Nak berubah jadi morning person ini bukan susah, yang penting niat dulu dari awal. Dan benda ini jadi lebih mudah kalau mak ayah hadam perkongsian daripada saudara Najmi Nawawi ini, ok jom tunjuk contoh yang baik untuk anak-anak.
IBU BAPA PERLU JADI MORNING PERSON
Ya betul. Orang yang bangun di awal pagi ialah morning person. Menurut kajian oleh sekumpulan penyelidik University of Leipzig, setiap manusia yang mahu melakukan sesuatu yang benar-benar memberi impak kepada diri sendiri harus bangun awal di awal pagi.
Banyak contoh orang hebat dunia seperti CEO Disney, Bob Iger, dan CEO Twitter, Jack Dorsey sudah terjaga pada pukul 5.30 pagi setiap hari. Atau lihat sahaja kepada icon parenting tempatan seperti Dr Sheikh Muszaphar Shukor. Beliau sentiasa memanfaatkan waktu pagi sebaik-baiknya untuk pastikan anak-anak mendapat yang terbaik.
Ibu bapa perlu bangun di awal pagi, untuk jadi orang yang hebat dan mampu memberi contoh yang terbaik untuk anak-anak.
Malulah, kalau anak-anak yang bangun terlebih dahulu dari kita. Anak yang hebat kebiasaannya datang dari ibu bapa yang hebat.
Sekiranya kita tahu diri kita ialah orang yang susah bangun pagi, maka kita perlu ubah rutin harian kita agar dapat bangun di awal pagi. Jangan terlalu pentingkan diri sehingga kita abaikan yang lain. Pastinya kita tidak mahu terlepas kebaikan untuk bangun di awal pagi.
Mula Dari Solat Subuh
Solat subuh ialah perkara yang paling utama dan umpama kunci kejayaan sesebuah keluarga. Kita wajib didik anak kita untuk bangun pagi bukan untuk pergi kerja (mencari rezeki) tetapi untuk sujud beribadah kepada (pemberi rezeki) terlebih dahulu.
Sekiranya perkara asas seperti ini sudah gagal, definisi kejayaan kehidupan pasti diletakkan pada wang ringgit semata-mata bukan keredhaan Allah yang menjadi paksi utama.
Selain itu, faktor kesihatan juga menjadi tuntutan. Ianya bermula dengan sarapan pagi. Kerana jika kita dan anak-anak tidak mengambil sarapan, ia boleh merosakkan sel-sel otak kita kerana kekurangan glukosa dan sumber tenaga.
Jangan Lepaskan Aktiviti Sarapan
Dengan bersarapan, fikiran akan lebih segar dan dapat kurangkan tekanan, ini sangat penting untuk pastikan tenaga yang positif sepanjang hari.
Dibantu juga dengan hormon-hormon kortisol yang mula meningkat dalam badan untuk menyediakan badan kita bekerja dengan baik. Seterusnya menjadikan kita manusia yang berkualiti kepada pasangan, anak-anak dan juga kerjaya.
Begitu juga dari sudut memberi contoh ikutan yang baik untuk anak-anak. Khususnya seorang ketua keluarga (ayah), perlu sentiasa ingat bahawa anak-anak lebih cenderung untuk ikut sifat dan perwatakan si ayah meskipun mereka rapat dengan si ibu. Setiap perbuatan kita akan sentiasa diperhatikan anak-anak.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tengok, Betapa Bahayanya Bila Wanita Kemurungan!
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan banyak kes wanita yang mengalami kemurungan. Kalau sebelum ini ada cikgu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengkala Chepa, 35 tahun, mati lemas di Pulau Perhentian disebabkan mengalami masalah kemurungan dan tiba-tiba berlari keluar dari chalet milik abangnya yang terletak berdekatan kejadian sekitar jam 1 pagi, terbaru seorang guru wanita berusia 36 tahun pula yang mengalami kemurungan ditemukan mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat lima sebuah pasar raya, di Ipoh.
Mayat guru tersebut ditemukan oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan laluan kereta pasar raya pada pukul 3.50 petang. Tetapi barangan peribadi mangsa yang merupakan guru di sebuah sekolah di Pasir Putih seperti telefon bimbit dan rantai tangan juga tidak terusik.
Dalam kes ini, ada saksi yang merupakan pengawal keselamatan pasar raya itu ada menegur mangsa supaya tidak berlegar di kawasan berkenaan namun larangan itu tidak diendahkan wanita terbabit yang terus terjun.
Mangsa Memang Kemurungan
Suami wanita itu yang hadir di tempat kejadian mengesahkan mangsa pernah mengalami kemurungan dan baharu minggu lalu mendapatkan rawatan di hospital.
Walau apa pun yang berlaku, lelaki ini redha dan tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana mengakui isterinya tidak dapat menerima beban kerja yang banyak setelah mengalami kemurungan.
Ternyata kemurungan petanda bahawa seseorang wanita itu menghadapi cabaran kehidupan terlalu lama. Ini peringatan kepada insan di sekelilingnya bahawa wanita itu terlalu banyak berkorban, berusaha dan mengalah, sudah tiba masanya untuk dia dibantu dan disokong.
Kita sepatutnya melihat dengan teliti dan berbicara secara terbuka lagi serius akan isu kesihatan mental.
Langkah pertama dalam memulihkan diri kita dari kemurungan ialah untuk menerima hakikat bahawa ada masa dan waktu, kita memerlukan bantuan dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Ya, kita tak boleh pendam sendiri. Carilah seseorang yang kita percayai untuk berkongsi rasa dan paling utama banyakkan solat, zikir dan mengaji al-Quran.
Tanda-tanda penyakit kemurungan
1. Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri ataupun daripada pengamatan orang luar contohnya selalu menangis.
2. Hilang semangat atau tak berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak-saudara.
3. Berat badan merosot daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
4. Corak tidur berubah, sama ada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
5. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
6. Selalu letih dan kurang tenaga dalam melakukan aktiviti harian.
7. Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu kesalahan perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.
8. Tak mampu memberikan konsentrasi atau berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
9. Asyik sebut bukan-bukan dan fikir tentang nak mati atau bunuh diri dengan kerap.
Sebenarnya ramai juga yang tidak menunjukkan simpati kepada kaum wanita yang mengalami masalah kemurungan. Tambah memburukkan keadaan apabila kebanyakan wanita yang berdepan masalah ini tak nak merebut peluang untuk mengatasi tekanan yang dihadapinya. Akhirnya rasa stress dan kemurungan itu membawa kepada kes kronik sehingga berlakunya kes bunuh dan sebagainya.
Apa yang terbaik bagi mengurangkan kemurungan dalam diri, tolonglah meluah tentang rasa pada orang terdekat atau paling selamat cari doktor pakar untuk membantu diri sendiri keluar daripada masalah.Dan yakinlah anda tidak keseorangan dalam masalah ini, moga segalanya dipermudahan untuk emosi yang lebih baik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Bongsu Disahkan Kanser Neuroblastoma Tahap 4, Ibu Ini Tetap Doakan Sembuh Sepenuhnya
Kasih ibu tiada penghujungnya. Sanggup berkorban apa saja demi anak-anak. Seorang ibu mampu menahan apa juga rintangan dan dugaan yang melanda, asalkan anak tersayang dapat pulih sepenuhnya.
Ikmal Amiliah bt Mhd Isa, 38, sesungguhnya mampu menjadi inspirasi buat ibu-ibu lain. Ketabahan dan kecekalannya membuatkan hati tersentuh saat berbicara dengan wanita muda berjiwa kental ini. Malah kekentalan dan ketabahannya turut diwarisi oleh Adi Harris yang terus kuat melawan penyakitnya. Malah melihatkan penampilan Adi yang sentiasa ceria, pasti ramai tidak menyangka derita yang sedang ditanggung anak kecil itu.
Dilahirkan Sihat
Ikmal Amiliah atau mesra dipanggil Amie, diduga saat anak bongsunya, Adi Harris, didiagnosis dengan penyakit kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Hati ibu mana yang tak remuk tika menerima perkhabaran tersebut. Namun sebagai hamba-Nya, Amie sedar ini adalah ujian Allah untuknya.
“ Adi Harris bin Rosidin, lahir pada tanggal 31 Jan 2015. Dilahirkan sihat dan cukup bulan. Adi mempunyai empat orang abang iaitu Adam Harris,14 tahun, Aiman Harris, 12 tahun, Azha Harris, 10 tahun, Akmal Harris, 7 tahun.
“ Adi membesar dengan sihat sehinggalah pada usia 7 bulan, bahagian belakang tapak tangannya membengkak hingga ke siku. Risau dengan keadaan itu, saya dan suami bawa dia ke hospital. Setelah x-ray, doktor kata tiada yang merisaukan dan kami tunggu temu janji seterusnya.
“ Ketika umur Adi 1 tahun 2 bulan, dia batuk-batuk dan kami bawa ke klinik. Tapi doktor masih sama. Kali ketiga ke klinik baru doktor dapat kesan kelainan pada hatinya. Hati Adi telah membengkak dan terus dirujuk ke hospital.
“ Mac 2016, Adi disahkan menghidap kanser Neuroblastoma Stage 4 High Risk. Kanser saraf yang tumor utamanya di adrenal sebelah kanan dan telah merebak ke beberapa bahagian dalam tubuh badannya seperti hati, tulang, saraf utama.
” Adi menjalani rawatan di HKL. Dia telah menjalani beberapa fasa termasuk pemindahan sum-sum tulang. Kini telah memasuki fasa keenam: Ubat makan CisRetinoic Asid yang perlu dimakan selama setahun.
“ Tetapi setelah masuk bulan keenam, Adi tak mampu lagi meneruskan rawatan kerana badannya telah membengkak dan mengalami alahan terhadap ubat tersebut. Doktor telah mengarahkan pemberhentian serta merta segala ubatan bagi memberi peluang dirinya menerima rawatan penyembuhan alahan sahaja,” ujar Amie membuka bicara.
Cuti Tanpa Gaji
Demi memberikan sepenuh perhatian pada anak bongsunya, Amie telah mengambil cuti tanpa gaji.
“ Setelah doktor diagnosis Adi menghidap kanser, saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan sepanjang rawatan Adi lebih kurang dua tahun, saya sentiasa ada di sisinya. Keputusan itu saya ambil kerana ia membolehkan saya fokus dengan rawatan Adi manakala suami akan bekerja dan menjaga empat orang anak lain.
“ Memang rasa kasihan pada anak-anak yang terpaksa ditinggalkan namun terpaksa saya kuatkan hati demi melihat Adi sembuh. Saya berterima kasih pada anak-anak. Besar pengorbanan jiwa anak-anak yang ditinggalkan. Mengurus diri mereka sendiri tanpa ada pembantu rumah. Hanya ada ayah untuk memantau. Setiap hari hanya doa yang saya kirimkan buat suami dan anak-anak. Semoga mereka sentiasa dalam lindungan rahmat dan kasih sayang-Nya.
“ Saya kini telah mula kembali bertugas pada Feb 2018.Keadaan Adi juga nampak bertambah baik. Cuma Adi masih belum boleh pergi ke taska sebab masih belum menerima suntikan vaksin. Adi memerlukan pengulangan suntikan vaksin seperti bayi yang baru lahir kerana Adi telah menjalani pemindahan sum-sum tulang pada Jan 2017,” tambah Amie lagi.
Kos Rawatan
Ketika ini, akui Amie, Adi sudah semakin kurang ulang alik ke wad dan tidak memerlukan peralatan sokongan. Maka kos rawatan tidak sebesar sewaktu masih dalam rawatan dulu.
“ Banyak duit simpanan yang dikeluarkan bagi menampung kos sara diri, kos ulang alik hospital, kos anak yang ditinggalkan, kos ubatan dan hospital dan kos-kos sampingan. Tapi itulah pengorbanan yang perlu dibayar demi melihat Adi sembuh.
“ Kini Adi masih dalam pemantauan pihak hospital. Cuma sudah tidak lagi menerima rawatan kansernya. Setiap tiga bulan Adi akan ke Klinik Pakar Onkologi di Institut Pediatrik HKL bagi melakukan ultrasound dan pemeriksaan yang berkaitan bagi tujuan pemantauan kesihatannya. Adi juga telah mula menerima vaksin pertama pada Oktober 2018,” kongsi ibu cekal ini.
“ Selain itu, anak kedua saya pula seorang Mild Autisme + Mild Disleksia. Diagnosis ketika umurnya 3 tahun dan memulakan rawatan di Hospital Putrajaya pada 2009 sehingga tahun 2013. Manakala suami saya pula seorang kanser survival (leukemia) tapi masih perlu menjalani pemeriksaan rutin kerana disahkan menghidapi Cronic Hepatitis B ketika masih dalam rawatan sebelum ini,” Kongsi Amie.
Cari Kekuatan Diri
Amie juga mengakui, sebagai manusia biasa, pasti akan ada ketikanya jiwa rasa terlalu rapuh. ” Bila kita di dalam wad, memandang keadaan sekeliling yang mana anak-anak lain yang diuji kesakitan sebegini setiap hari berperang untuk hidup. Mereka sangat kental, kuat semangat.
” Sebagaimana mereka setiap hari berjuang untuk terus hidup, berusaha untuk terus melihat esok, begitu juga saya akan sokong Adi untuk terus melihat dunia. Adi sendiri memiliki semangat juang yang tinggi. Sentiasa tersenyum dan ceria walau diduga dengan penyakit kronik. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melihat dia sembuh sepenuhnya. Saya serap semangat juang Adi agar saya juga tidak sesekali mengalah.
“ Ketika anak sakit, suami jarang di sisi kerana hospital jauh dan perlu jaga anak-anak lain di rumah. Tapi Allah hadirkan sahabat-sahabat yang selalu datang membantu. Saya sangat berterima kasih pada kumpulan perubatan dan sokongan hospital, ibu bapa, kawan-kawan, jiran, guru-guru anak saya dan orang-orang sekeliling yang sangat baik. Walaupun sebenarnya ada ketika saya juga lemah, hampir tersungkur menyembah bumi, tapi saya pilih untuk kuat dan terus kuat menghadapi hari depan, demi orang-orang yang saya sayang,” akhiri Amie menutup bicara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Hati Sakit Terpaksa Hadapi Orang Yang Sukar , Anggap Saja Mereka Seperti KERTAS PASIR
Sakitnya jiwa kalau terpaksa berdepan dengan orang yang sukar. Ianya menyakitkan, namun dibuang tak dapat. Ikut tip yang dikongsikan Puan Azura Abdullah ini. Anggap saja ‘mean peple’ ini bak KERTAS PASIR.
Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir. Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.
Bertahun Mak Jaga Mentua Tanpa Rungutan
Terkenang bagaimana susah payah Mak menjaga ibu mertuanya @ nenek saya yang uzur tanpa mengeluh. Rumah keluarga saya dekat dengan rumah nenek, jadi secara automatiknya tugas menjaga kebajikan dan keperluan nenek jatuh kepada Mak dan Abah saya.
Entah di mana Mak kutip kekuatan, setiap kali tibanya waktu makan Mak akan berjalan kaki (10 minit) ke rumah nenek melalui jalan pintas yang semak untuk menghantar makanan dan selesaikan apa yang patut seperti mandi, tukar lampin pakai buang dan kemaskan rumah nenek.
Kemudiannya berjalan pulang ke rumah kami semula. Begitulah rutin Mak bertahun-tahun tanpa sebarang rungutan. Akhirnya nenek menghembuskan nafas terakhir pun di tangan Mak, menantu beliau.
“Mak tak penat ka hari-hari sejuta nam kali dok pi mai pi mai rumah Tok? Awat Mak yang dok susah payah, mertua ja kan?” tanya saya suatu ketika dengan penuh rasa kurang puas hati melihat tubuh kecil Mak tenang menyantuni nenek. Darah muda.
“Abah syurga Mak akak. Tok syurga Abah. Kalau Abah seronok tengok Mak dia dijaga dengan baik bermakna Allah swt pun seronok dengan Mak. Allah dah hidang jalan mudah untuk Mak pi syurga. Bukan semua orang dapat peluang lagu ni akak. Orang lain jenuh dok cari pahala. Mak tak payah pi mana pun. Dok ada depan mata Mak dah. Kita kena buat baik tak kira dengan sapa pun.”
Allah Beri Apa Kita Mahu
Mulianya hatimu Mak. Saya yang ketika itu masih muda, baru tamat belajar, darah mudah menggelegak, tak sempat lagi hati ini untuk berpaut dengan otak.
Dalam kepala saya ketika itu semuanya nak pakai konsep adil dan sama rata sahaja. Mana boleh Mak saya sahaja yang berhempas-pulas. Masa itu lah. Sekarang ini bila ingat balik semua itu buat malu saja perangai angin kus-kus saya itu.
Kalaulah semua hal di dunia ini boleh adil dan dibahagi sama rata dalam setiap perkara memang tak payahlah lagi ada syurga dan neraka. Sekolah pun tak payah pergi dah. Kehidupan adalah universiti paling mahal, rugi jika kita hanya mahu kutip yang negatif sahaja.
Allah swt beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Kalau ikut mahu, setiap dari kita semestinya mahu bulan dan bintang sahaja. Allah swt hantar kita ujian dan orang-orang yang sukar dalam hidup kita supaya kita belajar dan menjadi lebih baik.
Bukan setakat kita sahaja yang belajar, tetapi mereka yang dekat dengan kita juga belajar. Sekarang giliran saya tunjukkan teladan kepada anak-anak saya pula.
“Children learn from who you are, not what you teach.”
Jangan kita ingat anak-anak kita memerhati kosong tanpa menghadam, mereka semat erat apa yang kita lakonkan dan akan mereka pakai secara sedar atau tidak yang mana satu prioriti hidup yang mana satu tidak. Kerana itulah nilai hidup yang kita tanam sebagai ibu dan bapa.
Bila Adik Beradik Lepas Tangan, Tak Nak Jaga Ibu
Semalam ada perkongsian berkisar hal ini juga dari salah seorang rakan caregiver yang menjaga ibunya dan tidak mendapat kerjasama yang baik dari adik-beradik yang lain. Sudahlah beliau berkorban masa dan tenaga menjaga ibu, mereka yang sekali sekala pulang menziarah melemparkan kata-kata pedas pula seperti ibu tidak dijaga dengan baik oleh beliau.
Dan berbagai kekurangan lagi dipetik dikorek. Kemudiannya ramai lagi caregiver lain tampil berkongsi pengalaman yang lebih kurang sama. Akibat dari situasi sebegini kebanyakan dari caregiver dilanda keletihan emosi yang teruk. Sudahlah letih fizikal, letih emosi ini yang menambahkan lagi beban yang ditanggung.
“What Susie says of Sally, says more of Susie than of Sally.”
Maksudnya perkara buruk yang kita katakan tentang orang lain sebenarnya lebih banyak menggambarkan keburukan kita sendiri dari orang yang kita katakan itu. Jadinya tak usah peduli segala kata-kata orang.
Ada kalangan rakan-rakan caregiver bertanya bagaimana saya hadapi hari-hari saya, apatah lagi saya jauh dari keluarga saya. Pengalaman banyak mengajar saya, itu kelebihan yang saya ada.
Suami saya diserang strok secara on and off semenjak tahun 2010, jadinya berbagai pelajaran saya kutip. Mula-mula dulu hati tisu juga. La ni dah sado. Buat rakan-rakan caregiver yang baru harungi pengalaman sebegini, di doakan tips berikut dapat mengurangkan keletihan emosi kalian.
5 TIPS UNTUK MENGELAKKAN KELETIHAN EMOSI CAREGIVER
1. FOKUS
Fokus kepada kehidupan kita dan perkara yang berada di bawah kawalan kita sahaja. Diri kita sendiri perlu sihat, perlu happy, kita ada keluarga sendiri selain pesakit perlu kita peduli. Usah serabutkan diri pertikaikan kenapa ahli keluarga lain begitu begini, tidak buat begitu tidak buat begini.
Sebenarnya setiap hari sebagai caregiver secara automatik kita sudah ada jadual untuk menjalankan tugas sebagai caregiver dan kita berjaya lakukannya dengan baik tanpa menyusahkan sesiapa. Jadi kenapa perlu kita alihkan fokus kita memikirkan tentang contribution orang lain?
Jika ada manusia yang pelik-pelik peelnya hadir dalam hidup kita, diskaun terus mereka ini. Tak payah pening-pening, hidup sebagai caregiver sendiri dah cukup roller coaster dah. Bakpolah nak tambah lagikan? Hehehe.
2. ME TIME
Kena cari juga ME TIME ini. Tidak semestinya dengan bercuti, spa atau yang mahal-mahal sahaja. Kalau ada peluang why not. Saya sendiri setiap hari saya pastikan saya dapat ME TIME dalam 15 minit pun sudah mencukupi untuk recharge.
Waktu saya keluar ke kedai atau sebagainya saya akan berehat sebentar dengan mendengar lagu atau tidur sebentar di dalam kereta. Rehat sebentar atau tidur sebentar yang pure, tanpa gangguan.
3. KUMPULAN SOKONGAN
Kumpulan sokongan dari kalangan caregivers adalah amat penting untuk kita berkongsi pengalaman, ilmu, informasi terkini serta meluah rasa. Terdapat banyak kumpulan sokongan di sosial media yang dapat kita manfaatkan. Jika disimpan berseorangan lama-lama ianya akan membengkak dan meletus dengan tidak terkawal.
4. AKTIVITI SENAMAN DAN RELAXATION
Cuba juga untuk curi masa lakukan aktiviti senaman secara langsung atau tidak langsung seperti berkebun dan sebagainya setiap hari. Sudah terbukti di dalam banyak kajian senaman dan aktiviti berkaitan dapat mengurangkan stress dan membantu sistem pernafasan seterusnya membuatkan kita merasa lebih segar. Jika kita mampu bersusah payah menguruskan fisio terapi untuk pesakit, kita harus berlaku adil kepada tubuh kita juga.
5. BERSOSIAL
Caregiver perlu bersosial. Libatkan diri dengan apa-apa aktiviti serta terus berkomunikasi dengan rakan-rakan. Jangan putuskan hubungan dengan dunia luar dan limitkan diri kepada skop caregiver sahaja. Caregiver bukan superhero. Caregiver perlukan kehidupan normal seperti orang lain juga.
Didoakan ada manfaatnya.
Sekali lagi saya ulang, “Dalam hidup ini jika kita ditakdirkan bertemu dan perlu hadapi orang yang sukar (mean people), anggap sahaja mereka ini seperti KERTAS PASIR. KITA akan semakin LICIN dan BERSINAR digosok kertas pasir.
Tetapi kertas pasir itu sendiri akhirnya akan menjadi buruk dan tiada gunanya lagi.“
Sumber/Foto : Azura Abdullah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI