betul dan mengikut syariat. Itulah perbezaan ada ilmu dan tanpa ilmu. Menutup aurat juga bukan lah dari segi penampilan luaran sahaja tetapi begitu juga dengan akhlak kita. Ustaz Ramli selalu berpesan, wanita mesti ada rasa malu. Malu itu merupakan perhiasan wanita. Malu itulah yang menjaga diri wanita daripada diganggu. Betapa besarnya kesan Islam pada diri saya kini,” tambah Maisara.
Maisara bersama rakan-rakan saudara baru
Syukur dengan kehidupan kini
Mengakui dirinya sangat bersyukur dengan kehidupan yang dijalani pada hari ini, pelajaran awal tentang Islam adalah melalui ibunya dan juga bimbingan yang diperoleh di PUSBA. Selain itu, menyertai kelas dakwah secara berterusan banyak membantu diri gadis ini untuk terus mendalami Islam dengan lebih baik.
“ Saya sangat bersyukur dengan kehidupan sekarang. Sedikit demi sedikit Allah memberikan kebaikan kepada kehidupan saya. Jika dulu saya sangat kecewa kerana tidak dapat menyambung pelajaran saya ke universiti, kini Allah dah makbulkan doa saya.
“ Saya sedang belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Bangi,mengambil Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia. Saya tidak menyangka Allah akan memberi jalan ini kepada saya. Saya tidak pernah terlintas untuk masuk agama Islam sehinggalah saya menghayati maksud azan tentang kejayaan. Jika dulu saya benar-benar cemburu dengan kejayaan kawan-kawan saya yang lain, kini saya tidak perlu membandingkan diri saya dengan mereka. Saya percaya semuanya atas kehendak Allah. Saya tidak perlu tamak dan cemburu dengan rezeki orang lain kerana Allah telah menentukan rezeki hambanya masing-masing dengan usaha diri sendiri dan semuanya lahir dari hati yang ikhlas bukan kerana ikutan semata-mata.
Maisara turut aktif dengan program khidmat masyarakat
“Saya yakin hidayah Allah itu hanyalah pinjaman sementara. saya perlu menjaga hidayah yang diberikan oleh Allah dengan sebaik mungkin. Allah telah banyak memberi petunjuk kepada saya, cuma saya tidak dapat menilai dengan baik. Saya bersyukur dengan pilihan saya. Saya harap saya mampu menggenggam agama Islam dengan ilmu sehingga akhir hayat. Saya harap Allah sentiasa menjaga dan melindungi saya serta keluarga kerana iman ini senipis kulit bawang yang mudah koyak dan rapuh. Inilah hikmah yang saya pelajari tentang Islam. Islam banyak mengajar saya tentang kehidupan yang sebenar.Dulu saya hidup seperti saya tidak akan mati meninggalkan dunia tetapi kini saya sedar erti tujuan sebenar hidup. Bukan hanya kerana kejayaan dunia tetapi juga kejayaan akhirat. Ingin berjaya dalam hidup, ingatlah Allah. Mengingati-Nya adalah dengan solat,” akhiri Maisara.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wow,bertuahnya gadis ini dilamar lebih 100 lelaki sehari, dijanjikan kesenangan, hantaran mahal, malah ada yang mahu hadiahkan sebuah gimnasium! Semuanya gara-gara gadis ini pernah menjadi tular di media sosial selepas aksinya menjalani latihan beban di gimnasium dirakam dan menjadi tumpuan netizen di Instagram.
“Lebih 100 lelaki melamar saya pada setiap hari. Ada yang menjanjikan kesenangan, hantaran mahal, malah menghadiahkan sebuah gimnasium kepada saya,” kata Fatin Suhaida.
Tidak seperti gadis lain, Fatin Suhaida Razali, 23, dari Kampung Durian Guling, Marang Terengganu jatuh cinta dengan melakukan kegiatan lasak terutama mengangkat beban di gimnasium.
Aksi Angkat Beban Tular Di Media Sosial
Selepas dua tahun aksinya menjalani latihan angkat beban di gimnasium tular di media sosial, dia bukan saja diburu peminat lelaki yang ingin memperisterikannya, malah turut dilamar pelbagai pengeluar produk kesihatan tempatan yang mahu menjadikannya jurucakap.
“Sebelum ini ramai yang kecam tindakan saya memuat naik aksi bersenam di gimnasium sambil bertudung di Instagram, tetapi sekarang tindakan itu mengubah kehidupan saya menjadi seorang yang lebih berani, berkeyakinan, selain dapat menjana pendapatan sampingan.
“Dua tahun lalu saya hanya mempunyai 72,400 pengikut di Instagram, tetapi sekarang pengikut saya meningkat hingga 196,000 orang dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Brunei dan Singapura.
“Pada mulanya hasrat saya memuat naik setiap aktiviti di gimnasium hanya sekadar suka-suka dan pada masa sama memberi pendedahan kepada wanita bertudung supaya mengubah persepsi mengenai latihan angkat beban yang sebelum ini hanya terhad untuk lelaki,” katanya yang tinggal di Kampung Durian Guling, di sini.
Jana Pendapatan Tambahan
Dia berkata, objektifnya itu tercapai apabila sudah ramai wanita bertudung menjalankan latihan angkat beban di gimnasium sekarang, terutama membabitkan wanita bertudung di sekitar Kuala Terengganu.
“Setiap video yang dimuat naik di laman Instagram itu bukan bertujuan menunjuk, malah bukan juga untuk menjadi bahan kecaman netizen dan ia hanya untuk tatapan wanita yang ingin berjinak-jinak dengan aktiviti lasak itu.
“Berbaloi apabila aktif di Instagram sejak dua tahun lalu yang akhirnya mendatangkan manfaat kepada ramai wanita.
“Pada masa sama ia memberi peluang saya menjana pendapatan tambahan melalui tawaran sebagai jurucakap produk kesihatan. Alhamdulillah dapatlah saya menambah pendapatan sehingga RM2,000 sebulan,” katanya.
Tidak Rancang Berkahwin Tempoh Terdekat
Berhubung lamaran yang diterima daripada lelaki sejak menjadi tular di media sosial, Fatin Suhaida berkata, dia tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat dan mahu memberi fokus kepada cita-citanya menjadi model sukan dan jurulatih peribadi yang berjaya.
“Saya tidak ambil serius sangat mengenai tawaran kahwin atau hasrat lelaki yang tidak henti-henti menghantar pesanan ringkas untuk berkenalan itu kerana menganggap ia sudah menjadi asam garam apabila terkenal di Instagram.
“Jika mereka menghantar pesanan ringkas yang berbaur luahan perasaan, saya mengabaikannya dan sekiranya mereka terlalu melampau, saya akan menyekat mereka daripada terus mengganggu saya,” katanya.
Suki Low seronok, bahagia menguruskan anak-anak, begitulah luahan Suki Low yang pernah menjadi perhatian ramai selepas menjuarai program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim pertama pada usia 16 tahun.
Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga bersama suami, Jeremy Chong, pada 2012 dan seterusnya bergelar ibu dua tahun kemudian, Suki, 31, seakan hilang daripada radar dunia hiburan.
Seronok, Bahagia Menguruskan Anak-Anak
Ditanya tentang dirinya yang kelihatan menyepi dalam dunia hiburan, Suki yang juga ibu kepada tiga anak mengakui bahagia dengan kehidupannya kini.
Biarpun sibuk dengan rutin menguruskan tiga permata hatinya iaitu Ethan, 7, Eli, 7, dan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 11 bulan, beliau gembira dengan apa yang dimiliki.
Tidak pernah menyesal mengetepikan seketika kerjaya nyanyian demi keluarga, ibu muda itu percaya pilihan tersebut berbaloi untuk menjadikan kehidupannya lebih seimbang.
“Selepas bergelar ibu, saya memilih untuk memberikan lebih tumpuan kepada keluarga berbanding perkara lain. Bukan kerana permintaan suami, sebaliknya ia adalah kemahuan saya sendiri.
“Saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesaran anak-anak yang saya kira cukup pantas dan sayang untuk dilepaskan.
“Jadi saya sentiasa berasa seronok dan bahagia menguruskan anak-anak, terutama ketika pandemik di mana sepanjang masa saya serta suami meluangkan masa bersama mereka di rumah,” katanya sewaktu ditemui di sidang media Gegar Vaganza (GV) musim kelapan.
Tidak Seaktif Dulu
Namun kini nama Suki Low bakal menjadi sebutan semula menerusi penglibatannya dalam program nyanyian popular, Gegar Vaganza (GV) musim kelapan yang akan bermula pada 21 November ini.
“Ramai yang fikir saya sudah mengundurkan diri dalam dunia seni setelah lama tidak nampak di kaca televisyen atau mengadakan persembahan secara terbuka.
“Hakikatnya saya masih lagi menyanyi, cuma tidak seaktif dahulu kerana terikat dengan komitmen kepada rumah tangga, terutama setelah bergelar ibu.
“Selain menyanyi untuk persembahan yang diadakan secara tertutup, saya turut terlibat dengan projek-projek khas di TV seperti program Hari Kemerdekaan, melakukan voice over dan sebagainya.
Menyentuh tentang penglibatan sebagai salah seorang peserta GV8, Suki menganggap program terbabit sebagai platform terbaik untuk kembali.
“Saya tidak anggap penglibatan dalam GV8 sebagai comeback kerana saya sendiri tidak pernah meinggalkan kerjaya nyanyian.
“Apa yang pasti saya sangat teruja diberikan peluang menyertai program ini kerana ia adalah platform terbaik untuk mencabar diri keluar daripada zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu,” sambungnya.
Sumber Foto : Instagram Suki Low
KEMAHIRAN ASAS BANGKIT WANITA:
Yuran murah dan berbaloi-baloi. Klik link di bawah ini:
Sungguh mulia hati peniaga ikan ini. Bukan keuntungan semata-mata yang dicari. Dalam berniaga ada sedekahnya. Inilah yang diceritakan oleh Saudagar Jalanan terkenal, Ikram Al Banjaritentang seorang lelaki bermotosikal yang mahu membeli ikan di tapak jualan ikan.
Cerita Lelaki Yang Singgah Ke Khemah Jualan Ikan
Ada lelaki yang membuatkan aku menangis dalam hati sebentar tadi.
Ada banyak cerita pahit manis sepanjang kami berjualan ikan sejak kelmarin. Antara yang aku masih terkesan sampai ke saat ini ialah cerita seorang lelaki tadi.
Dia datang singgah ke khemah jualan kami. Meletakkan motosikal betul-betul di hadapan khemah dan terus berjalan ke mari. Kami ‘greet’ seperti biasa. Selepas puas mundar mandir melihat ikan, dia memanggil aku ke tepi.
“Sini jap adik “
“Ya bang? Apa boleh saya bantu? “
“Abang cakap ni jangan marah ya. Nak tanya dulu ni. Ikan Kembung tu dua ringgit dapat berapa ekor ? “
Aku senyum. Aku tersentak.
“Takpa bang. Sekejap ya saya timbang dulu “
Aku ambil beberapa ekor ikan kembung dan letakkan di atas penimbang digital. Aku tekan harga RM5 sekilo. Jawapan yang aku dapat selepas timbang ialah RM2.30 untuk 5 ekor.
“Bang, saya dah timbang tadi. Dapat 5 ekor “
Beliau senyum dengar jawapan aku. Nampak suka betul.
“Ha. Baguslah kalau macam tu. Bagilah 2 ringgit “
Aku bungkuskan 5 ekor tadi dan aku topup ikan ekstra untuknya. Aku bagi lebih lagi untuk beliau.
“Nah bang “
“Terima Kasih dik ya. Terima Kasih banyak. Abang doakan bisnes adik maju.“
Mungkin Abang Tadi Sedang Diuji
Beliau terus ke motosikal dan bergegas pulang. Ini kisah realiti kehidupan yang benar-benar wujud. Mungkin abang tadi sedang diuji. Aku hanya mampu mendoakan apa saja urusan beliau dipermudahkan. Apa pun yang terjadi, tangungjawab sebagai ketua keluarga untuk menyediakan lauk pauk di dapur mesti ditunaikan. Dapur mesti berasap.Aku salute.
Dua ringgit nilainya pelbagai di mata orang. Bagi kita, mungkin itu cuma nilai beli jajan buat anak. Mungkin juga, itu cuma nilai untuk bayar parking di pusat membeli belah. Tetapi, ada orang cuma berbelanja 2 ringgit itulah untuk mengenyangkan semua perut yang ada di rumah.
Begitulah. Hidup mesti terus. Usaha jangan putus-putus.
Kami Masih Berada Di Siini.
Di hadapan Stesen Minyak Petron Putra Heights Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan untuk menjual ikan.
Ikan Kembung RM5 sekilo
Ikan Kerisi RM7 sekilo
Ikan Cencaru RM7 sekilo
Ikan Tongkol Hitam RM11 sekilo
Ikan Mata Besar RM8 sekilo
Ikan Sardin RM7 sekilo
Ikan dari Kuantan, bukan dari Kotak. Tak percaya datang tengok sendiri. Tak jadi beli tak apa, sekurang-kurangnya kita jadi kawan. Tak gitu?
Mak-mak kalau nak beli ikan, jangan datang hari biasa. Seban jualan ikan peniaga berhati mulia ini cuma setiap hari Sabtu Ahad sahaja.